Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, September 27, 2010

Adab berziarah

BERZIARAH dan saling bermaafan adalah tuntutan agama.

AMALAN ziarah-menziarahi sememangnya dituntut oleh agama. Bukan sekadar menziarah kaum keluarga atau sanak saudara bahkan jiran-jiran terdekat hatta individu yang tidak pernah dikenali sebelum ini.

Tujuan kunjung mengunjung adalah untuk merapatkan silaturahim dan saling bermaafan. Bukan bertujuan untuk mendapatkan duit raya, memperaga baju raya paling cantik, mahal ataupun melihat setiap hiasan atau susun atur rumah yang kita kunjungi.

Islam memperincikan beberapa syarat atau adab yang perlu diamalkan ketika seseorang Muslim berhasrat untuk menziarah jiran atau sanak saudara, bukan sahaja pada hari raya malah ketika hari-hari biasa.

Adab-adab tersebut diperincikan bermula daripada sebelum berziarah, semasa menziarah, selepas menziarah dan perkara-perkara yang perlu dihindarkan ketika berziarah.

Adab-adab sebelum berziarah

*Memilih masa yang sesuai

*Memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat

*Berniat pertemuan dan perpisahan adalah kerana Allah

Masa yang sesuai dikira berdasarkan keselesaan pihak yang anda kunjungi, bukan keselesaan pihak anda.

Sebagai contoh, kunjungan ke rumah seseorang tanpa perkhabaran terlebih dahulu, melebihi pukul 10 malam kerana masa tersebut dikira sebagai masa rehat, bukanlah masa yang sesuai. Jalan terbaik, khabarkan terlebih dahulu kepada tuan rumah mengenai kunjungan anda.

Adab semasa menziarah

*Memberi salam dan bersalaman

*Meminta izin untuk masuk

*Memendekkan tempoh ziarah

*Mengawal pandangan

*Merendahkan suara

Memendekkan tempoh ziarah bermaksud tidak bersenang-senang di rumah tersebut untuk jangka masa yang lama.

Seseorang dikira sebagai tetamu hanya di dalam tempoh tiga hari ziarah. Walaupun begitu, anda perlu peka dengan keadaan dan situasi tuan rumah, agar kunjungan anda tidak menimbulkan ketidakselesaan kepada mereka.

Mengawal pandangan pula termasuklah mata anda tidak meliar atau merayau-rayau ke segenap ceruk rumah meneliti setiap hiasan atau susun atur kelengkapan rumah yang anda kunjungi.

Adab selepas menziarah

*Meminta izin apabila hendak beredar

*Memberi salam dan bersalaman sebelum beredar


Perkara yang perlu dihindarkan semasa menziarah

*Enggan memberi salam

*Masa yang tidak bersesuaian

*Mengaibkan tuan rumah

*Mengumpat

Satu perkara yang perlu diingat adalah memberi salam kepada tuan rumah turut mempunyai syarat yang tertentu.

Jika pintu rumah terbuka, jangan berdiri di depan muka pintu dan memberi salam. Anda perlu berdiri agak jauh dari muka pintu, anggaran tidak dapat melihat isi rumah termasuk tuan rumah, bimbang terdedah aurat tuan rumah atau apa-apa sahaja yang mungkin tidak mahu diperlihatkan oleh tuan rumah.

Mungkin nampak mudah dan agak remeh namun jika tidak diberi perhatian, kunjungan anda mungkin boleh menimbulkan kebencian dan permusuhan. Salam Aidilfitiri dan ziarahlah dengan hati yang suci.

Dicuplik daripada ruangan Varia yang disiarkan di akhbar Kosmo! bertarikh 24 September 2010.

No comments: