Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, October 15, 2009

Taman Jepun

Pemandangan di Taman Jepun dalam kawasan Taman D.R. Seenivasagam (imej dari sabriena.fotopages.com)

Taman Jepun terletak di Taman Rekreasi D.R. Seenivasagam atau Taman D.R. di Ipoh, Perak. Dengan keluasan 1.2 hektar, taman ini dibina mengikut struktur lanskap yang unik sama seperti taman Jepun yang terdapat di Fukuoka, Jepun. Kini, Taman Jepun boleh diklasifikasikan sebahagian daripada Taman D.R. Seenivasagam. Taman ini telah dibuka pada awal tahun 50-an.

Taman ini secara rasminya dibuka pada 30 Jun 1995 dalam majlis gilang-gemilang yang dirasmikan Datuk Bandar Ipoh ketika itu, Tuan Haji Ahmad Salleh Haji Sarif bersama dengan Datuk Bandar sebelumnya, Dato' Haji Umar Haji Abu. Sementara itu, Bendahari Majlis Bandaraya Fukuoka, Encik Watanabe mewakili Datuk Bandar Fukuoka.

Setelah 20 tahun menjalinkan kerjasama antara bandaraya Ipoh dan Fukuoka, Jepun, satu Majlis Menanam Pokok Sempena Ulang tahun ke-20 Bandraya Berkembar Ipoh dengan Fukuoka telah diadakan pada 1 Oktober 2009.

Sempena memperingati kerjasama dan penubuhan taman berkenaan, majlis menanam 'Pokok Perpaduan' telah diadakan di Taman Jepun.

Dalam majlis penanaman pokok tersebut, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim telah menanam pokok 'Bougainvillea' iaitu bunga rasmi Bandar Raya Ipoh.

Sementara Datuk Bandar Fukuoka, Hiroshi Yoshida menanam pokok 'Confederate Rose' iaitu bunga rasmi Bandar Raya Fukuoka.

Jika berpeluang ke sini, pandangan pasti akan tertumpu kepada landskap taman berkenaan yang cantik, tenang, teratur dan mempunyai ciri-ciri binaan Jepun. 

Terdapat juga dekorasi perhiasan tamannya yang kreatif dari segi bunganya, ruang tong sampah, pejalan kaki, tempat duduk serta perhiasan lain.

Secara keseluruhannya, suasana Taman Mini Jepun ini memberikan perasaan yang mendamaikan seolah-olah sedang berada di negara Jepun.

Menariknya, landskap taman itu direka bentuk oleh arkitek dari Fukuoka yang dipinjamkan untuk Majlis Bandaraya Ipoh selama dua tahun dan pembinaannya dipantau sendiri oleh pegawai dari Majlis Bandaraya Fukuoka.

Bahan-bahan binaannya berasaskan kayu serta perabot dan batu-batu hitam yang diletakkan di sekeliling taman itu didatangkan khas dari Kuala Kangsar.

Sama seperti Taman Jepun di Fukuoka, Taman Jepun di sini juga dihiasi dengan beberapa 'batu luar biasa' yang menarik perhatian, selain pohon-pohon buluh menghiasi pintu masuk, manakala taburan batu-batu kecil berwarna kelabu, coklat dan hitam menghiasi sepanjang laluan pejalan kaki.

Bagi menambah ciri-ciri Jepun, pokok willow dan pokok pain serta rumpun-rumpun kecil teratai turut menghiasi taman seluas 1.2 hektar itu.

Kewujudan pulau kecil di tasik utamanya yang dihubungkan dengan jambatan kayu bersama sudut tempat rehat menyerlahkan ciri-ciri negara matahari terbit itu di taman ini bagi membawa memori pengunjung seolah-olah berada di Jepun.

Sumber: Sinar Harian

No comments: