* Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidil Fitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari raya Aidil Fitri dapat dilihat dengan memakai pakaian yang cantik dan indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidil Fitri dipergunakan untuk membawa ahli keluarga bersiar-siar serta berkelah di tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian daripada tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidil Fitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq berkata:
- Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, masa. 290.
"Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati."
* Rasulullah SAW sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha. Anas bin Malik r.a berkata:
- Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.
"Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliyyah pada kedua-dua hari itu. Lalu Baginda berkata: "Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah." Sabdanya lagi: "Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha."
Mengerjakan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal
* Sabda Rasulullah SAW:
- Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.
"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun."
* Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan puasa sesudah hari raya Aidil Fitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahan mahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bid'ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi SAW yang thabit. Oleh itu, afdal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.
No comments:
Post a Comment