Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, December 3, 2009

Mengemaskini ubat-ubatan anda



Kita sering mendapat ubat daripada doktor ketika mendapatkan rawatan di klinik ataupun membeli dari farmasi.  Kebanyakan ubat-ubatan tersebut akan disimpan dalam kabinet ubat atau peti sejuk dalam satu jangkamasa tertentu.  Seringkali kita gagal untuk memeriksa ubat-ubatan yang telah lama disimpan dan membuangnya apabila tarikhnya telah luput.  Demikian juga dengan peti pertolongan cemas yang menyimpan ubat-ubatan seperti krim antiseptik dan parasetamol perlu diperiksa dengan kerap untuk memastikan ia belum melepasi tarikh luputnya.

Tarikh luput

Jika ubat ataupun krim telah melepasi tarikh luputnya, ia hendaklah digantikan dengan yang baru.  Ini disebabkan bahan-bahan kimia yang terkandung di dalam ubat atau krim tersebut telah hilang keberkesanannya dan adakalanya mungkin mendatangkan kesan sampingan kepada penggunanya.

Baki ubat

Buangkan sebarang baki ubat atau ubat yang telah lama walaupun ia belum sampai tarikh luputnya. Terdapat kecenderungan dalam kalangan pengguna untuk menggunakan semula ubat yang lama bagi simptom penyakit yang baru. Ini berkemungkinan boleh menyebabkan risiko kesihatan yang besar dan berbahaya. Oleh itu, anda hendaklah merujuk kepada doktor jika anda menghidapi sebarang penyakit untuk mendapatkan ubat yang sesuai.

Menggantikan ubat yang lama

Jikalau anda telah menyimpan ubat dalam tempoh yang lama, adalah wajar untuk mendapatkan maklumat terkini tentang ubat-ubatan baru yang lebih berkesan dan kurang kesan sampingan untuk rawatan pesakit yang sama. Dalam pada itu, dos ubat-ubatan mungkin tidak lagi sesuai terutamanya untuk kanak-kanak.

Krim pelindung matahari (sunscreen)

Bahan aktif dalam krim pelindung matahari akan hilang keberkesanannya dalam tempoh tertentu. Begitu juga apabila ia terdedah kepada suhu yang tinggi boleh mempercepatkan kemerosotan bahan aktifnya. Jikalau anda sering menyimpan krim pelindung matahari dalam kereta ataupun mendedahkannya di bawah cahaya matahari yang terik, maka adalah wajar untuk menggantikannya setiap tahun walaupun tarikhnya belum luput.

Ubat mata

Mata anda adalah bahagian yang sensitif. Oleh itu penggunaan ubat mata perlu diberikan perhatian yang serius. Kebanyakan ubat mata jenis titis mempunyai bahan pengawet yang boleh melindungi daripada pencemaran. Namun ia mempunyai kesan yang terhad. Oleh itu, ubat mata jenis ini hendaklah digunakan dalam tempoh 30 hari setelah ia dibuka.

Kosmetik

Anda hendaklah selalu memeriksa keadaan kosmetik, terutamanya kosmetik mata. Bakteria yang mungkin terdapat dalam pelentik mata (mascara) dan penggaris mata (eyeliner) boleh mengakibatkan jahgkitan pada mata. Losen dan krim juga berkeadaan lembap yang sesuai untuk pembiakan bakteria. Masalah ini adalah jarang berlaku kepada kosmetik jenis kering seperti bedak asas (base powder), pemerah pipi (blusher) dan pembayang mata jenis bedak (powdered eye shadow). Jikalau kosmetik anda telah berubah dari segi bau ataupun rupa bentuknya, maka anda hendaklah membuangnya.

Sumber: Buletin Pengguna

No comments: