Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, October 7, 2009

Lumut Waterfront

Lumut Waterfront (imej dari www.pulau-pangkor.com)

Lumut Water Front terletak di pesisiran muara sungai Dinding, bermula dari kawasan Lumut Yacht Club sehingga ke jeti feri di pekan Lumut.

Tempat ini mula dibuka secara rasmi pada 2004 dan merupakan kawasan riadah dan pelancongan bertafar antarabangsa yang semakin popular.

Kawasan rekreasi ini terletak kira-kira 82 kilometer atau sejam setengah pemanduan dari Ipoh.

Ia dibuka 24 jam manakala kemudahan awam dan kedai pula dibuka dari jam 9 pagi hingga 12 tengah malam. Ia meliputi Taman Awam Lumut Waterfront atau dikenali sebagai Marina Wing; Terminal Jeti Feri Lumut yang dilengkapi dengan ruang legar Menara Tinjau, Restoran Jeti dan Pusat Kraf, Medan Selera Dato' Haji Ishak dan Waterfront Promenade.

Kedudukannya strategik kerana berdekatan dengan kemudahan restoran makanan segera berjenama popular, bank, hotel dan tempat meletak kenderaan bertingkat. Reka bentuk Lumut Waterfront mempunyai kesinambungan dengan laut menjadikan tarikan utama pengunjung iaitu mengintegrasikan pembangunan di kawasan persekitaran berfaktorkan semula jadi.

Konsep pembangunan taman awam pesisiran pantai di pekan Lumut itu diilhamkan daripada pergerakan hidupan laut dengan menjanjikan panorama menarik kerana kedudukannya menghala ke Kuala Sungai Dinding dan Sungai Sitiawan.

Lumut Waterfront dilengkapi dengan dua kiosk dan lima gerai ini beroperasi dari jam 9 pagi hingga 12 tengah malam menerapkan unsur ilmiah serta mendidik pengunjung untuk menghargai keindahan alam.

Taman Esplanade

Esplanade Wing atau Taman Esplanade yang terletak bersebelahan dengan kawasan jeti utama ke Pulau Pangkor merupakan taman yang dibuka umum pada 15 Ogos 1996 telah menarik tumpuan pelancong yang transit ke Pulau Pangkor.

Selain kedudukannya yang terletak berhampiran jeti, faktor landskap yang cantik juga turut diambil kira. Kemudahan yang disediakan Majlis Perbandaran Manjung menjadi sebab utama para pelancong gemar mengunjunginya.

Antaranya pusat kraftangan dan gerai makanan berhampiran laut. Kini taman ini dibangunkan di mana pusat penerangan pelancongan dan gerai-gerai makanan sedang dalam pembinaan.

Jetty Wing

Kawasan ini adalah jeti utama ke Pulau Pangkor yang mempunyai kemudahan seperti tandas, restoran, gerai kraftangan, kaunter tiket dan juga pejabat operasi.

Ia adalah kesinambungan daripada jaluran waterfront dan mengandungi komponen seperti dataran Sungai Dinding yang terletak di hadapan Hotel Putra yang mengandungi ruang bersantai dan juga kiosk.

Selain itu terdapat plaza promenade yang mengandungi dua restoran makanan segera, 10 gerai jualan hasil laut dan tiga kiosk.

Sumber: Sinar Harian

No comments: