Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, May 3, 2011

Ketinggian akhlak asas keteguhan iman

Islam telah mengingatkan kepada umatnya mengenai pentingnya memelihara akhlak dan mengamalkan nilai-nilai mulia dalam kehidupan seharian kita dan sebagai hamba yang taat kepada perintah Allah SWT.

Kita tidak dibenarkan sama sekali untuk melakukan sebarang kemungkaran, kemaksiatan, perkara-perkara keji dan seumpamanya kerana ia merupakan satu tegahan atau larangan yang nyata.

Salah satu kunci kejayaan Rasulullah SAW dalam menyampaikan risalah dakwah ialah dengan memiliki ketinggian akhlak dan mengamalkan dalam kehidupan Baginda seperti hubungan baik dengan keluarga, jiran tetangga, sahabat handai bahkan dengan kaum kafir juga Baginda sering menunjukkan akhlak mulia ini.

Ummul Mu'minin Saidatina Aisyah r.a. pernah ditanya mengenai akhlak Baginda SAW, maka Saidatina Aisyah menjawab dengan katanya: "Akhlak Baginda adalah al-Quran". Gambaran ketinggian akhlak Baginda SAW juga dirakamkan oleh Allah SWT di dalam surah Al-Qalam ayat 4 yang berbunyi:

"Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia".

Para ulama menyatakan bahawa Baginda tercipta di dalam keaslian fitrahnya melalui tarbiah Ilahiyat. Dan ini adalah anugerah Allah SWT ke atas kekasihnya Rasul utusan terakhir junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Keistimewaan yang tiada tarafnya menjadikan Baginda dipilih dan dilantik oleh Allah SWT sebagai penghulu kepada sekalian Nabi dan Rasul.

Akhlak dan sirah perjalanan yang ditunjukkan oleh Rasul SAW adalah sebagai contoh teladan yang dapat mendidik diri dan peribadi Muslim agar sentiasa beriman dan bertakwa. Ini kerana setiap perkataan, perbuatan, pengakuan dan tingkah laku Baginda mengandungi hikmat dan sebagai huraian kepada prinsip-prinsip yang terkandung di dalam al-Quran. Maka sudah tentu, setiap perkataan dan tindakan kita yang berpandukan akhlak dan sirah perjalanan Baginda, tidak akan terpesong atau tersasar dari landasan agama dan tuntutan syariat.

Sejarah mencatatkan bahawa akhlak Rasulullah SAW adalah modal utama yang dapat menarik minat golongan bukan Islam kepada Islam. Contohnya, kisah tauladan seorang Badawi membuang air kecil di dalam masjid, melihat kejadian ini maka para sahabat yang berada di situ naik berang dan hendak memukul Badawi tadi. Bagaimanapun, tindakan mereka itu dihalang oleh Rasulullah SAW, sebaliknya Baginda membiarkan Badawi itu selesai membuang air kecil. Kemudian Baginda meminta sebekas air lalu disiramkan di tempat kencing tersebut. Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat, apakah yang akan terjadi jika mereka mengejar dan memukul Badawi itu semasa sedang membuang air kecil? Maka jawab sahabat, seluruh kawasan itu akan terkena najis air kencingnya. Kisah ini menjadikan Badawi yang menyaksikan tindakan Rasulullah itu merasa kagum dengan ketinggian akhlak Baginda lalu beliau pun menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam.

Suasana masyarakat pada hari ini berhadapan dengan krisis nilai, begitu banyak budaya luar dan fahaman atau ideologi yang tidak sihat, telah mempengaruhi cara kehidupan seperti percakapan, gaya berpakaian dan pergaulan dan apa yang lebih membimbangkan terdapat segelintir masyarakat yang mula terpengaruh dan terjebak dengan aliran Islam Liberal, dan lebih dahsyat lagi pengaruh Black Metal dan sebagainya yang mencemarkan nama baik serta identiti umat Islam, dan ini membawa gambaran negatif kepada imej Islam.

Anasir-anasir yang tidak sihat ini dengan mudah menyelinap masuk serta menjajah pemikiran, seterusnya mempengaruhi kehidupan kita, sekiranya benteng iman kita tipis, cetek pengetahuan tentang agama, meremehkan nasihat para ulama, mengabaikan suruhan agama dan tidak berpegang dengan tuntutan syariat.

Mereka yang diresapi dengan fahaman atau aliran yang merbahaya ini, akan mudah meminggirkan akhlak dan nilai-nilai murni sebagaimana yang dituntut oleh Allah dan RasulNya.

Ingatlah, bahawa Islam sentiasa diperhatikan, dan kelemahan-kelemahan serta kecelaruan yang sedang dialami oleh umat Islam akan dijadikan asas dan modal untuk musuh-musuh Islam membina seribu satu alasan untuk memburuk-burukkan Islam.

Tidak mustahil mereka akan memperalatkan saudara-saudara kita sendiri seperti yang pernah berlaku di abad lalu, khususnya ketika negara-negara umat Islam dijajah oleh kuasa penjajah.

Ini semua menandakan Islam sedang diuji dan ia merupakan satu peringatan kepada kita. Cara terbaik malah wajib dilakukan oleh kita ialah kembali mencontohi akhlak Baginda Nabi Muhammad SAW. Adalah wajar bagi kita memperingati kelahiran Baginda SAW sebagai tanda rasa kecintaan terhadap perjuangan Baginda. Dengan sentiasa mengingati Rasulullah SAW khususnya sejarah kelahiran baginda setiap tahun sekaligus akan memberikan kita kekuatan, pengajaran dan pendidikan yang tidak secara langsung kepada masyarakat terutama sekali generasi muda yang bakal memimpin negara yang kini sedang berhadapan dengan zaman canggih, teknologi cyber dan penuh dengan godaan dan ancaman aqidah songsang.

Eloklah kita menanam keazaman untuk mencontohi akhlak dan sirah perjalanan hidup Baginda Rasulullah SAW. Mudah-mudahan kita akan menjadi umat yang terbaik dan terbilang.

Di antara akhlak Baginda Rasulullah SAW yang perlu dicontohi:
  1. Baginda sentiasa memberi salam kepada sesiapa yang ditemui.
  2. Baginda sangat menghormati warga tua, mengasihani golongan muda dan kanak-kanak.
  3. Baginda bercakap dengan lemah-lembut dan sentiasa menumpukan perhatian kepada orang yang bercakap dengannya.
  4. Baginda tidak pernah menghina orang miskin dan tidak merasa terhina bergaul dengan mereka.
  5. Baginda sentiasa membantu orang lain walaupun Baginda sendiri dalam kesusahan.
  6. Baginda sangat berlemah-lembut dengan isteri, anak-anak dan ahli keluarganya.
  7. Baginda tersangat sabar dan tabah apabila menghadapi setiap cabaran dan kesusahan.

Marilah kita bersama-sama mencontohi akhlak Rasulullah SAW dan mengamalkannya. Kita juga dituntut melakukan muhasabah diri dan mengambil iktibar untuk dihayati. Dalam masa yang sama, tanyalah diri kita sendiri, apakah dengan setiap kali meraikan sambutan Maulidur Rasul, roh kehidupan, akhlak dan perjuangan Rasulullah SAW telah kita hayati dan perjuangangkan? Atau apakah sebaliknya kita telah hanyut oleh arus kehidupan duniawi sehingga mengabaikan nilai agama?

Amat rugi sekali sekiranya kita mengamalkan cara hidup yang bertentangan dengan amalan dan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)". - Al-Ahzab ayat 21.

sumber: E-Khutbah Jakim

No comments: