Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, December 24, 2009

Dr. Kotnis, wira India dan China


Dr. Dwarkanath Shantaram Kotnis mungkin tidak dikenali di Malaysia, namun namanya begitu disanjungi oleh masyarakat kedua-dua negara iaitu India dan China dan dijadikan sebagai satu simbol untuk keamanan dan juga persahabatan antara India-China.

Dr. Dwarkanath Shantaram Kotnis dilahirkan pada 10 Oktober 1910 di daerah Solapur, selatan Maharashtra, India.  Beliau dibesarkan dalam keluarga berketurunan Marathi.  Beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Mumbai.

Pada tahun 1937, tentera Jepun telah menakluk China.  Jeneral Zhu De di China telah memohon kepada Jawaharlal Nehru untuk menghantar doktor daripada India ke China.  Dr. Kotnis antara 5 doktor India yang telah dihantar ke China untuk memberi rawatan dan bantuan perubatan kepada tentera-tentera China.  4 orang doktor tersebut kembali semula ke India manakala Dr. Kotnis membuat keputusan untuk menetap di China.

Pada mulanya Dr. Kotnis berkhidmat sebagai doktor beredar, memberi rawatan dan bantuan kepada kem-kem tentera China.  Namun tidak lama kemudian Dr. Kotnis telah menjadi pengarah di Bethune International Peace Hospital di Yan'an, China.

Pada tahun 1939, Dr. Kotnis telah menyertai Eighth Route Army yang diketuai oleh Mao Tse-tung.  Kehidupan tentera yang mencabar ditambah pula oleh tugas doktor yang perlu merawat tentera yang cedera tanpa henti, sedikit sebanyak telah memberi tekanan kepada Dr. Kotnis.  Akhirnya Dr. Kotnis meninggal dunia akibat epilepsi pada 9 Disember 1942 ketika beliau berusia 32 tahun. 


Tugu peringatan Dr. Kotnis di wilayah Shijiazhuang Hebei, China

Setahun sebelum kematiannya, Dr. Kotnis telah berkahwin dengan seorang wanita China bernama Guo Qinglan yang berkhidmat sebagai jururawat di Bethune International Peace Hospital.  Mereka dikurniakan seorang anak lelaki pada 23 Ogos 1942.  Anak tersebut dinamakan Yinhua yang bermaksud gabungan India (Yin) dan Cina (Hua).

Mao Tse-tung, bapa revolusi dan pengasas komunis di China telah memberikan ucapan sebagai menghormati jasa dan pengorbanan Dr. Kotnis.  Ucapannya berbunyi:

"pihak tentera telah kehilangan bantuan, negara telah kehilangan seorang sahabat.  Marilah kita sentiasa mengingati semangat dan pengorbanannya yang tidak mengira bangsa." 




Adegan dari filem Dr. Kotnis Ki Amar Kahani

Kisah pengorbanan Dr. Kotnis meninggalkan negaranya dan berkhidmat di negara asing telah diabadikan di dalam filem.  Pada tahun 1946, sebuah filem Hindi berjudul Dr. Kotnis Ki Amar Kahani telah diterbitkan.  Filem ini diarahkan oleh V. Shantaram di mana beliau sendiri telah melakonkan watak Dr. Kotnis.  Watak Qinglan pula dilakonkan oleh pelakon wanita Hindi popular ketika itu, Jayashree.

Pada tahun 1982, sebuah filem Mandarin berjudul Kē Dì Huá Dài Fū telah dibikin.  Lakon layar untuk filem ini ditulis oleh Huang Zongjiang yang menceritakan tentang kisah hidup Dr. Kotnis di China.

Sumber: Wikipedia

 

No comments: