Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, August 23, 2011

Pendidikan Ramadhan menjana kecemerlangan


Kefardhuan berpuasa Ramadhan adalah semata-mata bertujuan mendapatkan taqwa. Sifat taqwa bermakna taat dan patuh kepada perintah dan tegahan Allah yang tidak berbelah bahagi ataupun takut mengaibkan perintah Allah kerana balasan azab yang amat ngeri.

Perlaksanaan kepada segala titah perintah Allah dan meninggalkan segala tegahanNya akan menghasilkan taqwa dan golongan yang bertaqwa akan dimulia dan dikasihi Allah Azza Wa Jalla.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

"Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya."

Segala amalan di bulan Ramadhan mengandungi pelbagai pengajaran dan hikmat untuk kita mencapai taqwa sebagai teras kepada kecemerlangan di dunia dan di akhirat.

Secara umumnya terdapat empat faktor pengajaran yang boleh mengubah dan membentuk diri kita menjadi insan soleh dan bertaqwa hasil daripada pendidikan Madrasah Ramadhan iaitu:
  1. Semakin tunduk dan patuh kepada Allah SWT.  Maksudnya ialah ketaatan di sepanjang Ramadhan lalu mendorong kita untuk tetap melakukan setiap aspek pekerjaan seharian mematuhi garis panduan dan kehendak syarak di samping mendapat keredhaan dari Allah SWT.
  2. Mensyukuri nikmat makanan dan minuman.  Ramadhan juga menjadikan kita umat yang tahu bersyukur atas nikmat rezeki makan dan minum.  Dengan nikmat ini kita rajin beribadah, banyak bersedekah dan suka menghulurkan bantuan kepada golongan yang lemah.
  3. Tabah hati dalam menghadapi pelbagai ujian, cabaran dan dugaan.  Asas penting untuk memperoleh sifat ini ialah sifat sabar sepanjang Ramadhan.  Sifat sabar tersebut telah meningkatkan mutu ibadah, akhlak terpuji, semangat tolong menolong dalam perkara kebaikan, melahirkan pemimpin yang berkualiti, pekerja yang produktif dan seumpamanya.
  4. Ketekunan dalam mengerjakan ibadah.  Sifat tekun ini datangnya daripada kesungguhan kita melakukan solat Tarawih dan bertadarus al-Quran.  Natijah daripada amalan-amalan tersebut mampu melahirkan modal insan yang bertanggungjawab, adil, berintegriti tinggi, amanah dan mempunyai haibah (hormat) dalam apa jua lapangan yang diamanahkan kelak.

Berdasarkan faktor-faktor di atas ternyata darjat taqwa itu mempunyai kayu pengukur yang tertentu umpamanya kemenangan tentera Islam yang hanya berjumlah 24,000 orang dalam Peperangan Yarmuk mengalahkan tentera Parsi yang berjumlah 20,000 orang.

Diriwayatkan ketika Maharaja Parsi Heraculis meminta penjelasan panglima tenteranya mengenai punca kekalahan tenteranya yang begitu besar dengan peralatan perang yang begitu canggih, maka dijelaskan bahawa puncanya ialah kerana tentera Islam hanya patuh kepada perintah Allah dan RasulNya, tekun beribadah dan taat kepada agamanya sehingga dalam masa perang pun mereka masih tetap mengerjakan solat manakala tentera Parsi pula tidak berpegang kepada agama malah mengikut hawa nafsu, minum arak, berzina dan sebagainya.

Sesungguhnya Ramadhan telah banyak memandu kita meningkatkan taqwa melalui amalan solat fardhu atau sunat, membudayakan diri ke masjid, membaca dan memahami ayat-ayat al-Quran, bertaubat, berdoa dan berzikir.

Renungilah dan hayati Firman Allah SWT di dalam surah al-A'raf ayat 96 yang bermaksud:

"Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: