"Saya sentiasa mengambil masa yang terlampau panjang dalam bilik mandi. Seringkali saya mandi lebih dari satu jam dan habiskan sabun setiap kali mandi. Apakah masalah saya?"
Aapakah Kecelaruan Obsesif Kompulsif?
Kita semua mempunyai tabiat, amalan dan corak hidup yang memastikan kebersihan, kesihatan dan keselamatan diri kita. Kita membasuh tangan sebelum makan. Kita menguncikan pintu dan mematikan ketuhar sebelum meninggalkan rumah. Seseorang mungkin suka menyanyi sambil kerja, membaca atau menyediakan baju yang diperlukan untuk hari berikutnya sebelum tidur, semua ini mungkin merupakan amalan yang menenangkan hati.
Tetapi bagi individu yang menghidapi Kecelaruan Obsesif Kompulsif (OCD), mereka terpaut dengan fikiran (obsesif), corak dan rutin (kompulsif) yang tidak rasional dan tidak masuk akal. Mereka tahu bahawa fikiran atau kelakuan itu adalah tidak rasional dan tidak masuk akal tetapi mereka tidak dapat melawannya. Sesetengah daripada mereka akan mengulangi amalan yang rumit seperti mencuci tangan, mengira, memeriksa sesuatu selama beberapa jam untuk mencegah fikiran, perasaan atau imej berulang-ulang yang tidak disenangi. Ada yang hidup dalam ketakutan kerana bimbang mereka akan membuat sesuatu yang salah dengan tidak sengaja seperti mencederakan seseorang, tercakap sesuatu yang tidak sopan atau tersilap membuang sesuatu.
Walaupun jarang berlaku pada masa dulu, kini OCD mempengaruhi antara 2 - 3% daripada populasi umum dan lebih lazim berlaku di kalangan wanita.
Tentang Kecelaruan Keresahan
Keresahan merupakan sebahagian daripada kehidupan biasa kita. Ia adalah satu cara badan kita menunjukkan ketidakselesaan. Keresahan menjauhkan kita daripada bahaya dan membantu kita untuk bertindakbalas dengan cepat semasa menghadapi bahaya. Tetapi, bagi sesetengah orang, keresahan menjadi keterlaluan dan berpanjangan. Ia menjejaskan kehidupan seharian mereka dan menyusahkan mereka untuk menjalani aktiviti-aktiviti seharian. Keadaan itu mungkin tanda Kecelaruan Keresahan.
'Kecelaruan Keresahan' merangkumi Kecelaruan Keresahan Umum (GAD), Kecelaruan Obsesif Kompulsif (OCD), Kecelaruan Panik (PD), Kecelaruan Stres Pasca-Trauma (PTSD), Kecelaruan Keresahan Sosial (SAD) dan fobia tertentu.
Apakah obsesi dan kompulsi umum?
Fikiran Obsesif
- Sentiasa bimbang dengan tidak rasional mengenai kekotoran, kuman atau pencemaran.
- Sering berasa sesuatu yang teruk akan berlaku jika sesuatu barang tidak diletak di tempat yang betul atau tidak mengikut aturan.
- Takut bahawa pandangan atau fikiran yang negatif atau buruk akan mencederakan diri sendiri atau orang yang tersayang.
- Keasyikan terhadap kehilangan atau tersilap membuang sesuatu barang walaupun ia tidak bernilai.
- Terfikir-fikir untuk mencederakan seseorang tanpa atau dengan niat.
Kelakuan Kompulsif
- Mencuci - Mencuci tangan, mandi atau membasuh alat-alat rumahtangga berulang kali selama beberapa jam.
- Memeriksa - Memeriksa sesuatu (seperti adakah pintu sudah dikunci? Adakah ketuhar di dapur dimatikan? Adakah palam pengering rambut sudah dimatikan?) berulang kali, adakalanya sebanyak 100 kali sehari.
- Mengulangi - Tidak dapat berhenti mengulangi sesuatu nama, rangkai kata atau irama.
- Kelambatan - Mengambil masa yang terlalu lama untuk melakukan aktiviti seharian.
- Menyimpan - Menyimpan benda yang tidak berharga seperti penutup botol atau gelang getah.
Bagaimanakah Kecelaruan Obsesif Kompulsif menjejaskan kehidupan anda?
Obsesi dan amalan boleh mengganggu rutin biasa, kerja sekolah, pekerjaan, keluarga dan aktiviti sosial seseorang. Pesakit OCD akan menghabiskan beberapa jam sehari untuk fokus pada fikiran obsesif mereka dan melakukan tabiat/amalan mereka yang tidak rasional. Oleh itu, mereka sukar menumpukan perhatian dalam aktiviti seharian mereka. Pesakit OCD sering mengambil langkah yang ekstrem untuk menyembunyikan tingkah laku mereka daripada orang tersayang. Jika tidak dirawat, OCD akan menjejaskan seluruh kehidupan seseorang.
Apakah yang menyebabkan Kecelaruan Obsesif Kompulsif?
Punca yang menyebabkan OCD masih tidak diketahui. Dulu, para penyelidik berpendapat bahawa ia merupakan akibat sikap ahli keluarga atau pengalaman hidup masa kecil. Kini, kita dapat tahu bahawa sebenarnya bukan itu merupakan puncanya. Semakin banyak bukti menunjukkan bahawa OCD diakibatkan oleh otak yang tidak normal. Faktor persekitaran juga merupakan salah satu faktor yang penting. OCD sering berlaku di kalangan keluarga dan mungkin mempunyai hubungan genetik.
Bolehkah kanak-kanak menghidapi Kecelaruan Obsesif Kompulsif?
Kanak-kanak juga boleh menghidapi OCD. Kecelaruan ini berkait rapat dengan pertalian darah jadi tidak hairan seorang kanak-kanak yang menghidapi OCD mula menunjukkan simptom-simptom OCD jika salah seorang atau kedua-dua ibu bapanya menghidapi OCD. OCD akan menyukarkan kanak-kanak untuk menghabiskan kerja rumah atau sekolahnya. Perhubungan dengan rakan-rakan, adik-beradik atau ibubapa turut akan terjejas. Kanak-kanak yang menghidapi OCD lebih mudah mengalami sakit kepala, sakit perut atau penyakit yang berkaitan dengan stres atau tekanan.
Apakah rawatan yang sediakini?
Mujurlah kebanyakan individu yang mendapatkan rawatan untuk OCD atau kecelaruan keresahan lain dapat melihat keadaan mereka bertambah baik dan menikmati kehidupan yang lebih berkualiti. Kini, terdapat banyak jenis rawatan termasuk terapi kognitif tingkah laku, terapi pendedahan, pengurusan keresahan dan ubat-ubatan. Salah satu atau kombinasi terapi yang tersebut akan dicadangkan kepada pesakit. Pesakit patut faham bahawa tiada satu rawatan yang 'betul' dan rawatan yang berkesan untuk seseorang tidak semestinya sesuai untuk individu yang lain. Pakej rawatan patut dipilih supaya sesuai untuk individu tertentu. Sebelum memulakan rawatan, dapatkan penjelasan daripada doktor anda tentang sebabnya mengesyorkan rawatan tertentu, adakah pilihan rawatan yang lain dan apa yang patut diamalkan dalam proses pemulihan anda.
5 Langkah Untuk Mengatasi Keresahan
Sama ada anda mengalami keresahan yang biasa atau menghidapi kecelaruan keresahan, langkah-langkah ini dapat membantu anda menghadapinya.
- Bersenam, bersiar-siar atau berlari. Menari. Gerakkan badan anda!
- Bersembang dengan seseorang, suami atau isteri, kawan, anak atau doktor.
- Tulis diari harian, kenalpasti unsur-unsur yang akan mencetuskan keresahan anda.
- Makan secara seimbang dan tepat masa. Elakkan kafein yang akan menyebabkan gejala keresahan.
- Berjumpa dengan doktor keluarga anda. Biarlah doktor membantu anda.
www.adaa.org
www.depnet.com
www.psychiatry-malaysia.org
www.lexapronet.com
1 comment:
penawar was-was; rasai kesannya serta merta di http://rawatwaswas.blogspot.com
Post a Comment