Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, October 14, 2009

Sekolah Menengah Teknik

Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan tiga aliran Sekolah Menengah Teknik iaitu Aliran Teknikal, Aliran Vokasional dan Aliran Kemahiran.

Aliran Teknikal

Dikhususkan kepada pelajar yang cemerlang dalam akademik pada peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR). Objektifnya adalah untuk membantu melahirkan tenaga profesional dalam bidang kejuruteraan dan bukan kejuruteraan (pertanian, perdagangan, ekonomi rumah tangga [ERT]).

Aliran Teknikal menyediakan tujuh kursus iaitu Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Perdagangan, ERT Pengurusan Makanan, ERT Pengajian Pakaian dan Pertanian.

Setelah tamat pengajian di Sekolah Menengah Teknik, pelajar berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di peringkat diploma di IPTA (universiti, politeknik, kolej komuniti), kolej matrikulasi teknikal, kolej matrikulasi umum atau Tingkatan Enam.

Aliran Vokasional

Ia memberi peluang kepada pelajar yang mempunyai pencapaian baik dan sederhana dalam akademik serta berminat kepada pembelajaran bercorak vokasional (berkaitan pekerjaan).

Isi kandungan aliran vokasional mempunyai komponen teori dan praktikal yang seimbang. Objektif aliran ini adalah untuk membantu melahirkan separa profesional (juruteknik/pembantu teknik) dalam bidang kejuruteraan dan bukan kejuruteraan.

Setelah tamat pengajian, pelajar berpeluang ke IPTA, IPTS dan institut latihan kemahiran awam dan swasta atau terus ke alam pekerjaan.

Aliran Kemahiran

Aliran ini dikhususkan kepada pelajar yang mempunyai pencapaian rendah pada peringkat PMR dan sangat cenderung kepada pembelajaran secara 'hands on' (amali). Isi kandungan kursus aliran ini ditetapkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

Pelajar yang tamat dengan jayanya mengikut peraturan yang ditetapkan oleh JPK akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf oleh industri.

Pelajar akan dilatih menjadi tenaga kerja mahir untuk bekerja di industri atau membuka perniagaan sendiri apabila tamat pengajian. Di samping itu juga, pelajar boleh melanjutkan latihan kemahiran pada peringkat yang lebih tinggi di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kolej Komuniti dan pelbagai institut latihan kemahiran swasta.

**Imej dari utem.edu.my

Sumber: Sinar Harian

No comments: