Aktiviti perlombongan emas punca penghijrahan Melayu Rawa dari Sumatera, Indonesia sejak abad ke-17
ADA yang menggelar mereka Melayu Rao biarpun masyarakat ini lebih sinonim dengan Melayu Rawa. Malangnya tidak ramai yang mengenali etnik yang banyak bertumpu di beberapa negeri di Semenanjung seperti Perak, Pahang.
Lemang kelamai antara juadah yang sinonim bagi orang Rawa setiap kali menjelang Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha (imej dari sayanghasni.blogspot.com)
Mengikut tulisan Prof Dr HM Bukhari Lubis (Universiti Pendidikan Sultan Idris) dan Afriadi Sanusi (Universiti Malaya), Melayu Rao ini ditakrif sebagai beragama Islam, bermastautin di Rao, berasal dari keluarga Rao melalui hubungan darah atau persemendaan tanpa batas sempadan, berbahasa Rao dan mengamal adat budaya Rao. Menarik sebenarnya untuk dibincangkan mengenai hubungan Rao itu dengan Malaysia. Ringkasnya, sekitar 1830-an ada seramai 25,000 orang Rao di Lembah Rao, Sumatera, namun pada tahun 2009, bilangannya sekitar 60,000 orang saja di sana kerana majoritinya sudah berhijrah ke Malaysia dan Singapura.
Jika dikaji, terlalu banyak fakta mengenai orang Rao, lebih menarik jika diteliti bagaimana mereka berhijrah ke Tanah Melayu, berbekalkan status sebagai golongan mahir dalam pentadbiran, keagamaan, kerohanian dengan bekerja sebagai petani, pedagang dan pelombong.
Kaum Rao yang pertama berpindah ke Tanah Melayu adalah golongan petani sekitar abad ke-5 Masihi. Faktor perdagangan bebas ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka pada pada ke-15, hanya menggalakkan lebih ramai orang Rao merantau, berdagang dan terus bermastautin di sini.
Kelamai yang telah dipotong dan dihidangkan untuk tetamu yang datang. (imej dari montelkarung.blogspot.com)
Kerancakan aktiviti perlombongan emas di abad ke-17 Masihi dan bijih timah di abad ke-18 mendorong sebahagian besar pelombong Rao ke Tanah Melayu melalui negeri selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang).
Mereka membawa bersama budaya dan adat resam tradisi yang masih diamalkan sehingga kini sebagai identiti Orang Rao. Mengamati fizikal mereka, tiada banyak berbeza dengan Melayu Malaysia cuma bahasa pertuturannya berbeza iaitu seakan-akan Minang.
Namun, antara keunikan identiti mereka adalah makanan tradisional popular Kelamai atau Gelamai yang sebegitu popular ketika Ramadan dan lebaran. Mengikut istilah Dewan Bahasa dan Pustaka, Kelamai ialah sejenis kuih menyamai dodol manakala Gelamai sebagai penganan diperbuat daripada tepung pulut, gula dan santan.
Ia sebenarnya boleh dianggap lemang Orang Rao tetapi digelar kelamai kerana bahan ramuannya berbeza dengan lemang tetapi teknik membakarnya hampir sama.
Apa yang membezakannya dengan lemang ialah buluh kelamai atau buluh Hawa akan dibuang kulitnya berbanding buluh lemang yang dibakar dalam keadaan asal. Buluh jenis itu jauh lebih besar dan mempunyai ruas pendek berbanding buluh lemang yang mempunyai ruas panjang.
Kelebihannya - kelamai boleh disimpan dan tahan lama sehingga beberapa bulan lamanya. Malah, bak kata orang tua-tua Melayu Rao, nenek moyang mereka sebelum ini memasak kelamai untuk sambut Aidilfitri tetapi boleh disimpan sehingga menjelang Aidiladha.
Itulah keistimewaannya tetapi bukan sembarangan orang mahir memasaknya. Jika tersilap, adunan yang digelar ‘omei’ boleh menghasilkan rasa kurang enak. Bahkan jika teknik membakar dan memotong buluh tidak tepat, pasti isinya akan mentah.
Kelamai banyak ditemui dijual di tepi jalan di sekitar Gopeng, Perak, tetapi mungkin juga ada dibuat di tempat lain seperti di Negeri Sembilan, Pahang dan Pulau Pinang, cuma jumlahnya agak terhad atau lebih kepada keperluan sendiri.
Proses menyediakan bahan kelamai ini memerlukan tempoh yang lama kerana bahan yang disiap diadun akan diperap selama tiga hari sebelum dimasukkan ke dalam buluh untuk dibakar. Ia bertujuan supaya bahan itu lebih sebati dan akan membentuk corak tertentu pada potongan isi kelamai masak.
Di Kampung Gunung Mesah Hilir, Gopeng, penulis menemui keluarga yang mewarisi kemahiran membuat kelamai. Safuan Sulaiman, 19, dan kakaknya, Shahira, 20, dilihat sibuk menyediakan kelengkapan memasak kelamai.
Dilihat pada usia mudanya, hampir tidak percaya mereka sebenarnya cukup mahir. Bermula dengan proses memasukkan omei ke dalam buluh, Shahira memperlihatkan kemahiran tanpa menumpahkan sedikit pun bahan yang dicurah ke dalam buluh. Bahan itu tidak perlu diisi penuh ke dalam buluh kerana jika mendidih dan masak, isinya akan melimpah keluar.
Dua beradik itu mewarisi kemahiran ayah mereka, Allahyarham Sulaiman Shaharudin dan ibunya, Sawiyah Mohd Isa, 40, yang memperoleh kemahiran itu daripada datuknya Shaharudin Karim, 80.
Jangan terkejut, adik mereka Syafik, 17, dan Shazwan, 13, juga membantu dan boleh dikatakan bakal pewaris pembuat kelamai untuk dijual. Ketika ibunya keluar bekerja di sekolah berdekatan, Safuan dan Shahira boleh diharap untuk memastikan 70 batang kelamai siap dimasak dan disimpan elok untuk dijual pada hari-hari biasa. Namun jumlahnya mencecah kira-kira 500 batang sehari ketika Ramadan dan lebaran.
Proses menyediakan omei agak rumit bermula dengan mencampurkan beras pulut dengan gula merah sebelum mengadunkan dengan kerisik, tahi minyak dan gula putih. Semua bahan itu akan digaul sehingga sebati dan diperap selama tiga hari di dalam bekas bertutup.
Shaharudin yang ditemui beberapa jam selepas itu juga cukup yakin dengan kemampuan cucunya kerana bagi beliau, semua ilmu sudah diturunkan kepada arwah anak dan cucunya. Pada masa sama, beliau tetap memantau mereka bagi memastikan resepi asli mereka kekal.
“Satu petua paling mudah ialah teknik memotong buluh, mengupas kulit dan mengukur saiz yang sesuai. Buluh itu perlu dikupas songsang, daripada pucuk ke umbi kerana ia lebih mudah. Begitu juga potongan di ruas paling bawah, mesti ada baki sepanjang sejengkal.
“Baki itu sebenarnya akan memudahkan kita untuk membakar, jika terlalu pendek, mungkin isinya akan mentah kerana kelamai dimasak menggunakan bahan panas bara api, bukannya api yang menyala. Sebab itulah proses memasaknya lama, kadang kala sehingga lapan jam,” katanya.
Setiap batang kelamai biasanya akan menggunakan dua ruas buluh Hawa yang dikenali sebagai buluh Kelamai dan satu daripada ruasnya akan ditebuk. Ia juga memerlukan teknik khas iaitu mesti menebuk dulu lubang ruas diikuti proses membuang kulit buluh bagi mengelakkan buluh pecah.
Ketika kami ke rumah Safuan, kami mendapati satu unggun api besar sedang dibakar untuk mendapatkan bara dan akan diatur selari sepanjang tempat membakar yang digelar lantaran.
Rao terkenal adat berjojak, tobek
ISTILAH Rawa merujuk kepada satu etnik suku bangsa Melayu daripada keturunan Rao, sebuah kacamatan di dalam Kabupaten Pasaman di Sumatera Barat. Negeri Rao berjiran dengan Tapanuli (utara) yang didiami Mandailing dan Sumatera Barat (selatan) yang majoriti penduduknya Minangkabau.
Di sebelah barat Rao ialah Selat Mentawai dan timur bersempadan dengan Riau. Perkataan Rawa hanya popular di Makkah dan Malaysia tetapi kurang dikenali di Rao.
Pengkaji sejarah masyarakat Rawa, Zabidin Ismail (Jari Basurek) merujuk kepada catatan penulis, Wan Mohd Shaghor Abdullah yang mengatakan, istilah Rawa di Malaysia bermula daripada Haji Abdullah Nordin al-Rawi yang mengasaskan syarikat percetakan dan penerbitan, Persama Press di Lebuh Aceh, Pulau Pinang (1921).
Pada asalnya, di sebut ar-Rawi mengikut istilah Arab yang bermaksud dibangsakan kepada ‘Rao;’ tetapi lama kelamaan menjadi ar-Rawa yang menunjukkan seseorang itu berasal dari Negeri Rao. Penggunaannya bermula awal abad ke-19 khususnya ketika pengajian Islam berkembang di Makkah.
Berdasarkan kajian Zabidin melalui bukunya, ‘Sekondak Hati’ beliau memberikan pendapat dan analisis bahawa wujud tanggapan bahawa asal usul orang Rao adalah dari Pagar Ruyung.
Bagaimanapun, katanya jika merujuk kepada penelitian Dr Mukhtar Naim dan pendapat daripada MO Parlindungan yang menyatakan orang Rao adalah dari Champa iaitu suku bangsa Lubu, bukannya orang Pagar Ruyung.
Hal ini sesuai dengan situasi pendapat orang tua di Rao yang menerima petua bawah mereka adalah orang Lubu dan sesuai dengan peninggalan sejarah klasik Rao yang menganut Hindu dan Budha yang dibawa dari Champa.
Penghijrahan beramai ramai ke Tanah Melayu berlaku semasa Perang Paderi (1816-1833) di Indonesia semasa zaman pemerintahan kolonial Belanda. Sebahagian besarnya terdiri daripada golongan istana, ulama, cendikiawan, panglima dan tentera.
Mereka kini bertuah kerana wujudnya pertubuhan Jalinan Anak Rao Malaysia (JARO) yang didaftar pada 6 Disember 2007 bagi menguruskan, mengumpul, mengembangkan serta menghidupkan semula budaya Rao.
Setiausaha JARO, Tahiruddin Ahmad berkata, berdasarkan kajian tidak rasmi, ada kira-kira 250,000 keturunan Rao di Malaysia dan 700 daripadanya sudah mendaftar dengan JARO.
“Masih ada kira-kira 150,000 Rao di Sumatera Barat atau di penempatan asal. Kami pernah adakan seminar Melayu Rao buat pertama kali pada UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris) yang dihadiri 1,500 orang, itu suatu yang di luar jangkaan,” katanya.
Orang Rao sebenarnya cukup terkenal dengan adat Berjojak (Pantang Tanah), kemahiran tobek (membela ikan air tawar), masakan tradisional gulai lemak dan kelamai (lemang).
INFO: Proses penghijrahan:
Negeri Sembilan
Ke Seri Menanti sekitar 1773 dan Sungai Ujong 1848
Pahang
Melalui Sungai Hulu Pahang (Bera, Hulu Pahang, Kuala Lipis, Raub, Bentong) sekitar 1857-1863), antaranya Tengku Khairul Alam, Pakeh Khalifah Saka dan Tujuan Saka.
Selangor
Melalui Sungai Klang (Hulu Langat), Sungai Selangor (Kalumpang, Ampang, Kuala Lumpur, Gombak) sekitar 1867 - 1873.
Perak
Melalui Sungai Perak, Sungai Bidor, Sungai Bernam (Teluk Intan, Kuala Kangsar, Larut, Kinta, Gopeng, Temoh, Tapah, Kampar) sekitar 1875-1876.
Antara tokoh - Datuk Sakti Putih.
Kelantan
Melalui Pahang ke jajahan Pasir Mas melalui Sutan Amir Kaharuddin Budiman.
Aktiviti JARO:
# Lawatan 'Balik Kampung' ke Rao, Sumatera Barat.
# Majlis Silaturahim sempena Hari Raya Aidiladha.
# Lawatan ke negeri dan daerah yang mempunyai orang Rao.
# Tabung dan majlis makan malam.
Bahan asas 'omei' kelamai (lima gantang)
# 60 hingga 70 batang buluh (mengikut saiz)
# 12 biji kelapa dijadikan kerisik.
# 35 biji kelapa dimasak tahi minyak
# 20 kilogram berat pulut dikisar menjadi tepung
# 3 kg tepung gandum
# 8 kg gula putih
# 21 kg gula merah
# 3 kg tepung pulut.
Kanak-kanak keturunan Rao ditegah pegang bunga
WALAUPUN Negeri Sembilan terkenal sebagai tanah adat, Perak yang mempunyai sebilangan masyarakat keturunan Rawa (Rao) juga mempunyai upacara sendiri yang diamalkan sejak sekian lama.
Adat berjojak (imej dari raocyberinfo.blogspot.com)
Selain larangan memijak tanah, kanak-kanak keturunan Rao juga ditegah memegang bunga atau terkena bunga pada mana-mana bahagian badan sepanjang tempoh berpantang.
Berdasarkan cerita lisan masyarakat Rao, kanak-kanak yang melanggar pantang akibat terkena tanah atau bunga sebelum bermulanya upacara ‘berjojak’ akan muntah-muntah, cirit-birit, gatal-gatal dan beberapa perkara negatif lain.
Kanak-kanak Rao yang tidak 'berjojak' pula didakwa akan mengalami masalah fizikal seperti tidak mampu berjalan, kurang sempurna akalnya atau akan menghadapi masalah gagal mendapat pekerjaan yang baik seperti kanak-kanak yang sudah ‘berjojak’.
Adat ‘berjojak’ dilakukan ke atas bayi lelaki atau perempuan yang sudah menjangkau usia 14 bulan atau sekurang-kurangnya setahun selepas mereka ‘pantang tanah’ dan sudah pandai berjalan. Selagi upacara itu belum diadakan, bayi juga dilarang memakan ayam dan memakai perhiasan emas.
Upacara itu dilakukan seorang lelaki yang dirujuk sebagai bomoh oleh penduduk kampung kerana beliau juga biasanya mempunyai keupayaan mengubati penyakit secara tradisional.
Ali Mat Kasa, 59, yang sudah melakukan adat ‘berjojak’ sejak hampir 20 tahun lalu untuk penduduk di Kampung Batu Masjid, dekat Tapah berkata, amalan itu tidak membabitkan sebarang perbuatan menyeru jin atau syaitan.
“Saya membaca selawat, al-Fatihah dan jampi khusus. Mantera ini tidak boleh diberitahu kepada orang lain, bimbang akan dipermain-mainkan,” katanya.
Antara bahan yang diperlukan untuk ‘berjojak’ ialah sedikit emas yang belum diproses, tiga jenis tanah liat (tanah putih, tanah hitam dan tanah kuning), beras kunyit, beras biasa, bertih, 44 jenis bunga dan daun gelenggang serta tiga biji limau.
Ali berkata, biasanya hanya tujuh jenis bunga sudah memadai kerana sukar mencari terlalu banyak bunga sekarang. Emas mentah pula kini kebanyakannya diganti dengan cincin emas.
Tempat ‘berjojak’ diletakkan kain kuning di atasnya atau sekarang hanya ditukar kepada payung kuning.
Penulis menghadiri majlis ‘berjojak’ untuk Arif Wafiq Azizul Azrin di Kampung Batu Masjid yang menjangkau usia 14 bulan, baru-baru ini.
# Majlis bermula dengan Ali membaca dan menghembus doa di ubun-ubun Arif.
# Beliau kemudian menyapu emas ke tangan, dahi atau tapak tangan Arif.
# Perbuatan itu diulang dengan tiga jenis tanah liat, iaitu tanah putih, tanah hitam dan tanah kuning.
# Kanak-kanak itu kemudian dijejak di atas taburan bunga-bungaan dan daun gelenggang.
# Majlis berakhir dengan Arif dimandikan dengan air perahan limau.
Arif adalah anak ketiga pasangan Azizul Azrin Mahmor, 34, dan Hasnizah Amran, 33, yang bertugas sebagai penjawat awam di Putrajaya. Azizul berkata, isterinya keturunan Rao, manakala beliau pula Melayu berasal dari Ayer Molek, Melaka.
Katanya, adat itu pernah dilakukan ke atas isterinya ketika kanak-kanak dan anak mereka yang sulung dan kedua juga menjalani adat ‘berjojak’.
“Sebelum 'berjojak', kami memakaikan stokin pada Arif jika anak dibawa ke taman permainan.
“Arif memang didukung sepanjang masa di taman permainan kerana dia tidak pernah terkena tanah atau bunga,” katanya.
‘Berjojak’ dikatakan perlu dilakukan oleh keturunan Rawa kerana mereka meninggalkan tanah Pagar Ruyung di Sumatera.
Ada juga yang mendakwa, adat itu bermula selepas seorang hamba bersumpah akan mendukung Raja Pagar Ruyung selama 14 bulan jika anak beliau sembuh daripada penyakit selepas diubati rajanya.
Mengikut catatan buku Sekondakhati suntingan Jari Basurek (Zabidin Hj Ismail), adat ‘berjojak’ Rao tidak jauh bezanya dengan adat orang Mandailing iaitu Upa-Upa Tondi (mengambil semangat) sekali gus membuktikan hubungan rapat antara etnik Rao, Mandailing dan Minangkabau yang bermula di tanah seberang sebelum merantau ke Tanah Melayu.
Hanifah Ibrahim yang memberikan pandangannya mengenai adat ‘berjojak’ mengikut perspektifnya sebagai orang Mandaling mengatakan, bidan atau bomoh akan menyediakan barangan untuk ‘merambas’ sebelum memulakan upacara.
Ikatan daun itu akan dimasukkan ke dalam mangkuk jeluk berwarna putih berisi air beras giling dan diletakkan di atas dulang, manakala dulang lain diisi pulut kuning, ayam golek panggang dan sebiji telur rebus dan bertih.
Kanak-kanak itu akan dimandikan bidan dengan air limau dan bunga boleh dicampurkan wangian) yang sudah dijampi. Selepas mandi, kanak-kanak akan dipakaikan pakaian tradisional berwarna kuning dan disuruh duduk berhampiran dulang.
Bidan akan mengambil daun di dalam mangkuk jeluk dan merenjiskan air tepung tawar ke badan kanak-kanak.
Hulubalang Rao guna racun katak puru tumpaskan British
Tiga senjata rahsia dicipta perangi tentera penjajah dalam hutan
SESUAI dengan latar belakang sebagai askar upahan, hulubalang Melayu Rawa (Rao) sebenarnya mempunyai strategi khas menentang tentera penjajah British yang diakui mempunyai keupayaan serta kelengkapan perang menggunakan senjata moden senapang dan meriam.
Tentera Rao cuma bersenjatakan kelengkapan tradisional parang, keris, lembing, panah yang cuma mampu menangani asakan tentera British melalui pertempuran jarak dekat. Daripada situlah bermula idea bagaimana mereka mampu menahan asakan British melalui ‘senjata rahsia’.
Mereka memulakan dengan perangkap tali kabung yang dikategorikan sebagai pertahanan atas, buluh tajam beracun pada bahagian pertengahan dan katak puru sebagai pembunuh di tanah. Jika diteliti, semua senjata itu berkait rapat dengan sumber alam semula jadi di sekeliling mereka.
Pada satu aspek, ia juga berkait dengan kebijaksanaan menggunakan racun biologi, cuma pada ketika itu mungkin istilah sains belum ditimbulkan.
Generasi ketiga Hulubalang Ali, Khalip Yaacub, 63, berkata berdasarkan kisah lisan keturunannya, senjata khas itu berjaya memerangkap askar British dan tentera upahan mereka terutama ketika perang di hutan.
Menariknya, katak puru atau nama saintifiknya bufo bufo diakui mempunyai racun tetapi haiwan kecil itu biasanya berdiam diri dan tidak mengganggu manusia, tetapi akan menyerang mangsa apabila berada dalam kesakitan melampau.
Situasi itulah yang digunakan tentera Rao dengan memanipulasi keadaan dan kesakitan katak puru. Mereka pakar membuatkan katak itu ‘naik minyak’ dan dilemparkan ke dalam kawasan tentera lawan.
Ketika itu, katak puru berkenaan akan menyerang sesiapa saja yang berhampiran dan mengakibatkan maut.
“Orang Rao tahu katak puru memang berbisa tetapi susah hendak menyerang mangsa kalau tidak terdesak. Jadi, mereka paksa katak puru naik minyak dengan melumur cili padi yang ditumbuk ke badannya. Apabila sudah pedas dan hangat kena cili, tentu katak akan mengeluarkan bisa.
“Sebelum perang, pahlawan Rao mengumpulkan banyak katak puru dan tumbuk cili padi dalam bekas. Apabila hampir saat hendak menyerang, katak dimasukkan ke dalam bekas besar, digoncang supaya cili hancur menyerap ke dalam badan katak,” katanya.
Katak puru yang naik minyak dan beracun akibat kepedasan akan dilontar ke dalam kubu askar British dan laluan mereka terutama di kawasan hutan.
Bagi memastikan askar British berhenti agak lama di sesuatu laluan, tentera Rao menggunakan senjata tali kabung beracun yang cukup halus dan sukar dilihat pada mata kasar. Tali itu direntang separas muka dan badan orang dewasa.
Jika terkena tali kabung beracun itu, mangsa akan kesakitan serta terasa sangat gatal dan bak kata Khalip, kalau sudah terkena, pasti terduduk.
“Kalau sudah terduduk, maknanya mereka menempah maut kerana ketika itulah katak puru akan menyerang,” katanya.
Ditanya kenapa tali kabung halus itu berbisa, jawabnya mudah: “Orang Rao belajar daripada pengalaman dan menggunakannya dalam kehidupan.”
Katanya, memang tali kabung itu tidak berbisa tetapi jika direndam dengan air bercampur bisa, kesannya adalah sama, cuma tali kecil itu digunakan sebagai perangkap.
Bahan racun dan bisa tali kabung itu sebenarnya menggunakan campuran ikan seluang yang diperap dalam keladi birah atau nama saintifiknya Dieffenbachia bausei atau nama lain Dumb Cane, Leopards yang mudah ditemui di sungai atau kawasan paya.
Keladi birah yang mempunyai ubi yang sebesar tembikai muda mempunyai air di dalamnya.
Pokok keladi ini berwarna hijau lembut kekuningan, berbintik hijau tua dan putih, manakala daunnya hijau gelap. Getahnya diakui boleh menyebabkan penyakit mulut dan sukar bercakap.
Pada ubi keladi itu ditebuk lubang kecil yang boleh memuatkan ikan seluang sebesar ibu jari lelaki dewasa dan diperam sekurang-kurangnya dua minggu.
Ikan seluang hancur bercampur air ubi keladi akan menjadi racun yang boleh mengakibatkan gatal keterlaluan.
Ketika itulah, tali kabung yang dicantum panjang dicelup ke dalam lubang ubi keladi berkenaan sebelum direntang di hutan. Orang yang mengendalikannya juga perlu mengelak daripada terkena tangan atau kulit.
“Bisanya boleh sampai ke tulang dan memang tiada ubatnya. Seluruh badan akan gatal dan kesakitan,” katanya.
Racun sama digunakan untuk mencelup buluh runcing kecil yang diracik halus dan biasanya akan diletakkan di pokok besar di hutan. Rasionalnya cukup mudah, dalam peperangan, tentera biasanya akan mencari perlindungan jika diserang dan sudah tentu pokok hutan bersaiz besar menjadi pilihan berlindung.
Jika bersandar pada pokok atau tidak berwaspada melalui kawasan sekeliling pokok, mereka akan terdedah kepada racun buluh berkenaan yang bisanya sama dengan kesan tali kabung.
Jika digabung ketiga-tiga senjata sulit berkenaan, memang wujud logiknya dan banyak membantu tentera Rao menentang tentera lawan. Ketika keadaan kelam kabut dan ramai tentera lawan terkena perangkap racun, tentera Rao akan menyerang.
Apapun senjata yang digunakan, ia sebenarnya mencerminkan kecerdikan mereka menghadapi tentera lawan dengan memanipulasi sumber alam sebagai senjata sokongan. Cukup sesuai dengan status mereka sebagai tentera upahan yang bukan saja mempunyai keberanian, kekuatan diri tetapi kepandaian akal fikiran.
Orang Rawa pakar buat jerat burung
SELAIN mahir bertukang, Melayu Rao juga pakar membuat perangkap burung yang suatu ketika dulu pernah menjadi kebanggaan mereka kerana itulah kegiatan sampingan yang dijadikan hiburan dan punca mencari rezeki.
Warisan itu ialah tradisi turun temurun nenek moyang mereka sejak dulu ketika gerombolan awal orang Rao yang merantau ke Tanah Melayu secara berperingkat. Ia diubah suai mengikat keperluan setempat, tetapi masih mengekalkan ciri tersendiri.
Seorang peniaga, Nasaruddin Md Yaseh, 58, antara pemilik beberapa perangkap yang lebih dikenali sebagai jobak di kalangan orang Rao, yang ada antaranya berusia lebih 50 tahun tetapi masih elok dan berfungsi dengan baik.
Satu daripada perangkap burung yang popular ialah jobak serindit yang mempunyai empat pintu. Strukturnya diperbuat daripada kayu dan bilah dindingnya menggunakan kulit bertam. Perangkap itu berfungsi dengan memasang semua empat pintu perangkap dan biasanya dipasang ketika musim buah terutama di awal musim pokok durian mula berbunga.
Satu lagi jobak serindit mempunyai dua pintu tetapi rangkanya diperbuat daripada rotan menggunakan konsep yang sama iaitu burung akan terperangkap di dalam jobak jika terpijak tali yang bersambung dengan pintu perangkap.
Di dalam jobak itu mempunyai ruangan khas untuk meletakkan burung pemikat yang berfungsi memanggil burung lain yang di sekitar kawasan perangkap. Ia turut mengandungi bekas makanan dan minuman untuk burung yang terperangkap bagi mengelaknya mati.
Jobak tekukur pula diperbuat daripada dawai yang dipasang pada rangka kayu. Ia juga mempunyai satu ruangan untuk burung denak serta mempunyai dua ‘reman’ yang berfungsi seperti jala ikan. Jika burung hinggap dan memijak kayu panjang, jaring akan terjatuh menyebabkan burung terperangkap di dalamnya.
Nasaruddin berkata, kebanyakan jobak dibuat menggunakan kayu bulang kuning dan mempunyai batang berduri.
“Itu kayu asal yang digunakan sebagai asas membuat jobak, tetapi sekarang orang ada banyak pilihan. Kayu itu biasanya digunakan sebagai tiang seri jobak, mempunyai tempat sangkut khas untuk meletak tangan.
“Kebiasaannya, kayu yang baru dipotong dijemur kering kira-kira sebulan kerana semakin kering kayu itu, ia semakin bagus. Bagaimanapun, kita mesti belah kayu itu ketika masih bergetah sebab ia lembut,” katanya yang menegaskan, perangkap burung lama boleh bertahan lebih 50 tahun.
Antara perangkap yang biasa digunakan ialah sangkar puyuh diperbuat daripada kulit rotan serta buluh, manakala perangkap jenis racik digunakan khas untuk menangkap ayam hutan atau burung tekukur.
Sangkar puyuh mempunyai penutup penuh serta tempat berpijak dengan dindingnya diperbuat daripada kulit rotan yang dianyam teliti.
Satu lagi warisan yang masih kekal dan digunakan ialah beduk yang digelar kotok oleh orang Gopeng, manakala di Tapah ia dikenali sebagai kerantong.
Apa pun gelarannya, alat perhubungan atau komunikasi tradisi itu masih digunakan di surau dengan pelbagai tujuan.
Selain menandakan waktu solat lima kali sehari, kotok juga digunakan jika berlaku kematian atau memanggil penduduk untuk berhimpun. Kayu yang ditebuk itu mempunyai lubang khas serta pemukul yang digelar alu kratong.
INFO: Teknik menggunakan kotok
# Ketuk pemula: banyak kali
# 7 kali ketuk: tanda kematian
# 5 atau 6 kali: berlaku sesuatu kejadian
# Waktu solat: Subuh (2), Maghrib (3), Zohor, Asar dan Isyak (4).
Dicuplik daripada artikel Misteri Etnik hasil tulisan Mohd Azis Ngah dan Mohd Feroz Abu Bakar yang disiarkan di Berita Minggu dan Berita Harian.
No comments:
Post a Comment