Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, August 25, 2011

Menghargai nilai-nilai kemerdekaan


Seharusnya kita mensyukuri nikmat kemerdekaan yang diberikan oleh Allah kerana bukan mudah bagi para pejuang dan pahlawan tanah air negara berjuang bermati-matian untuk mendapatkan kembali kedaulatan negara kita setelah dijajah oleh bangsa asing suatu ketika dahulu.

Pahit getir dalam mengharungi onak duri demi mencapai suatu bentuk pemerintahan negara sendiri dan tidak diperintah lagi oleh kuasa asing sangat memerlukan suatu pengorbanan yang besar.

Pengalaman pahit ketika bertempur di medan peperangan, penderitaan rakyat dan sebagainya menjadi satu semangat juang untuk mempertahankan tanah air sendiri.

Kini setelah 54 tahun kita mengecapi nikmat kemerdekaan adakah kita sebagai generasi baru hanya menikmati kesenangan dan keselesaan kita tanpa menyedari perjuangan dan keperitan pejuang-pejuang terdahulu?

Terdapat sebahagian kecil generasi muda kita pada hari ini terlaku leka dan asyik dengan kemewahan, hiburan yang melampau (hedonisme), pergaulan bebas, berpeleseran, membuang masa dengan sia-sia, terlibat dengan jenayah dan sebagainya. Adakah nilai sebegini sesuai kita zahirkan sebagai balasan di atas pengorbanan dan penderitaan pejuang kemerdekaan terdahulu?

Marilah kita sama-sama renungkan perlakuan ini, janganlah kita mempersiakan kenikmatan dan keselesaan yang kita kecapi selama ini dengan melakukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada diri kita, keluarga, masyarakat dan negara.

Hendaklah kita memikirkan dengan keselesaan dan kemerdekaan ini apakah sumbangan yang akan kita berikan kepada diri kita, keluarga, masyarakat dan tanah air yang tercinta.

Kini setelah 54 tahun lamanya kemerdekaan negara kita, apakah jasa mereka yang telah berjuang itu harus dikenang dengan akhlak dan budaya yang melampaui batas?

Sedarilah bahawa nikmat kemerdekaan yang dikurniakan Allah merupakan suatu bentuk ujian kepada kita agar tidak terus lalai dengan nikmat yang diberikan tetapi lebih tawaduk dan lebih bersyukur kepada Allah Yang Maha Pemurah dan Penyayang, mudah-mudahan kita dikurniakan nikmat yang lebih besar.

Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud:

"Dan ingatlah takkala Tuhan kamu memberitahu demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambah nikmatku ke atas kamu dan jika kamu kufur sesungguhnya azabKu amatlah pedih."

Seharusnya kita memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah dengan memperbanyakkan amalan kebajikan dan menjauhi segala yang dilarangnya. Umpamanya mengadakan program-program yang berbentuk keagamaan serta diselitkan aktiviti yang menjurus ke arah mencintai tanah air sendiri.

Mengadakan majlis-majlis keramaian yang dibenarkan oleh Islam bagi memperingati jasa bakti para pejuang tanah air kita suatu ketika dahulu. Hulurkan bacaan ayat-ayat al-Quran sebagai sedekah daripada kita yang masih hidup.

Janganlah kita memperbanyakkan program yang berbentuk hiburan semata-mata kerana ia tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada masyarakat sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal.

Selain itu kita hendaklah membantu kesusahan saudara-saudara seIslam kita yang sedang bermandikan darah mempertahankan tanah air mereka. Mereka semua amat memerlukan bantuan kita dalam pelbagai bentuk pertolongan makanan, minuman, pakaian dan sebagainya.

Janganlah kita mengambil sikap tidak ambil peduli kerana kita tidak mengetahui nasib kita pada masa yang akan datang. Tatkala mereka susah kita membantu dan di saat kita memerlukan mereka pula datang menghulurkan bantuan.


Hendaklah kita sepakat menolak daripada menyokong Zionis kejam, para kuffar dan sekutunya dengan apa jua yang terdaya kerana merekalah sebenarnya penjajah yang tidak mengenal erti keamanan.

Dengan adanya program-program sedemikian, barulah lahir semangat patriotisme iaitu sifat dan sikap mencintai tanah air ini. Inilah yang akan mewujudkan suatu perubahan dalam diri masyarakat, umumnya perubahan dari kegelapan kepada kegemilangan ummah.

Kita mesti berubah dengan berusaha meningkatkan daya usaha kita dan seluruh masyarakat di negara kita agar tidak lagi dijajah dari sudut mental mahupun fizikal.

Firman Allah SWT di dalam surah ar-Rad ayat 11 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadanya."

Sejak kita mencapai kemerdekaan kita telah dapat menikmati pelbagai nikmat kemerdekaan antaranya ialah:
  1. Kemerdekaan politik negara, kita telah bebas dari belenggu penjajah.  Kita telah mampu untuk mengadakan pertahanan sendiri dan dapat mengadakan hubungan diplomatik dengan negara-negara luar dengan bebas.
  2. Kemerdekaan ekonomi, kita telah dapat membina ekonomi di negara kita dengan begitu kukuh dengan adanya pelbagai projek-projek ekonomi.  Kekuatan dari segi ekonomi membolehkan kita membina kekuatan pertahanan yang tidak kurang penting bagi pembangunan sesebuah negara sesuai dengan tuntutan agama Islam.  Firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 60 yang bermaksud: "Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh) Allah segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan berkuda yang lengkap tersedia, untuk mengerunkan pihak musuh yang lain dari mereka yang tidak kamu ketahui, sedang Allah mengetahui. dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya." Kekuatan di sini bukan sahaja kekuatan dari segi fizikal, pertahanan dan sebagainya tetapi meliputi juga kekuatan ekonomi.
  3. Kemerdekaan beragama, di negara kita ini bebas mengamalkan dan melaksanakan agama Islam.  Agama Islam telah diletakkan di mercu yang tinggi sebagai agama rasmi negara.
  4. Kemerdekaan dalam pendidikan di mana kita dapat menubuhkan pelbagai institusi pendidikan di seluruh negara bagi meningkatkan martabat masyarakat sebagaimana Firman Allah di dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud: "Allah mengangkat orang-orang yang beriman di antara kamu dan mereka berilmu dengan beberapa darjat."

Walaupun kita telah merdeka dan kita telah dapat menikmati nikmat kemerdekaan ini dari beberapa sudut yang dinyatakan tadi, namun kita masih lagi berhadapan dengan cabaran-cabaran besar yang mengganggu gugat akidah umat Islam seperti ajaran sesat dan sebagainya.

Kita berkewajipan membina diri kita dan umat Islam dari pemikiran yang sempit atau ajaran sesat seperti itu.

Di samping itu juga terdapat di kalangan orang Islam masih terikut-ikut dan cenderung kepada kebudayaan dan cara hidup penganut agama lain. Tepatlah sebagaimana yang difirmankan Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud:

"Orang-orang yahudi dan nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga kamu menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)."

Oleh yang demikian, perlulah kita menguatkan akidah dan cara hidup berasaskan kepada Islam dan nilai-nilai keIslaman yang unggul agar kita bebas dan merdeka daripada sebarang anasir yang memudaratkan dan yang boleh menggugat kemerdekaan tersebut.

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: