Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, October 6, 2009

Sekolah Kebangsaan Selama, Jalan Menteri

Sekolah ini yang dahulunya dikenali dengan nama Sekolah Inggeris Kerajaan (Government English School), adalah sekolah aliran bahasa Inggeris terulung dibina di daerah Selama.

Allahyarham Baharom Abu Samah ialah guru besar pertama yang mentadbir sekolah ini mulai dari 29 Januari 1953. Jumlah murid ketika itu seramai 38 orang dan terdapat dua guru. Ketika itu, sekolah ini hanya menumpang di bahagian cawangan ketiga Sekolah Melayu, Selama yang terletak di Jalan Menteri.

Pada tahun 1957, Lim Cheng Hung menyambung tugas pentadbiran selama setahun, kemudian tempat beliau diganti Anthony Kanikasamy. Beliau adalah guru besar paling lama berkhidmat di sekolah ini, iaitu selama 28 tahun dari 1958 hingga 1986. Beliau dikenang sebagai seorang pentadbir yang sangat tegas dan mementingkan disiplin.

Selepas Anthony, sekolah ini ditadbir pula oleh Allahyarham Md Azzahari Hassan sehingga tahun 1987 dan diteruskan oleh Ahmad Isa Anwar. Ahmad Yahya Darus pula mengambil alih pentadbiran sehingga tahun 2000, sebelum diganti Jamaiyah Zakaria yang berjaya membawa sekolah ini ke mercu kegemilangannya.

Pada tahun 1967, sekolah ini ditukar namanya kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Selama (National Type Primary School). Apabila bahasa pengantar ditukar kepada Bahasa Malaysia, maka sekolah ini ditukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Selama, Jalan Menteri.

Tahun demi tahun, sekolah ini terus menerima arus pembangunan dengan terbinanya dua bangunan pasang siap pada tahun 1984, bangunan tiga tingkat dan kantin pada tahun 1986. Seterusnya pada tahun 1988, sekolah ini diberi kemudahan sebuah padang seluas 1.4 hektar. Bersesuaian dengan era ICT, maka pada tahun 2003, sebuah makmal komputer didirikan.

Sambutan Jubli Emas ke-50 tahun diraikan pada tahun 2004 dengan meriahnya. Ramai bekas pelajar, warga sekolah dan orang ramai melawat sekolah ini yang mengadakan sambutan selama dua hari dengan pelbagai acara menarik. Makan Malam Seribu Kenangan juga diadakan di Dewan Majlis Daerah Selama.

Jumlah murid pada tahun 2007 yang mencecah sehingga 600 orang menyebabkan kelas dan bilik khas tidak mencukupi. Justeru, Jabatan Pelajaran Perak telah menjanjikan pembinaan bangunan tambahan dalam masa yang terdekat.

Sementara itu, pada tahun ini, sekolah ini terpaksa menjalankan dua sesi persekolahan yang menimbulkan beberapa masalah. Namun begitu, dengan komitmen yang jitu oleh guru, murid dan seluruh warga sekolah serta ibu bapa, peratus Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekolah ini tetap membanggakan.

Sumber: Sinar Harian

No comments: