Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, March 29, 2011

Tebuan


Tebuan ialah sejenis serangga terbang yang mempunyai sengat yang menyakitkan dan datang dari spesies lebah yang hidup berkelompok.

Tebuan boleh didapati di setiap benua kecuali Antartika.

Tebuan boleh membesar sehingga 5.5 sentimeter atau 2.2 inci panjang dan dapat dibezakan daripada kalangan lebah dengan mempunyai lebar kepala yang lebih besar dan berwarna kuning berbelang pada seluruh badannya.

Tebuan tergolong dalam keluarga Order Hymenoptera daripada keluarga Vespidae yang terdiri dari lebih 5,000 spesies tebuan dan serangga lain.

Spesies utama di Malaysia ialah Vespa tropica (tebuan kunyit) yang membuat sarang daripada cebisan-cebisan tumbuhan yang dilumatkan menjadi seperti kertas.

Tebuan kunyit mudah dikenali pada warna kuning dan berbelang pada badannya dan ia boleh membesar sehingga lebih empat sentimeter.

Tebuan kunyit atau tebuan tanah adalah spesies biasa yang tinggal dalam habitat hutan serta belukar. Ia hanya keluar pada waktu malam dan amat sensitif dengan pergerakan manusia.

Seseorang yang terkena sengatan tebuan perlu mendapatkan rawatan segera terutamanya kanak-kanak.

Racun daripada tebuan mampu meninggalkan kesan seperti bengkak teruk selain melemahkan badan.

Jika kanak-kanak disengat tebuan, racun tersebut mampu menjejaskan daya ketahanan selain kesan bengkak yang pedih pada bahagian atau anggota tubuh yang disengat.

Jika sengatan itu pada sistem saraf atau saluran darah seperti di bahagian muka, mangsa perlu dibawa segera ke hospital bagi mendapatkan rawatan kerana ia boleh menyebabkan maut.

Seandainya disengat tebuan, tindakan pertama adalah dengan meletakkan ais atau air sejuk di tempat terkena sengatan untuk membekukan tempat sengatan seterusnya menghalang racun itu merebak dalam tempoh tertentu.

Tindakan menyapu minyak angin pada tempat terkena sengatan adalah tidak berkesan dan akan menambah kepedihan dan kepanasan pada badan.

Mangsa perlu dibawa ke hospital atau klinik yang berhampiran dalam masa dua jam untuk mengelakkan racun itu merebak ke anggota badan dan becampur dalam darah.

Di klinik, mangsa akan diberi ubat sapu untuk bengkak atau mengurangkan gatal.

Untuk kes yang lebih serius, pemeriksaan reaksi dan kesan serius alergi dilakukan.

Antara simptom yang diperiksa adalah keadaan mata yang bengkak, demam panas, gatal-gatal dan badan yang lemah.

Sekiranya tanda-tanda itu dikenalpasti, doktor akan memeriksa tekanan darah, membuat ujian darah, memeriksa paru-paru dan sistem antibodinya sebelum bertindak memberi suntikan dan tindakan sewajarnya.

Biasanya, hanya sengatan melibatkan lebih daripada dua ekor tebuan yang membawa kepada situasi cemas.

Namun ia bergantung kepada daya ketahanan seseorang itu, seandainya daya ketahanan seseorang itu lemah, satu sengatan sahaja boleh membawa maut.

Sumber: Kosmo!

No comments: