Pengikut dan Ex-smgrian
Wednesday, October 7, 2009
Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun
Sekolah ini dahulunya dikenali sebagai Sekolah Menengah Manjoi, dibuka pada 10 September 1984. Ia diasaskan Pengarah Jabatan Pendidikan Perak ketika itu, Datuk Mohd Ghazali Hanafiah.
Sekolah ini ditubuhkan untuk memberi pendidikan kepada murid-murid luar bandar yang miskin tetapi cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), selaras dengan penubuhannya sebagai Sekolah Rancangan Khas Berasrama Penuh di bawah kelolaan Jabatan Pendidikan Perak.
Menggunakan bekas bangunan Maktab Perguruan Ipoh Baru, sekolah ini ditukar nama kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun, yang disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun Mohd Ali pada 8 Julai 1987.
Sekolah ini menawarkan Tingkatan Enam pada 1988 dengan menyediakan mata pelajaran Komputer, Matematik S, Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Am.
Pernah menerima Anugerah Sekolah Bestari pada tahun 1989 dan Naib Johan Anugerah Sekolah Harapan Negara Kategori Bandar pada tahun 1997 serta Johan Sekolah Harapan Negara Kategori Bandar pada tahun 1988, membuktikan keupayaan sekolah ini melahirkan pelajar yang cemerlang.
Sekolah ini terus memburu kejayaan dalam pendidikan apabila tahun 1996 menyaksikan MOU RESCAM Bainun ditandatangani. Projek yang dikenali sebagai REBACOS (RESCAM Bainun Cooperative School) memberi penekanan terhadap pembelajaran koperatif bagi mata pelajaran Sains, Sains Tulen, Matematik Moden, Matematik Tambahan dan Bahasa Inggeris. Kini kaedah CL telah diperluaskan untuk semua mata pelajaran di sekolah ini.
Pasukan Orkestra Muda Bainun yang ditubuhkan pada bulan September 1996, membuktikan sekolah ini bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah kokurikulumnya.
Apa yang membanggakan, kumpulan orkestra ini berjaya membuat beberapa persembahan penting seperti di Istana Iskandariah, Persembahan DiRaja di Dewan Banquet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, persembahan sempena Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan dan persembahan Konsert Kementerian Pendidikan Malaysia di Istana Budaya.
Tidak cukup dengan sebuah kumpulan, setahun kemudian, sekolah ini menubuhkan pula Orkestra Nusantara yang merangkumi caklempong, gamelan, kompang dan angklung, serta turut terlibat dalam siri persembahan penting.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak ketinggalan memainkan peranan memajukan sekolah apabila turut memberikan sokongan dari segi moral dan material kepada pihak sekolah. Antaranya, menyumbangkan 40 buah komputer untuk Program Literasi Komputer dan Pengajaran & Pembelajaran Bestari serta sebuah van bagi kemudahan pelajar.
Kecemerlangan yang diraih sekolah ini meyakinkan Raja Muda Perak, DYMM Dr. Raja Nazrin Shah untuk mengurniakan sebuah bas kepada pihak sekolah sempena Hari Penghargaan Sekolah 1994.
Pujian harus diberikan kepada usaha warga sekolah ini yang bersungguh-sungguh mencapai matlamat dan visi sekolah, sehingga menjadikan SMK Raja Permaisuri Bainun dikenali dan disegani di negeri Perak.
Sumber: Sinar Harian, smkrpbainun.net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment