Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, April 3, 2012

Perjanjian Pangkor

Pembesar Melayu dan Inggeris yang terlibat dalam Perjanjian Pangkor 1874 (imej dari www.malaysiasensasi.net)

Perjanjian Pangkor dimeterai dengan British pada 20 Januari 1874, mengiktiraf Raja Abdullah menjadi Sultan Perak manakala sultan sedia ada iaitu Sultan Ismail diturunkan takhta.

Perjanjian ini telah menetapkan bahawa seorang Residen akan ditempatkan di Perak untuk menasihati sultan dalam semua hal ehwal pentadbiran kecuali berkaitan agama Islam dan adat istiadat Melayu.

Perjanjian ini telah ditandatangani di atas kapal HMS Pluto yang berlabuh di Selat Dinding. Melalui perjanjian itu, J.W.W. Birch dilantik sebagai Residen pertama di Perak.

Campur tangan Residen Inggeris inilah yang telah menimbulkan rasa tidak senang orang-orang Melayu, khasnya golongan istana yang merasa kuasa mereka telah hilang.

Antara yang terlibat dalam Perjanjian Pangkor ialah Sir Andrew Clarke (Gabenor Negeri-Negeri Selat), Raja Muda Abdullah (kemudian bergelar Sultan Abdullah), Datuk Sagor, ketua kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San.

Perjanjian Pangkor dibuat kerana perebutan kuasa yang berlaku dalam kerajaan Melayu Perak. Perebutan tersebut berlaku selepas kemangkatan Sultan Perak ke-24, Sultan Ali ibni Sultan Shahabuddin Riayat Shah pada 1871.

Raja Abdullah yang merupakan Raja Muda sepatutnya dilantik sebagai sultan yang baru tetapi disebabkan baginda tidak menghadiri upacara pengkebumian Sultan Ali, maka Raja Bendahara iaitu Raja Ismail yang mempunyai ramai pengikut di Hulu Perak dilantik sebagai sultan yang baru.

Akibat daripada itu, Raja Abdullah tidak berpuas hati dan telah mendorong baginda untuk meminta bantuan Inggeris bagi mendapatkan kembali haknya menjadi Sultan Perak.

Inggeris mendapati ini peluang yang baik untuk merampas kekayaan bumi Perak iaitu bijih timah dan merangka suatu strategi untuk menempatkan seorang pegawai Inggeris di Perak.

Inggeris telah berjaya memujuk Raja Abdullah untuk menandatangani Perjanjian Pangkor dan sebagai balasan baginda akan dilantik sebagai Sultan Perak.

sumber: Utusan Malaysia

No comments: