Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, February 21, 2012

British Raj

Bendera rasmi British Raj

British Raj ialah gelaran yang diberikan terhadap penjajah British yang berada di India antara tahun 1858 hingga 1947. Sistem pemerintahan dimulakan pada tahun 1858 apabila Syarikat Hindia Timur British (SHTB) menyerahkan kuasa kepada Ratu Victoria.

Dengan pertolongan utusan peribadi Raja James I, SHTB mendapat kebenaran berdagang di India oleh Maharaja Mogul, Jahangir pada tahun 1614.

Pada era 1700-an Empayar Mogul berada dalam keadaan akan tumbang pada bila-bila masa kesan daripada cubaan kuasa-kuasa asing selain Inggeris. SHTB mengukuhkan barisan ketenteraan dengan askar British dan Sepahi (askar British berketurunan India). Masyarakat Anglo-India mula terbentuk dan berlaku penyerapan budaya Inggeris dalam kehidupan penduduk India.

Pada era 1800-an istilah The Raj yang diambil daripada perkataan Sanskrit mula digunakan untuk menggambarkan pemerintahan British di India secara rasmi digunakan pada tahun 1858. Selain itu perkataan khaki, pundit, bangle, pajamas dan banyak lagi diguna pakai dalam bahasa Inggeris.

Kebencian terhadap Inggeris memuncak dengan Pemberontakan India 1857 apabila askar-askar Sepahi mendengar khabar angin bahawa senapang mereka disapu minyak khinzir dan minyak lembu. Ia sesuatu yang tidak boleh diterima oleh orang Islam dan Hindu.

Sekitar 1857 dan 1858 pemberontakan berlaku pada bulan Mei yang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai orang Inggeris di India. Hanya kurang 8,000 daripada 140,000 orang askar Sepahi yang terus setia. Ia menyebabkan British membawa masuk lebih ramai angkatan tentera. Ramai askar Sepahi menyerah kalah dan dihukum.

Pada tahun 1858 SHTB dimansuhkan dan kuasa pemerintahan diserahkan kepada Empayar British. Tindakan tersebut dikatakan untuk melindungi kepentingan mereka di India. Pemerintahan Empayar British dijelmakan dengan pejabat Wizurai.

Pada tahun 1876 India secara rasmi menjadi koloni British apabila Perdana Menteri Benjamin Disraeli mengisytihar Ratu Victoria sebagai Maharani India. Pemerintahan British berlalu dengan tenang sepanjang abad ke-19 sehingga Lord Curzon menjadi Wizurai pada tahun 1898 dengan memperkenalkan polisi kurang popular sehingga menyebabkan gerakan kebangsaan India bangkit.

Gerakan kemerdekaan berkembang selama berdekad-dekad sehingga India mencapai kemerdekaan pada tahun 1947.

sumber: Kosmo!, history1800s.about.com

No comments: