Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, May 5, 2011

Hernia

Maklumat yang diberikan ini hanyalah untuk makluman sahaja. Maklumat yang diberikan tidak sepatutnya digunakan untuk mengenal-pasti atau mengubati sebarang jenis penyakit. Sila rujuk kepada doktor atau ahli perubatan yang terlatih untuk tujuan mengenalpasti jenis penyakit dan rawatan yang bersesuaian.


Penonjolan organ ini boleh berlaku ke dalam dan dikenali sebagai hernia internal atau penonjolan keluar, dikenali sebagai external hernia (dapat dilihat).

Mengenai sebab-sebab ia berlaku pula, ia dapat dibahagikan kepada sebab kecacatan lahir (kongenital) dan kecacatan yang diperolehi (acquired).

Abdomen ialah kawasan yang terletak di antara diafragma iaitu di sempadan bawah tulang rusuk dan tulang punggung.

Diafragma memisahkan ruang toraks dan abdomen.

Hernia internal boleh berlaku dalam abdomen itu sendiri atau melalui lubang dalam diafragma.

Manakala hernia external berlaku melalui kecacatan atau 'lubang' pada dinding abdomen sama ada di hadapan atau belakang. Hernia external biasanya dapat dilihat dan dirasai oleh pesakit.

Untuk kefahaman yang lebih mendalam perbincangan akan dilakukan di bawah tajuk hernia yang berkenaan.

Hernia Diafragma:

Biasanya hernia ini berlaku pada kanak-kanak yang baru lahir dan ia merupakan kecacatan lahir. Terdapat lubang di diafragma dan usus sama ada usus kecil atau besar boleh masuk ke dalam ruang toraks dan menyebabkan kesesakan nafas.

Limpa juga boleh masuk ke dalam ruang toraks. Keadaan ini mudah dikenali selepas melihat gambar x-ray dada.

Keadaan ini juga boleh berlaku apabila diafragma terkoyak selepas kemalangan yang menyebabkan peningkatan tekanan dalam abdomen.

Rawatan pembedahan boleh mengatasi keadaan demikian dengan cara menutup lubang di diafragma tersebut.


Hernia 'Inguinal' Tidak Terus (Indirect Inguinal Hernia):

Pembengkakan boleh berlaku di pangkal kemaluan (groin) sama ada pada lelaki atau perempuan.

Bengkak disebabkan sama ada usus kecil, usus besar, sekum (caecum) atau pundi kencing telah masuk ke dalam terowong inguinal di mana terdapatnya salur air mani yang dikenali sebagai spermatic cord pada lelaki.

Pada wanita terowong inguinal hanya dipenuhi dengan ligamen lebar. Bengkak boleh merebak ke kerandut buah lelaki atau bibir kemaluan wanita. Ia boleh berlaku pada semua peringkat umur.

Keadaan ini memerlukan rawatan segera kerana khuatir organ dalam akan tersekat dalam terowong inguinal dan menyebabkan kematian bahagian organ terlibat.

Melalui pembedahan, sarung hernia ditutup dan dinding belakang terowong diperkuat dengan menggunakan tali tangsi atau linen.


Hernia Terus (Direct Hernia):

Bengkak boleh berlaku di bahagian atas pangkal kemaluan disebabkan kelemahan pada dinding abdomen di kawasan segitiga.

Bengkak ini tidak menjalar ke kemaluan sebaliknya berada di atas kemaluan.

Penyakit ini berlaku pada orang dewasa dan disebabkan oleh penggunaan otot abdomen secara berlebihan.


Hernia Pangkal Paha (Hernia Femoral):

Bengkak di pangkal paha lebih kerap berlaku di kalangan wanita dan selalunya keadaan ini disalah tafsir sebagai pembengkakan kelenjar limpa.

Sebahagian dinding usus sama ada kecil atau besar boleh terlekat dalam terowong 'femoral' dan boleh menyebabkan kematian bahagian organ terlibat.

Keadaan ini memerlukan rawatan pembedahan segera kerana kebarangkalian usus terlepas sendiri adalah tipis sekali.


Hernia Pusat:

Bengkak boleh berlaku di parut bekas tali pusat atau di sekitarnya apabila usus atau omentum termasuk dalam lubang hernia tersebut.

Pusat akan nampak membonjol keluar dan kadangkala berwarna kebiruan.

Keadaan ini juga memerlukan rawatan secara pembedahan kerana dikhuatiri usus atau omentum akan terlekat di dalam hernia tersebut.


Hernia Epigastrik:

Hernia boleh terjadi akibat kegagalan percantuman tisu rektus di kawasan antara ulu hati dan pusat. Lubang yang terjadi boleh berupa lubang yang kecil sahaja ataupun besar.

Lubang ini akan memerangkap tisu lemak dan boleh menyebabkan kesakitan. Rawatan pembedahan adalah perlu untuk menutup lubang tersebut.


Hernia Insisional:

Hernia jenis ini terjadi selepas pesakit menjalani pembedahan sama ada pembedahan biasa atau pembedahan cesarian. Keadaan ini senang berlaku apabila menjalani aktiviti fizikal sebelum luka sembuh atau terdapatnya jangkitan kuman pada luka tersebut.

Pesakit akan mendapati parut bedah akan melebar dan menonjol terutama ketika mengangkat barang.

Jika hernia melibatkan seluruh parut bedah, 'lubang' hernia biasanya besar dan tidak berbahaya. Apabila 'lubang' hernia itu kecil dan dalam, kemungkinan usus terperangkap adalah tinggi.


Sakit Di Ulu Hati:

Salah satu sebab simptom 'gastrik' ialah berlakunya kemasukan sempadan esofagus dan perut ke dalam ruang toraks. Perut boleh masuk ke toraks secara menggulung (rolling hernia) atau menggelongsor (sliding hernia).

Apabila keadaan ini terjadi, asid hidroklorik dan perut akan terbebas ke dalam esofagus menyebabkan hakisan dan memberikan kesakitan seperti sakit gastritis (gastrik).


Penutup:

Budaya orang Melayu, apabila berlaku kesakitan hernia seperti dalam penerangan di atas, benda pertama yang selalu disebut ialah penyakit angin.

Bomoh akan cepat-cepat mengesahkan ini penyakit banyak angin.

Sebenarnya ini tidak betul dan keputusan yang demikian akan mendorong pesakit hernia untuk tidak mendapatkan rawatan dan menanggung kesakitan tersebut selamanya.

Oleh: DR. HASSAN MAT

Dari arkib Utusan Malaysia

No comments: