Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, November 25, 2009

Utamakan keselamatan tayar kenderaan



Tayar merupakan satu-satunya bahagian pada kereta yang bersentuhan dengan permukaan jalan raya.  Ramai orang tidak menyedari kepentingan keselamatan tayar ini.  Keadaan tayar yang berada pada tahap optimum boleh menjimatkan penggunaan petrol sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus.

Bunga yang terdapat pada tayar berfungsi untuk mengepam air keluar daripada permukaan jalan semasa keadaan jalan sedang basah untuk memaksimakan cengkaman tayar pada permukaan jalan.  Oleh itu, sekiranya bunga tayar ini telah haus, ia tidak dapat mencengkam jalan raya menyebabkan kenderaan terbabas dan berlaku kemalangan.  Di Malaysia, 15 peratus kemalangan disebabkan oleh keadaan tayar yang tidak selamat.

Baru-baru ini kerajaan telah memutuskan untuk menyaman pemandu-pemandu yang menggunakan tayar toreh.  Keputusan ini dibantah oleh ramai pemilik kenderaan berat dengan alasan bahawa penggunaannya adalah selamat sehingga kini.  Namun mereka tidak sedar bahawa tayar toreh adalah lebih berbahaya dan ia sebenarnya berbeza daripada tayar celup.

Prinsip asas kedua-dua tayar ini adalah sama iaitu tayar yang telah haus permukaannya akan ditoreh atau ditambah dengan permukaan baru untuk diguna semula.  Oleh itu, harga tayar-tayar ini adalah lebih murah daripada tayar baru.

Tayar celup

Tayar yang telah haus permukaan bunganya akan diteliti terlebih dahulu untuk mengetahui sama ada ia sesuai dan selamat untuk dicelup.  Tayar yang masih boleh digunakan itu akan ditambah kompaun getah dan menjalani proses pencelupan.  Tayar yang tidak sesuai pula akan dikitar semula.  Tayar ini hanya boleh dicelup sebanyak dua kali dalam jangka hayatnya.

Tayar celup yang dihasilkan di negara ini mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila negara-negara lain seperti New Zealand, Australia dan Taiwan telah menempah tayar celup dari Malaysia.  Terdapat piawaian dan spesifikasi teknikal yang perlu dipatuhi oleh industri pembuatan tayar celup.  Piawaian ini ditetapkan oleh SIRIM (MS224) dan kawalan terhadap tayar celup ini adalah ketat.  Bukan semua tayar yang telah haus permukaannya boleh dijadikan sebagai tayar celup.  Hanya tayar yang masih kuat struktur asasnya sahaja yang boleh dicelup.

Tayar toreh

Berbeza dengan tayar celup, tayar toreh pula dibuat secara haram dan tidak mengikut sebarang piawaian.  Ia dikenali sebagai 'industri belakang rumah'.  Tanpa pengawasan dan pemeriksaan terhadap keselamatan dan kualitinya, maka penggunaan tayar toreh ini menjadi persoalan.

Dari segi harga, tayar toreh adalah murah dan mampu dibeli, jika dibandingkan dengan harga tayar baharu yang jauh lebih mahal.  Tetapi apa yang perlu diberikan pertimbangan ialah jangka hayat dan keselamatan tayar tersebut.  Tayar baharu adalah lebih mahal daripada tayar toreh tetapi boleh bertahan secara purata sehingga 3 ke 4 tahun berbanding dengan jangka hayat tayar toreh kerana komposisi getahnya adalah lebih tebal.  Maka jika dinilai untuk jangka panjang adalah lebih menjimatkan jika menggunakan tayar baharu berbanding tayar toreh.

Pemilihan tayar amatlah penting terutamanya apabila menukar tayar.  Sesetengah negara seperti UK telah menetapkan bahawa sesebuah kenderaan hanya boleh menggunakan tayar celup jika tayar itu berasal daripada jenis kenderaan yang sama.

Mengenali tayar anda

Untuk mengetahui sekiranya anda menggunakan tayar yang mematuhi piawaian, lihat pada tayar anda sekiranya terdapat sebarang simbol seperti yang dinyatakan dalam jadual di bawah.  Sekiranya tayar anda tidak terdapat simbol-simbol ini, ia bermakna tayar yang anda gunakan itu adalah tayar yang tidak diiktiraf dan anda boleh disaman RM300 bermula pada 1 November 2009.

Piawaian
Simbol
SIRIM
MS
American Department of Transportation
DOT
European Community Standard
ECE



Pemilihan tayar celup

Pemilihan tayar amatlah penting terutamanya apabila anda hendak menukar tayar.  Sesetengah negara seperti UK telah menetapkan bahawa sesebuah kenderaan hanya boleh menggunakan tayar celup jika tayar itu berasal daripada jenis kenderaan yang sama.  Ini bertujuan untuk memastikan bahawa tayar yang ditukar itu mengikut piawaian yang ditetapkan oleh pembuat kenderaan.

Negara kita banyak mengimport tayar celup yang diperbuat di negara yang bersalji.  Tayar-tayar ini banyak digunakan oleh kenderaan berat seperti lori.  Pada hakikatnya, tayar ini tidak selamat digunakan di negara kita kerana iklim yang berbeza.  Bunga atau permukaan tayar tersebut dibuat untuk dipandu di atas permukaan salji.  Maka tayar ini tidak berupaya untuk mencengkam jalan raya yang basah apabila hujan.  Kenderaan yang menggunakan tayar celup tidak akan melepasi pemeriksaan Puspakom dan penggunaannya adalah sangat berbahaya kepada pemandu kenderaan tersebut dan pengguna jalan raya yang lain.

Dicuplik daripada Buletin Pengguna Bil 09/2009

No comments: