Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, April 8, 2011

Iktibar Peperangan Mu'tah

Bulan Jamadil Awwal 8 Hijrah merupakan tarikh bersejarah bagi umat Islam di mana telah berlaku satu perperangan yang dipanggil Peperangan Mu'tah.

Peperangan ini dinamakan Peperangan Mu'tah kerana ia berlaku di sebuah tempat bernama Mu'tah di Jordan. Ia berpunca apabila seorang utusan Rasulullah SAW yang bernama Harith bin Umair al-Azdi telah dihantar ke Mu'tah untuk menyampaikan pesanan baginda Rasulullah SAW kepada Raja Busra yang memerintah Mu'tah. Raja Busra telah bertindak zalim kepada Harith dengan merebus beliau hidup-hidup di dalam kawah air panas dan Harith bin Umar al-Azdi syahid demi untuk melaksanakan suruhan Rasulullah.

Lanjutan dari peristiwa itu Rasulullah SAW telah menghimpunkan seramai 3,000 orang tentera Islam dalam masa yang begitu pantas. 3,000 orang tentera Islam yang bersiap sedia untuk ke Mu'tah ini bukan atas misi membalas dendam kerana kematian Harith bin Umar al-Azdi sebaliknya dengan misi untuk berdakwah.

Rasulullah SAW telah meletakkan tujuan utama angkatan ini ialah untuk menyeru penduduk Mu'tah untuk menerima Islam dan seandainya mereka berkeras dan melawan serta mengajak kepada peperangan maka barulah angkatan tentera Islam akan melancarkan serangan.

Begitupun, Rasulullah SAW tetap menghormati hak kemanusiaan pihak musuh. Baginda telah berpesan kepada tentera-tentera Islam agar tidak membunuh dan mencederakan wanita dan kanak-kanak, tidak memotong pohon-pohon yang terdapat di Mu'tah dan memusnahkan rumah kediaman penduduk.

Rasulullah SAW tidak turut serta dalam Peperangan Mu'tah dan meletakkan tanggungjawab kepada tiga orang panglima perang iaitu Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Tolib dan Abdullah bin Rawahah. Rasulullah SAW telah membekalkan mereka dengan strategi perang yang berkesan yang telah diwahyukan oleh Allah SWT kepada Baginda.

Ujian pertama yang perlu dilalui oleh angkatan tentera Islam ini adalah berita bahawa tentera musuh telah pun menantikan ketibaan mereka di Mu'tah dengan jumlah seramai 100 ribu orang. Berita ini sedikit sebanyak telah menimbulkan kegerunan kepada sebahagian tentera Islam bagaimanapun semangat mereka dapat dipulihkan oleh kata-kata perangsang Abdullah bin Rawahah bahawa terdapat dua kebaikan yang menanti mereka dalam peperangan ini iaitu kemenangan apabila mengalahkan tentera musuh dan syahid kerana berperang di jalan Allah.

Dengan semangat untuk meraih kemenangan dan juga untuk gugur syahid berjuang di jalan Allah angkatan tentera Islam terus mara ke Mu'tah meskipun mengetahui bahawa mereka akan menerima tentangan yang hebat daripada tentera musuh.

Seramai 12 orang tentera Islam termasuk tiga orang panglima yang telah dilantik oleh Rasulullah SAW telah syahid dalam peperangan ini. Kepimpinan tentera Islam kemudian dipegang oleh Khalid ibnu Walid. Meskipun telah kehilangan 12 anggota tentera namun ia tidak mematahkan semangat tentera Islam untuk meneruskan perjuangan. Tentera Islam tetap mara hingga akhirnya berjaya meraih kemenangan.

Semangat jihad yang ditunjukkan oleh tentera Islam dalam Peperangan Mu'tah ini sewajarnya dijadikan iktibar bagi kita umat Islam yang hidup pada masa kini. Strategi musuh Islam untuk menghancurkan Islam bukan setakat pada bidang ketenteraan sahaja, sebaliknya serangan yang dilancarkan kini adalah melalui ideologi, teknologi dan psikologi. Disebabkan itu maka umat Islam hendaklah menimba ilmu pengetahuan demi untuk menangkis dan mengatasi serangan musuh Islam yang bertubi-tubi.

Umat Islam juga wajib membantu saudara seagama yang ditindas pengganas kuffar (kafir) seperti yang berlaku di Palestin, Afghanistan dan Iraq. Tidak semestinya bantuan diberikan dalam bentuk ketenteraan atau militan sebaliknya umat Islam boleh membantu dari segi kewangan, perubatan dan sebagainya seperti yang dilakukan oleh badan-badan amal seperti Aman Palestin, Perdana Global Peace Organisation dan sebagainya adalah satu usaha untuk mengekang keganasan ke atas penduduk Gaza daripada rejim Zionis.

Firman Allah SWT:

"Maka pada hari ini, masing-masing di antara kamu tidak berkuasa memberi sebarang manfaat kepada kawannya, dan tidak pula dapat menolak sesuatu bahaya daripadanya dan Kami katakan kepada orang-orang yang zalim (yang berlaku syirik) itu. "Rasalah azab neraka yang kamu dahulu mendustakannya". - Surah Saba' : Ayat 42

Dicerna daripada Khutbah Jumaat berjudul Iktibar Peperangan Mu'tah yang disampaikan oleh Ustaz Hj. Abd Aziz bin Hj. Ahmad pada 4 Jamadil Awwal 1432H bersamaan 8 April 2011 di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

No comments: