Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, November 23, 2009

Selesaikan dalam masa 5 minit

Oleh ZAMRI RAMBLI

Elakkan membaca atau merokok semasa dalam tandas, kerana tabiat ini hanya mengundang risiko mendapat buasir.


ELAKKAN melakukan aktiviti lain semasa membuang air besar kerana ia menyebabkan anda berada lebih lama dalam tandas. - Gambar hiasan


BUASIR terjadi kerana kelemahan pada dinding salur darah dan kelemahan pada injap salur darah vena.

MUNGKIN ramai yang berkata, "Ah gelilah bincang pasal buang air besar. Perkara dalam tandas pun mahu dibincangkan."

Tetapi tahukah anda perbincangan ini mungkin mengelakkan anda daripada mendekati antara penyakit yang paling malu dibicarakan orang ramai - buasir.

Buasir adalah pembengkakan pembuluh darah - iaitu bengkak di kawasan rektum dan dubur. Tetapi apa pula kaitannya dengan tandas atau membuang air besar?

Antara jawapan yang sering diberikan oleh kebanyakan pakar adalah minum banyak air dan makan banyak serat bagi mengelakkan najis yang terlalu keras.

"Tidak ada salahnya dengan nasihat itu. Memang betul dan tepat. Tetapi ada beberapa punca lain yang menjadi penyumbang lebih besar tetapi sering diabaikan," ujar pakar bedah kolorektal dari sebuah pusat kesihatan kolorektal Singapura, Profesor Francis Seow-Choen.

Jelas beliau, buasir terjadi kerana kelemahan pada dinding salur darah dan kelemahan pada injap salur darah vena. Buasir sendiri sebenarnya kata Francis merujuk kepada urat darah dalam dinding sekeliling dubur. Apabila buasir menerima tekanan yang terlalu kuat atau tempoh yang panjang ia berisiko untuk terkeluar dan menjadi penyakit.

Terdapat beberapa ciri individu yang berisiko mengalami serangan penyakit ini. Ini termasuklah mereka yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap buasir, hamil dan batuk yang melampau serta berpanjangan.

Walaubagaimanapun, proses meneran semasa membuang air besar merupakan sebab paling biasa seseorang mendapat penyakit buasir.

"Selain mengelakkan najis yang terlalu keras dengan minum banyak air, ramai yang tidak menyedari berada dalam posisi membuang air besar sama ada duduk atau mencangkung terlalu lama boleh meningkatkan risiko buasir," katanya.

Jelas Francis, hari ini, membuang air besar sambil merokok dan membaca bukanlah sesuatu tabiat yang asing. Malah, ada tandas tertentu di luar negara yang menyediakan bahan bacaan dalam tandas.

"Merokok memang sesuatu yang biasa tetapi membaca akhbar atau buku adalah lebih buruk. Ini kerana kadangkala oleh kerana terlalu leka ramai yang akhirnya berada dalam posisi duduk atau mencangkung antara 15 hingga 20 minit. Sedangkan pada asalnya mereka boleh selesai membuang air besar dalam masa sekitar lima minit sahaja," katanya.

Lantaran itu pakar bedah yang banyak menjalankan teknik Longo atau Procedure for Prolapse and Haemorrhoids untuk merawat pesakit buasir ini menegaskan, elakkan melakukan aktiviti lain semasa membuang air besar kerana ia menyebabkan anda berada lebih lama dalam tandas.

"Ia bermula dengan secara tidak sengaja yang akhirnya akan menjadi satu tabiat," katanya.

Terang Francis lanjut, sewaktu duduk atau mencangkung terlalu lama, kita memberi tekanan terlalu banyak kepada tisu yang menyokong urat darah sehingga mendorong pendarahan, ia semakin kurang elastik dan akhirnya terputus.

"Mungkin ada yang berfikir, 'Alah cuma lebih lima hingga 10 minit.' Tetapi fikirkan kembali, kita membuang air besar setiap hari. Malah, jumlah pesakit buasir saya yang mengakui mereka gemar berada di dalam tandas terlalu lama sama ada untuk merokok atau membaca bukanlah kecil," katanya.


Buasir dalaman - lazimnya, buasir ini tidak terasa sakit dan gatal kerana ia terletak jauh ke dalam rektum.Buasir dalaman tidak merbahaya tetapi meneran dan gangguan dari laluan najis semasa membuang air besar boleh mencederakan permukaan buasir yang getas dan menyebabkannya berdarah.  Anda akan terlihat titisan darah yang berwarna merah cerah pada kertas tisu atau di mangkuk tandas.

Buasir luaran - buasir jenis inilah yang selalu kita dengar mengakibatkan gejala-gejala seperti sakit, pedih dan gatal di dubur.  Jika buasir ini tersepit (bekalan darah akan terputus), bekuan darah akan terjadi di dalamnya menyebabkan ia terasa amat sakit.  Gejala-gejala beginilah yang menyebabkan buasir jenis ini memerlukan perhatian dan rawatan perubatan.

Buasir tergelincir - buasir jenis ini mungkin tertarik ke bawah sehingga terkeluar dari dubur.  Ia juga mungkin tergelincir ke belakang rektum dengan sendirinya atau boleh ditolak masuk ke dalam semula dengan perlahan.

Buasir tersumbat - terdapat darah beku terbentuk ke dalam buasir luaran.  Ia kerap menyebabkan buasir luaran membeku.  Darah beku ini padat dan sakit apabila disentuh di sekeliling dubur.  Saiz buasir ini dianggarkan sebesar saiz kacang.

Dubur merekah - rekahan nipis di tisu dubur, biasanya akan menyebabkan kegatalan, sakit dan berdarah ketika membuang air besar.

Daripada arkib Kosmo!

No comments: