Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, June 4, 2012

Keganasan Komunis di negeri Perak

Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan di Tanah Melayu pada bulan April 1930. Pada mulanya PKM bekerjasama dengan pihak British menentang pendudukan Jepun dengan menubuhkan MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army).

Setelah Jepun menyerah kalah dan sewaktu menunggu ketibaan tentera British yang mengundurkan diri dari Tanah Melayu sewaktu penjajahan Jepun, PKM telah mengambil kesempatan menguasai Tanah Melayu dan menubuhkan Bintang Tiga.

Sewaktu 'pemerintahan' Bintang Tiga, mereka telah memburu sesiapa yang disyaki menjadi talibarut Jepun dan menjatuhkan hukuman ke atas mereka. Lazimnya hukuman yang dijatuhkan adalah hukuman bunuh. Mereka juga turut menyeksa sesiapa yang ditahan dan disyaki membantu tentera Jepun sewaktu penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Bermula daripada pemerintahan sementara Bintang Tiga, PKM membuat rancangan untuk terus menguasai Tanah Melayu. Bagaimanapun rancangan tersebut berjaya digagalkan oleh pihak British apabila mereka kembali ke Tanah Melayu.

British membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 dan kembali mentadbir Tanah Melayu. PKM yang masih aktif ketika itu telah membuat kerosakan dan sabotaj kepada jentera-jentera seperti keretapi yang digunakan untuk mengankut bijih timah, membakar kilang-kilang dan estet-estet sehingga menimbulkan masalah kepada pihak British. Keganasan PKM sampai ke kemuncaknya apabila PKM membunuh tiga orang pengurus ladang di Sungai Siput, Perak.

Kejadian pembunuhan tersebut berlaku pada 16 Jun 1948. Pembunuhan tiga orang pengurus ladang iaitu T.G. Christian, A.E. Walker dan J.M. Allison itu sangat menggemparkan pihak British dan ia menjadi pencetus kepada pengisytiharan Undang-Undang Darurat di Perak.

Perak merupakan negeri pertama yang mengisytiharkan darurat sebelum ia diperluaskan di seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948. PKM juga bertanggungjawab terhadap serangan di Kampung Simpang Tiga, Sitiawan, Perak pada 4 Februari 1950 yang telah menyebabkan penduduk kampung tersebut hilang tempat tinggal apabila rumah mereka dibakar dan dimusnahkan oleh Komunis.

Antara keganasan lain yang dilakukan oleh PKM di negeri Perak ialah kejadian serang hendap (ambush) di Kelian Intan pada 10 September 1947. Serangan tersebut dilakukan pada pukul 7.30 pagi apabila dua buah bas dan sebuah lori yang membawa pihak polis telah diserang oleh lebih kurang 50 orang pengganas komunis.

Tiga anggota polis serta enam orang awam telah terkorban manakala dua anggota polis dan 12 orang awam cedera parah.

sumber: Arkib Negara

No comments: