Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, November 23, 2009

Malnutrisi kerana garam

Buruh garam ini bukan saja terpaksa bekerja di kawasan muka bumi yang kasar, keras dan tanpa perlindungan, malah tahap kesihatan keluarga mereka juga terganggu.


SEORANG pekerja menjalankan rutih harian memproses garam sehingga matahari terbenam.


PEKERJA hanya memakai sarung plastik untuk melindungi kaki.


KECEDERAAN kaki yang biasa dialami pekerja kerana tidak memakai kasut yang sesuai.


ANAK-ANAK pekerja industri garam bermain di permukaan tanah gersang untuk menghilangkan kebosanan.


KELIHATAN seorang pekerja menaiki basikal di kawasan pengeluar garam di Kharaghodha.

GARAM merupakan sejenis bahan perasa yang digunakan untuk menyedapkan makanan. Ia adalah bahan penting dalam proses memasak. Tanpa garam masakan pastinya tidak mempunyai rasa dan tawar.

India merupakan negara pengeluar garam ketiga terbesar di dunia dengan purata pengeluaran sebanyak 157 juta tan setahun.

Manakala Gujerat adalah negeri pengeluar garam paling besar di negara tersebut. Lebih 70 peratus garam yang dipasarkan di India dihasilkan di Gujerat.

Bagaimanapun, tahun ini industri tersebut berhadapan situasi sukar akibat cuaca teruk yang melanda. Dijangka pengeluaran garam di Gujerat akan merosot antara 30 hingga 35 peratus.

Bagi pekerja di kawasan pengeluar garam yang dikenali sebagai Agariyas pula, mereka telah berhadapan dilema sejak sekian lama dan bekerja dalam keadaan serba kekurangan dengan kebajikan kesihatan menjadi perkara terakhir difikirkan majikan.

Di daerah Kharaghodha, Little Ran of Kutch, di barat negeri Gujerat, kira-kira 120 kilometer (km) dari Ahmedabad, sekumpulan pekerja terpaksa menghadapi tugas harian tanpa sebarang perlindungan di kawasan pengeluar garam yang mempunyai bentuk muka bumi yang kasar dan keras.

Tugas harian yang memerlukan mereka mengasingkan garam dan mengumpulkan hasilnya di satu tempat menyebabkan pekerja-pekerja ini mengalami rekahan atau pecah-pecah di tapak kaki yang sangat menyakitkan.

Lebih menyedihkan, dalam kecederaan tersebut, mereka tidak mendapat sebarang rawatan perubatan dan hanya menanggung risiko kesakitan sendirian.

Dalam proses menghasilkan garam selama lapan bulan itu juga, mereka terpaksa tinggal dalam pondok usang berhampiran kawasan sekitar untuk melindungi diri daripada panas matahari dan kedinginan malam.

Akibat daripada kerja teruk itu ramai buruh industri garam hidup dalam malnutrisi. Bahkan, anak-anak mereka juga berdepan dengan tahap kesihatan yang semakin kritikal.

Selain itu, pekerja industri garam di Gujerat juga tidak mempunyai peluang untuk mencari alternatif lain dalam pekerjaan mereka. Malah pekerjaan tersebut akan diperturunkan daripada satu generasi ke satu generasi yang akhirnya mereka terus berada dalam belenggu kemiskinan.

Tanpa sebarang aset yang boleh digunakan dalam waktu kesusahan, tiada apa yang boleh membantu ahli keluarga mereka.

Pekerja-pekerja di kawasan pengeluar garam di Kharaghodha juga mengatakan bahawa mereka tidak mendapat bekalan air yang bersih, rawatan kesihatan, pendidikan dan kemudahan tempat tinggal.

Ini secara tidak langsung boleh mengundang pelbagai penyakit disebabkan ketiadaan bekalan air yang bersih untuk diminum.

Lebih memburukkan keadaan, golongan wanita dan kanak-kanak, masing-masing terpaksa berjalan lebih daripada 10 km semata-mata untuk mencari kayu api dan mendapatkan pendidikan di sekolah.

Beberapa usahawan sosial mahu melakukan sesuatu seperti Operation Flood untuk membantu pekerja-pekerja industri garam di Gujerat. Tata Chemicals merupakan salah satu syarikat korporat terbesar di India dalam industri jual beli garam yang melahirkan hasrat untuk membantu.

Bagaimanapun tanpa kerjasama daripada semua pihak yang sepatutnya, perkara ini (membantu pekerja-pekerja industri garam) mungkin tidak dapat dilaksanakan dengan baik dan nasib mereka sudah tentu terbiar begitu sahaja. - Agensi

No comments: