Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, May 4, 2011

Sunyi


Keunyian adalah perkara lumrah yang akan dialami oleh setiap insan di dunia.

Namun jika ia dibiarkan menguasai diri, ia mampu memberi kesan terhadap psikologi seseorang.

Perasaan sunyi biasanya melanda seseorang yang baru sahaja mengalami perpisahan sama ada berpindah ke tempat baharu, bertukar tempat kerja, anak-anak yang berhijrah ke tempat lain sama ada untuk belajar atau bekerja dan mereka yang terlibat dalam perceraian.

Kesunyian boleh diubati dengan cara mencari teman baharu ataupun mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti berfaedah seperti membaca, beriadah dan melancong.

Antara simptom-simptom mereka yang dilanda kesunyian:
  • Sering bercakap seorang diri
  • Selalu mengharap deringan telefon untuk diri sendiri
  • Tidak mempunyai kehidupan sosial, jarang bergaul dan melakukan aktivit-aktiviti luar
  • Sering keluar secara berseorangan

Individu dewasa paling banyak dilanda perasaan ini walapun hampir kesemua tahap umur merasakannya.

Kanak-kanak juga turut mengalami kesunyian jika ke sekolah seorang diri dan lebih teruk sekiranya bersekolah di tempat baru.

Sesetengah kanak-kanak belajar mengatasinya dengan bermain-main dan mendapatkan rakan baru. Tetapi ada juga antara mereka menjadikan binatang kesayangan sebagai teman berbicara.

Kesunyian pada tahap yang biasa tidak perlu dirisaukan, kerana ia dialami oleh semua orang, tetapi jika individu itu mengalami kesunyian yang teruk, sesuatu harus dilakukan untuk mengatasinya.

Ini kerana kesunyian selalunya diiringi dengan rasa teramat kecewa seterusnya boleh membawa kepada perbuatan yang tidak diingini seperti bunuh diri dan sebagainya.

Cara mengatasi:
  • Tambah bilangan kawan dari semasa ke semasa. Ini penting kerana ramai kawan akan membuatkan anda terasa hidup lebih bermakna.
  • Cipta minat baru seperti sertai mana-mana kelab, mengembara dan sebagainya sekali gus membolehkan anda berjumpa ramai orang.
  • Mereka yang bersara pula disarankan merancang persaraan dengan teliti kerana ketiadaan perancangan yang betul akan mengakibatkan masa banyak terbuang.
  • Sentiasa sibukkan diri dan jika mempunyai masa yang terluang, buatlah kerja-kerja kebajikan. Ini bukan sahaja elok tetapi juga boleh menambah rakan dan mengubati kesepian yang ada.

Bagi mereka yang mempunyai sifat malu, tidak mempunyai rakan serta sering rasa kecewa disarankan bertemu kaunselor untuk tindakan selanjutnya.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments: