Pengikut dan Ex-smgrian

Saturday, January 30, 2010

Keraguan dalam pelaburan internet


Oleh Tan Sri Dr. Harussani Zakaria, Mufti Negeri Perak

Sejak kebelakangan ini terdapat banyak persoalan hukum yang diutarakan memohon penjelasan mengenai hukum melabur dalam skim pelaburan di internet.

Banyak Syarikat Pelaburan mendakwa dan berjanji memberikan pulangan yang menarik kepada pelabur.  Ternyata tawaran-tawaran ini telah mendapat sambutan yang amat memberansangkan sehingga sengaja lupa atau terlupa soal halal dan haram dalam transaksi berkenaan.


Panduan

Oleh kerana terlalu banyak persoalan yang ditimbulkan mengenai isu ini dan telah membabitkan syarikat-syarikat yang berbagai-bagai namun apa yang menariknya ialah pendekatan syarikat-syarikat ini hampir sama antara satu sama lain.

Sama ada ia menamakan syarikatnya Swiss Cash, em-pay, ABB Fund, Eaindex, Arabic Fund, Buy Barrel dan lain-lain yang mungkin akan menggunakan nama-nama yang berbau Islamik untuk memancing wang-wang peserta, maka satu garis panduan umum perlu diketengahkan kepada masyarakat.

Garis panduan ini diharap dapat digunakan oleh masyarakat dalam membuat keputusan untuk terlibat dalam pelaburan berkenaan.


Langkah awal bakal pelabur

Pastikan jenis aqad secara jelas ketika memulakan urusan pelaburan atau transaksi sama ada mudharabah, wadiah atau memberi pinjaman (al-qardh) kerana setiap transaksi berkenaan mengandungi rukun-rukun dan syarat sah yang perlu dipatuhi agar ia sah dan diiktiraf secara syara'.

Bakal pelabur wajib menyelidik sektor perniagaan yang wang kita dilaburkan di dalamnya sama ada ia dilaburkan dalam sektor-sektor yang halal atau haram atau syubhat.

Ada beberapa perkara yang perlu diketahui oleh bakal pelabur tentang potensi ia diperdaya atau ditipu malah ia tidak dilindungi oleh mana-mana undang-undang. Sering diistilahkan sebagai transaksi yang mempunyai unsur-unsur gharar.

Langkah yang paling mudah dan ringkas bagi mereka yang kurang memahami istilah dunia perniagaan jenis baru ini dan mengetahui status hukumnya ialah dengan menyelidik sama ada syarikat berkenaan mengandungi penasihat syariah ataupun tidak.

Jika syarikat berkenaan mengandungi barisan jawatankuasa pemantauan syariahnya maka para pelabur boleh terus berhubung dengan ahli-ahlinya jika berlaku apa-apa keraguan yang timbul.


Perkara yang amat meragukan

Terdapat beberapa keraguan dalam pelaburan internet bila ditinjau dari keempat-empat perkara di atas. Atau dengan lain perkataan jika bakal pelabur mendapati bahawa terdapat perkara-perkara yang disebutkan di bawah dalam mana-mana pelaburan dengan memakai nama atau jenama sekalipun maka ia termasuk dalam perkara syubhat dan wajib dijauhi serta ada kalanya ia jelas haram.


Isu aqad

Hampir keseluruhan transaksi syarikat-syarikat ini menggunakan istilah pelaburan. Di dalam Islam pelaburan adalah dibenarkan dengan mematuhi segala syarat sah dan rukun-rukunnya.

Terdapat sekurang-kurangnya dua pelanggaran syarat sah pelaburan seperti yang telah ditetapkan oleh syara' iaitu:

Ada jaminan dari syarikat sebagai pengusaha bahawa modal pelabur tidak akan berlaku pelupusan atau modal pelabur dijamin tidak akan rugi. Jaminan ini telah merosakkan aqad pelaburan.

Syarikat sebagai pengusaha adalah pihak yang memegang amanah (yad amanah) terhadap modal yang diserahkan kepadanya. Bermaksud dia tidak perlu membayar gantirugi terhadap modal pelaburan yang musnah dalam pegangannya kecualilah jika ia berlaku secara sengaja atau kerana kecuaiannya dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Ini bermakna segala kerugian sepanjang pelaburan akan ditanggung oleh pelabur (bakal pelabur boleh merujuk secara mudah perkara ini dalam buku kitab Feqh Mazhab Syafie jilid 7 halaman 1319 cetakan pertama 2005, Prospecta Printers Sdn. Bhd. Kitab ini adalah diterjemahkan dari kitab al-Fiqh al-Manhaji).

Kebanyakan syarikat pelaburan ini menawarkan jumlah tertentu serta menjamin pulangan atau keuntungan dalam jumlah yang telah ditentukan secara pasti sejak awal lagi. Sebagai contoh, jika anda meletakkan duit pelaburan sebanyak RM10,000 bagi tempoh 5 bulan, anda pasti akan diberi pulangan dengan jumlah tertentu (seperti RM5,000).

Jaminan ini tidak menepati syarat kontrak pelaburan dalam Islam. Disyaratkan keuntungan setiap pihak mestilah ditetapkan pada kadar tertentu bukan pada jumlah yang tertentu. Maksudnya, hasil yang bakal diperolehi akan dibahagikan mengikut peratus tertentu, contohnya 25%, 50% atau sebagainya.

Kontrak pelaburan tidak sah jika kadar keuntungan yang bakal diperolehi oleh salah satu pihak sama ada pelabur atau pengusaha (syarikat) ditentukan menurut jumlah tertentu.

Contohnya, syarat tersebut menyatakan salah satu pihak akan menerima RM1,000 daripada keuntungan atau jumlah tertentu (bakal pelabur boleh merujuk secara mudah perkara ini dalam buku Kitab Feqh Mazhab Syafie jilid 7 halaman 1317 - 1318 cetakan pertama 2005, Prospecta Printers Sdn. Bhd.  Kitab ini adalah diterjemahkan dari Kitab al-Fiqh al-Manhaji).

Seperti juga dengan dijanjikan amaun tertentu akan didapati dalam tempoh tertentu seperti dengan melabur RM1,000 dalam masa 10 hari akan menerima RM100.00.

Jaminan untung tertentu dalam sebarang kontrak pelaburan adalah telah sepakat seluruh ulama sebagai haram kerana ia adalah Riba.  Hadith Nabi yang menyebut:
Ertinya: (Bagi mendapatkan) Keuntungan (hasil pelaburan) mestilah dengan menghadapi risiko (bermakna tiada untung tetap dijanjikan dan pelabur mesti menjamin keelokan barangan yang dijual jika melibatkan jual beli)
Riwayat As-Syafie, Ahmad, Ibn Hibban, Abu Daud: no. 3508; Albani Hassan.

Jika kontrak yang dibuat  bukan aqad atau kontrak mudharabah adakah mungkin ia aqad atau mungkin kontrak memberi pinjaman.

Kalau pun ia aqad atau kontrak memberi pinjaman, ia tetap haram kerana wang yang bakal dikembalikan oleh syarikat berkenaan akan beserta dengan amaun atau jumlah tambahan terhadap jumlah modal pinjaman dan bayaran dilakukan secara bertangguh dan kadar lebihan wang berkenaan telah ditetapkan dari awal lagi.  Ia dinamakan Riba yang diharamkan oleh Islam.

Di mana wang dilaburkan

Bakal pelabur mesti berusaha untuk mengetahui di manakah wang mereka dilaburkan.

Jika ia dilaburkan di tempat-tempat yang diharamkan seperti sektor bersangkutan dengan arak, pelacuran, perjudian, instrument riba dan apa juga perkara yang jelas haram maka pulangan dan pelaburan itu adalah haram.

Apabila penelitian dibuat terhadap syarikat-syarikat berkenaan didapati mereka mencampuradukkan antara pelaburan-pelaburan halal seperti minyak dan sebagainya dan juga pelaburan-pelaburan yang haram dan syubhat seperti perniagaan mata wang.

Jawatankuasa Syariah Negeri Perak pernah mengeluarkan keputusan bahawa forex (perniagaan mata wang) yang dibenarkan dalam syariah ialah perniagaan pertukaran mata wang yang berlaku (taqabudh) serah menyerah semasa transaksi berlaku seperti pertukaran wang asing semasa keluar negeri kerana ia merupakan keperluan untuk berurusniaga di negara berkenaan.

Dipetik dari majalah Suara Perak edisi kedua 15 Oktober - 15 November 2009

1 comment:

Hasnunniza Hashim said...

Salam tuan.
Dalam apa-apa pelaburan internet pun, lihat pula dari sudut perundangan Malaysia e.g Kelulusan dari Bank Negara. Sbb bila disebut 'pelaburan', hanya institusi kewangan atau pelaburan yang disahkan oleh Bank Negara sahaja yang dibenarkan menerima deposit pelabur. Rajin2 rujuk web Bank Negara atau call them for further clarifactions.
Sekadar pandangan dari bekas pekerja broker saham yang kurang arif. Wasalam