Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, November 10, 2009

Nostalgia SMGR - cinta monyet



November, bulan kedua terakhir dalam satu tahun, bermakna perjalanan usia semakin bertambah, dan petanda hayat semakin berkurangan.  8 haribulan Januari kelak bermakna bertambah lagi setahun usia aku, itupun seandainya hayat aku dipanjangkan ke tarikh tersebut.  Dan semakin bertambah usia, semakin dekat kita kepada pengakhirannya.  Jangan terlalu gembira menyambut ulang tahun kelahiran.

Dan kenangan silam masih terpahat di hati, meskipun peristiwa-peristiwa remeh, menjelikkan, yang kadangkala membuatkan aku ingin menghantuk-hantuk kepala ke dinding.  Ya, kenangan, bagaikan memori yang dirakamkan ke dalam cakera keras, tidak dapat dipadam kecuali jika ia sudah korup ataupun diserang virus.

Kita sering terkenangkan peristiwa-peristiwa manis, yang menyeronokkan dan sering cuba melupakan peristiwa-peristiwa pahit sedangkan peristiwa pahit itu sebenarnya bagai suatu 'alarm' bagi kita untuk beringat agar tidak melakukan kesilapan yang sama.  Seringkali kita mendengar yang pahit itu ubat, bahkan ada judul lagu jiwang karat cintan maut yang berbunyi 'pahit akan manis akhirnya' dan aku suka menyambung 'manis juga akan pahit akhirnya'. 

Mungkin ramai rakan-rakan SMGR yang tidak mengetahui bahawa aku pernah 'admire' seorang gadis sekelas sewaktu Tingkatan 4 dahulu.  Namun ada juga yang tahu, terutama sekali rakan terdekat.  Dan aku masih mengikuti perkembangan gadis tersebut (sekarang bukan gadis lagi).  Ya, mengikuti perkembangan masa, hidup seseorang akan berubah.  Semua berubah, fikiran berubah, fizikal berubah, watak berubah.

Aku membayangkan seandainya dia bersama-sama aku sekarang, mungkin dia tidak dapat bertahan.  Mampukah dia bertahan dengan sikap simplisiti aku.  Mampukah dia bertahan dengan aku yang sukakan kehidupan marhaen (dia sudah mewah sekarang, dengarnya ada banglo tiga tingkat di Sri Hartamas).  Mampukah dia bertahan denganku yang lebih suka menyendiri, lebih senang dengan urusan sendiri.

Mungkin konflik akan sentiasa terjadi antara kami berdua.  Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui.  Urusan Allah memang begitu kompleks, sukar dijangka dan adakalanya sukar dimengertikan.  Namun, apa yang ditakdirkan dan dikurniakan Allah itu merupakan yang terbaik antara yang terbaik.

Kerana itu, tidak sepatutnya kita cepat merasa kecewa sekiranya apa yang kita kehendaki tidak dipersetujui Allah.  Dan aku mengerti kini, meskipun ia mengambil masa selama 18 tahun untuk aku memahaminya.  Aku akhirnya dipertemukan dengan seseorang yang agak memahamiku (walaupun tidak secara total). 

Alhamdulillah!

**Cinta yang abadi hanya untuk Allah manakala kasih-sayang sesama manusia.  Hentikan peperangan.  Hentikan perbalahan.  Selamat berkasih-sayang.

(Maaf kalau entri ini agak jiwang sikit, sekali sekala kita kena layan perasaan juga)

No comments: