Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, December 21, 2009

Air minuman osmosis berbalik



Masyarakat hari ini semakin prihatin terhadap kualiti air yang diminum.  Seringkali kita terdengar keluhan dan keresahan pengguna yang dipaparkan di akhbar tentang air paip yang keruh dan berwarna kekuningan.  Keadaan ini biasanya berpunca daripada karat dan kotoran yang terdapat dalam sistem saluran paip, terutamanya di kawasan perumahan yang lama.  Keadaan sedemikian telah memaksa pengguna untuk menggunakan penapis air untuk mendapatkan bekalan air yang bersih.

Penapis air terdiri daripada penapis air komersil dan penapis air yang dipasang di rumah atau pejabat.  Kedua-dua jenis penapis air ini mempunyai fungsi yang sama tetapi berbeza dari segi saiz dan kos.  Teknologi penapisan air yang popular masa kini adalah teknik osmosis berbalik (reverse osmosis).

Proses Osmosis Berbalik

Air paip membawa bersama-sama di dalamnya pepejal larut, pasir atau batu halus, bahan kimia serta mikro organisma yang lain.  Walaupun air yang disalurkan dalam paip telah dirawat di dalam loji rawatan, namun air tersebut telah tercemar dengan bendasing ketika berada dalam saluran paip.

Dalam proses osmosis berbalik, air yang keluar dari paip disalurkan kepada penapis air membran separa telap.  Penapis ini mempunyai liang yang amat kecil untuk membenarkan laluan molekul air dan molekul yang lebih besar tidak dapat menerusi liang ini.  Selepas proses penapisan air, air osmosis adalah bersih sehingga 99% ketulenannya (hampir sama dengan air suling).

Oleh kerana kotoran air ditapis oleh penapis air (membran separa telap), kotoran ini akan terperangkap pada penapis air dan lama-kelamaan akan bertimbun.  Ini akan menjejaskan proses pembersihan, iaitu kotoran ini akan larut semula ke dalam air yang dilaluinya.  Oleh itu penapis air perlu sentiasa bebas dari kotoran yang tersumbat dan hendaklah dibersihkan dengan kerap.  Kekerapan pembersihan penapis air bergantung kepada jenisnya, tetapi secara umum, pembersihan perlu dilakukan 3 hingga 4 bulan sekali.

Mesin air minum RO

Ramai orang kini lebih gemar membeli air RO daripada mesin air minuman RO yang banyak terdapat di kaki lima kedai, daripada memasang mesin tersebut di rumah kerana kos pembelian, pemasangan serta penyelenggaraan mesin adalah tinggi.

Air RO daripada mesin ini juga dijual dengan harga yang murah iaitu hanya 10 hingga 20 sen seliter.  Ini adalah jauh lebih murah berbanding membeli air RO yang telah dibotolkan yang dijual di sekitar 80 sen sehingga RM1.50 untuk 500ml.

Namun, isu yang perlu diberi perhatian ialah kualiti air yang dihasilkan oleh mesin air minuman RO ini.  Ia bergantung kepada beberapa faktor seperti kekerapan penyelenggaraan mesin dan lokasi pemasangan.  Berikut merupakan beberapa tip untuk memilih mesin air minuman RO yang lebih berkualiti dan selamat.

Panduan memilih mesin air minuman RO

  1. Sesetengah mesin air minuman RO mempunyai notis tarikh penyelenggaraan.  Oleh itu pengguna digalakkan supaya memeriksa notis tersebut sebelum membeli air daripada mesin berkenaan.
  2. Biasanya mesin menjual air minuman RO ditempatkan di kaki lima luar kedai.  Cuba bertanya kepada pekedai berhampiran tentang kekerapan penyelenggaraan yang dibuat oleh pembekal mesin tersebut.
  3. Jika tidak ada maklumat yang boleh diperolehi tentang mesin tersebut, sila telefon pembekal mesin tersebut.  Maklumat telefon pembekal mesin biasanya boleh didapati pada mesin tersebut.
  4. Adalah disarankan supaya membeli daripada mesin yang terletak di kawasan awam.  Ini kerana jika mesin tersebut terletak di kawasan yang jauh daripada penghuni berkemungkinan besar mesin-mesin di kawasan ini telah terbiar dalam tempoh yang lama atau tidak diselenggara lagi.
  5. Cuba elak daripada membeli air dari mesin yang kelihatan lama.  Ini kerana terdapat kemungkinan penapis air dan sistem saluran dalamannya yang telah berkarat.
  6. Selalu teliti dan peka kepada rasa dan keadaan air tersebut.  Sekiranya rasa air daripada sesuatu mesin itu agak berlainan ataupun tidak jernih, jangan membeli air dari mesin tersebut dan laporkan pada pembekal mesin.
  7. Sekiranya pembekal mesin tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan menyelenggara mesin air minuman RO dengan kerap dan memastikan kualiti air yang dijual adalah bersih dan selamat, maka anda disarankan supaya melaporkannya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sumber: Buletin Pengguna

No comments: