Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, June 18, 2012

Refluks Gastroesofagus (GERD)

Refluks Gastroesofagus atau GERD merupakan keadaan yang timbul kerana refluks atau regurgitasi kandungan dari perut ke esofagus.

Separuh daripada orang dewasa di Malaysia mengalami sekurang-kurangnya satu masalah berkaitan gastrousus termasuklah GERD.

Ia menyebabkan komplikasi atau simptom yang menyukarkan kehidupan harian pesakit.

60 peratus pesakit akan berasa tidak sihat dan letih serta mengelak daripada makan dan minum.

Jika lebih teruk GERD boleh membawa kepada masalah sukar bernafas, pendarahan pada esofagus dan barah esofagus.

Antara simptom yang dialami pesakit termasuklah rasa loya selepas makan, pedih ulu hati khususnya pada waktu malam dan ketidakselesaan pada dada hingga kerongkong.

50 peratus pesakit terjaga daripada tidur sekurang-kurangnya sekali atau dua kali dalam sebulan kerana ketidakselesaan pada dada.

Penyakit itu berlaku kerana terjadinya aliran songsang asid perut yang mengalir merentasi sfinker esofagus bawah dan memasuki esofagus.

Asid hidroklorik berfungsi dalam pencernaan makanan dan membunuh bakteria. Tetapi akibat otot sfinker yang lemah, ia gagal menghalang asid perut daripada mengalir ke atas.

Apabila enzim tersebut mengalir ke esofagus, ia menyebabkan rasa pedih ulu hati.

Apabila asid berlebihan di dalam esofagus, pesakit akan berasa panas dada dan sakit seperti mengalami sakit jantung.

Kepanasan boleh sampai sehingga ke tekak dan pesakit mengalami regurgitasi.

Terdapat beberapa sebab kepada penularan masalah ini antaranya tabiat tidur selepas makan, keturunan, jantina serta mereka yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat seperti merokok, tekanan dan obesiti.

Ketidakselesaan akibat pedih ulu hati dapat dirasakan di sekitar dada dan ramai yang percaya ia adalah serangan jantung.

GERD boleh dipertimbangkan sebagai diagnosis kerana kebanyakan penghidap GERD mengalami apa yang dipanggil sakit dada bukan kardium.

Keadaan ini mungkin bahaya dan pesakit digalakkan supaya mengetahui persamaan dan perbezaan simptom serangan jantung dan GERD.

Sebuah kaedah baharu tanpa ubatan untuk mendiagnosis masalah itu ditemui dalam usaha untuk membantu pesakit iaitu melalui soal selidik GerdQ.

Kira-kira 80 peratus pakar perubatan percaya bahawa kaedah baharu ini boleh dipertimbangkan untuk kegunaan diagnosis pada masa hadapan.

GerdQ merupakan soal selidik mengenai enam perkara yang membantu mengenal pasti masalah pesakit.

Skor gred yang dikeluarkan membantu doktor untuk menentukan tahap penyakit tersebut serta rawatan yang paling sesuai.

Hanya beberapa minit diperlukan untuk menentukan kesakitan ini. Biarpun soalannya mudah dan ringkas tetapi keputusannya yang tepat amat berguna dalam membantu pesakit.

Penggunaan soalan GerdQ untuk mendiagnosis kesakitan yang dialami pesakit banyak membantu namun ubatan untuk mengawalnya masih penting.

Jika keadaan ini menjadi lebih serius ia boleh menyebabkan hakisan esofagus. Namun jika terus dibiarkan tanpa rawatan, risiko untuk mendapat barah esofagus dan perubahan lapisan esofagus boleh meningkat.

Sehingga kini ubatan perencat pam proton (PPI) membantu tisu esofagus yang rosak untuk sembuh dalam masa antara empat hingga lapan minggu.

Kesakitan boleh dicegah dengan meletakkan kepala dan bahu lebih tinggi untuk mengelakkan asid menjeluak dari perut.

sumber: Kosmo!

No comments: