Hari Sabtu yang lepas, aku berkesempatan hadir ke open house yang diadakan di rumah rakan sekerja isteriku. Kebetulan suaminya, Cikgu Suhairi, mengajar di SMKGR (dahulunya SMGR, aku lebih suka dengan akronim SMGR, Sekolah MGR, hehe...mengingatkan aku kepada M.G. Ramachandran, pelakon legenda Tamil dan bekas Ketua Menteri Tamil Nadu).
Melalui Cikgu Suhairi aku telah bertanya serba sedikit perkembangan terbaru tentang SMKGR. Menurut Cikgu Suhairi, sebuah mini stadium sedang dalam pembinaan di SMKGR. SMKGR juga bakal mengulangi kegemilangannya sebagai sekolah sukan khususnya bola sepak apabila SMKGR akan dijadikan oleh MSSPK sebagai sekolah khusus untuk bola sepak, olahraga, hoki dan sepak takraw. Mungkin sukan bowling juga akan diperkenalkan di SMKGR.
Aku teringatkan nostalgia sewaktu SMGR menjadi sebuah sekolah projek bola sepak di bawah naungan MSN, FAM dan MILO. Aku juga teringatkan bagaimana hidung aku kembang-kempis bangga apabila Pengetua SMGR ketika itu, Cikgu Salleh bin Hussin (sekarang bergelar Datuk) ditemuramah dalam Buletin Utama mengenai Sekolah Projek Bola sepak FAM Milo. Sejak itu pelajar-pelajar SMGR menggelarnya Cikgu Superstar.
Nama-nama seperti Faris, Amaran, Rodzuan ketika itu menjadi sebutan ramai bukan sahaja di kalangan pelajar-pelajar SMGR bahkan di sekolah-sekolah lain juga. Dan ia tidak tamat di situ sahaja, ia berterusan sehingga ke zaman Shamsul Saad.
Namun kini nama-nama seperti SMGR yang dahulunya gah dengan bola sepak, Anderson yang gah dengan sukan hoki, SRC (Sekolah Raja Chulan) yang gah dengan sukan sepak takraw dan STAR (Sekolah Tunku Abdul Rahman) yang gah dengan sukan ragbi seolah-olah sepi. Semoga Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat mengembalikan kegemilangan sukan di sekolah-sekolah di Malaysia.
No comments:
Post a Comment