Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, December 21, 2009

Kampar


Pekan Kampar (imej dari www.asiaexplorer.com)

Pekan Kampar terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar Ipoh dan 16 kilometer dari pekan Tapah.

Kampar adalah tempat persinggahan bagi perjalanan antara utara dan selatan, selain merupakan bandar terakhir di daerah Kinta, kerana ke selatannya ialah daerah Batang Padang dan Hilir Perak.  Utaranya pula ialah pekan Gopeng dan selatannya ialah pekan Tapah.

Penerokaan dan penempatan awal Kampar mempunyai kaitan dengan penemuan bijih timah, maka tidak hairan jika ada pendapat yang mengatakan Kampar dibangunkan di atas bijih timah.

Dilihat dari sudut geografi dan geologi, Kampar terletak dalam lingkungan Lembah Kinta.  Kedudukannya seperti dalam kawah di penghujung barat kaki Gunung Bujang Melaka yang disaliri oleh Sungai Keranji dan Sungai Kampar.

Sungai-sungai itulah yang memendapkan tanah dan batu-batu kecil kelikir mengandungi logam timah di tebing dan dasarnya.  Proses ini telah berlaku berjuta-juta tahun dahulu, menjadikan kawasan itu kaya dengan longgokan bijih timah.

Sehingga kini masih terdapat tinggalan bekas-bekas lombong di sekitar daerah Kampar malah ada sesetengahnya dijadikan kolam ternakan ikan penduduk.

Pada peringkat awal, aktiviti perlombongan di Kampar dijalankan secara mengorek lubang-lubang kecil untuk mendapatkan tanah mengandungi bijih dan mendulangnya di tebing-tebing Sungai Keranji serta Sungai Kampar.

Bagaimanapun kedatangan orang Eropah telah menambahkan kepesatan kegiatan ekonomi perlombongan bijih timah di situ, apabila mereka memperkenalkan melombong cara pam palong dan kapal korek.

Kedua-dua cara perlombongan itu boleh mengeluarkan hasil bijih timah dalam jumlah yang banyak serta dapat menyumbangkan peluang pekerjaan kepada penduduk Kampar dan kawasan sekitarnya.

Kepesatan industri perlombongan di sini, mendorong kedatangan orang-orang dari luar terutama orang Cina dari Tanah Besar China.

Sumber: Sinar Harian

No comments: