Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, October 15, 2009

Sekolah Kebangsaan Pantai Besar

Bangunan asal Sekolah Kebangsaan Pantai Besar (imej daripada The Star)

Sekolah Kebangsaan Pantai Besar sekarang (imej dari The Star)

Sejarah sekolah di Kampung Pantai Besar ini telah bermula semenjak tahun 1905 lagi apabila dua pengasas utamanya iaitu Mohd Ali Pandak dan Alang Umar Mat Saman bersama-sama orang kampung mendirikan bangunan sekolah secara bergotong-royong. Bangunan yang dibina itu dibuat daripada bahan-bahan tempatan. Tiang sekolah daripada batang pinang, berdinding bertam, bumbug beratap rumbia dan berlantaikan tanah sahaja.

Murid-murid yang belajar pada ketika itu duduk bersila di atas tikar sahaja tanpa kerusi dan meja. Sekolah yang siap dibina itu telah diberikan nama Sekolah Melayu Nendering mengambil sempena nama sebatang pokok yang terdapat berhampiran dengan sekolah. Guru Besar pada ketika itu tidak dapat dipastikan namun berkemungkinan Ali Samad Mat Diah yang bertugas pada tahun 1925 yang diceritakan oleh Mahmud Abdullah, bekas murid tua dan pernah menjadi guru agama di sekolah ini.

Pada tahun 1908, kerajaan telah mendirikan sebuah bangunan sekolah di sebelah bangunan gotong-royong itu untuk menambah baik lagi bilik darjah. Pada mulanya bangunan ini bertiang kayu, berdinding bertam dan atapnya papan daripada kayu tembusu. Bangunan kerajaan ini beberapa kali dipinda oleh pihak JKR. Bilangan murid pada tahun 1925 ialah 75 orang termasuk dua orang murid perempuan. Bilangan guru pula ialah 3 orang. Pada tahun 1934, Guru Besar ketika itu ialah Husin Awang telah menukar nama sekolah kepada Sekolah Melayu Pantai Besar.

Pada tahun 1930-an bilangan murid telah bertambah hingga mencapai 150 orang murid tetapi murid perempuan hanya tiga orang sahaja. Beliau telah mengambil inisiatif untuk menggalakkan murid perempuan memasuki sekolah ini. Walau bagaimanapun usaha itu telah mendapat tentangan daripada sebilangan masyarakat setempat yang fanatik kepada agama. Berkat usaha gigih beliau akhirnya sekolah itu menjadi sekolah campuran yang dapat berjalan dengan baik sehingga sekarang.

Pada masa pendudukan Jepun (1941 - 1945) bekas Guru Besar sekolah ini, Daud Mansor menyatakan sekolah berkenaan berjalan lancar seperti biasa tetapi bilangan murid amat berkurangan. Kegiatan dan cara pembelajaran tidak sempurna kerana kewangan meleset.

Kemerdekaan negara pada tahun 1957 telah membawa perubahan kepada sekolah ini. Sekolah Melayu telah menjadi Sekolah Umum Pantai Besar. Atas arahan Kementerian Pelajaran nama sekolah bertukar sekali lagi menjadi Sekolah Kebangsaan Pantai Besar pada 1960 dan kekal sehingga sekarang.

Sumber: Sinar Harian, The Star

No comments: