Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, April 11, 2011

Gangguan seksual di tempat kerja


Menurut Kod Amalan Pencegahan Gangguan Seksual Di Tempat Kerja (Code of Practice on the Prevention and Eradiction of Sexual Harrasment in the Workplace) yang disediakan oleh Kementerian Sumber Manusia, gangguan seksual bermaksud sebarang tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal.

Gangguan-gangguan ini boleh dianggap oleh mangsa sebagai isyarat berbentuk seksual yang berbentuk pencabulan, penghinaan atau ancaman terhadap mangsa yang tidak berkaitan dengan pekerjaan yang dilakukannya.

Gangguan seksual yang dimaksudkan adalah melalui:
  • Lisan contohnya perkataan, gurauan, usikan melalui bunyi dan soalan-soalan berbentuk ancaman atau cadangan seksual.
  • Isyarat dan bukan lisan seperti pandangan atau kerlingan yang mempunyai niat tertentu, menjilat bibir, memegang sesuatu dengan cara menggoda atau mengghairahkan, isyarat tangan yang melambangkan perlakuan seks, tingkah laku mengurat yang berterusan dan melampau.
  • Visual seperti menunjukkan bahan-bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat dan menghantar e-mail dengan perkataan berahi dan berunsur seksual, mendedahkan bahagian-bahagian sulit tubuh badan yang tidak patut didedahkan.
  • Psikologi seperti mengulangi jemputan sosial setelah mangsa menolaknya, memujuk rayu mangsa secara berterusan untuk keluar bersama atau untuk bercumbuan.
  • Fizikal seperti sentuhan yang tidak diingini oleh mangsa, menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk, mencium dan melakukan serangan seksual.

Masalah gangguan seksual lazimnya melibatkan sikap seseorang di dalam organisasi seperti pejabat atau tempat kerja. Gangguan seksual bukan sahaja berlaku kepada kaum wanita malahan ia juga berlaku kepada kaum lelaki namun bilangan bilangan kes gangguan seksual terhadap lelaki adalah kecil berbanding kes yang melibatkan kaum wanita.

Antara faktor-faktor yang dikenalpasti sebagai pendorong kepada gejala gangguan seksual ke atas pekerja adalah seperti:
  • Penyalahgunaan kuasa pada seorang penyelia atau rakan sekerja.
  • Salah faham peranan di antara penyelia dan pekerja.

Menurut data yang diambil dari Pertubuhan Buruh Dunia (ILO) tahun 1988, sektor perhotelan dan katering mempunyai kebarangkalian yang besar gangguan seksual berlaku ke atas pekerja wanita berbanding pekerjaan di sektor-sektor lain.

Disebabkan itu, Kementerian Sumber Manusia telag mengeluarkan Kod Amalan Pencegahan Gangguan Seksual Di Tempat Kerja sebagai langkah pencegahan berlakunya gangguan seksual di tempat kerja.

Selain daripada itu, pihak majikan di sesebuah organisasi juga patut mengadakan suatu langkah pencegahan untuk mengelakkan berlakunya gejala sosial dan gangguan seksual di tempat kerja antaranya seperti:
  • Membuat satu kenyataan dasar melarang gangguan seksual di dalam organisasi.
  • Memberikan definisi yang jelas tentang gangguan seksual kepada pekerja
  • Menyediakan prosedur membuat aduan tentang gangguan seksual di kalangan pekerja.
  • Meningkatkan kesedaran tentang gangguan seksual dan akibat buruknya kepada pekerja, penyelia dan pengurus syarikat.
  • Mengadakan satu peraturan dan disiplin di kalangan pekerja.
  • Memberikan langkah-langkah perlindungan dan pemulihan kepada mangsa

Gangguan seksual dapat dicegah sekiranya terdapat kerjasama antara pihak majikan dan kesatuan sekerja.

Kesatuan sekerja mempunyai peranan yang jelas dalam membantu mewujudkan suasana kerja yang bebas dari gangguan seksual.

Dengan adanya kerjasama antara majikan dan kesatuan sekerja, maka beberapa program promosi dan pendidikan bagi mewujudkan budaya kerja yang sihat dan selamat dapat dibentuk sekali gus mencegah daripada berlakunya sebarang perbuatan tidak sihat seperti penglibatan pekerja dalam perlakuan tidak bermoral seperti gejala rasuah dan gangguan seksual.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari www.mohr.gov.my

sumber: Kementerian Sumber Manusia, Yusdi bin Ismail - Gangguan Seksual Di Dalam Industri Perhotelan: Ke Arah Pembentukan Paduan Mengatasi Gangguan Seksual, members.tripod.com/pemudapas_b.bendera/Pekerja_Industri/Gangguan_Seksual/gangguan_seksual.html

3 comments:

Anonymous said...

Gangguan seksual daripada pihak atasan perempuan terhadap pekerja perempuan ataupun terhadap majikan lelaki lebih menjadikan situasi rumit dan majikan lelaki mungkin digoda kemudian menyalahgunakan kuasa sebagai majikan atau jawatannya sebagai pengurus terhadap mangsa pihak ketiga...!

Anonymous said...

kerana saya sendiri adalah mangsa dlm situasi tersebut di tempat kerja,dan saya macam telah dijadikan bagai "KAMBING HITAM" oleh hasutan pelaku perempuan itu baru dinaikkan pangkat sebagai Branch Manager di tempat kerja saya. Dan, saya sendiri melihat serta mendengar perbualan perempuan itu bagaikan ada gangguan seksual terhadap Area-Maneger lelaki di tempat kerja syarikat saya. Pihak atasan yang lebih tinggi mungkin tak tahu keadaan tersebut tapi mereka hanya mendengar pihak Area-Manager atau percakapan pihak peringkat pengurus sahaja...APA PATUT SAYA BUAT UNTUK LAPOR KELAKUAN PEREMPUAN MANAGER SAYA ITU..?PLEASE ADVISE...........

Zairul Salleh said...

Kepada Anon 2.11, terima kasih kerana komen anda.

Untuk perkara tersebut, saya cadangkan supaya anda membuat aduan di Kementerian Sumber Manusia ataupun laman webnya http://www.mohr.gov.my/index.php/en/feedback-complaints/enquiries-complaints.