Konda kondi boleh dimainkan sekurang-kurangnya dua orang, menggunakan dua batang kayu panjang dan pendek. Sebuah lubang dikorek di atas tanah sedalam 0.2 meter dan lebar 0.2 meter juga. Kayu pendek diletak di tengah lubang secara melintang. Kayu yang panjang digunakan untuk menguit dan mengungkit kayu yang pendek agar terpelanting jauh dari pemain lawan, dan setelah itu, kayu yang digunakan untuk menguis tadi diletakkan semula secara melintang di lubang.
Pihak lawan hendaklah cuba menyambut kayu yang dikuis oleh pemain tadi sebelum jatuh ke tanah. Jika berjaya berbuat demikian, pemain yang sedang bermain itu dikira mati. Permainan akan diambil alih pula oleh pihak lawan.
Jika pihak lawan gagal menyambutnya, dia hendaklah membaling kayu pendek tadi masuk ke dalam lubang atau mengena kayu panjang. Jika kayu itu masuk ke dalam lubang atau pun terkena kayu panjang yang diletakkan melintang tadi, pemain itu dikira mati.
Sebaliknya, jika kayu yang dibaling oleh pemain lawan itu tidak mengenai lubang atau kayu panjang itu, pemain itu boleh mendapatkan mata dengan mengira jarak kayu itu jatuh dari lubang. Satu jarak kayu panjang dikira satu mata.
Pemain tadi kemudiannya akan mengambil kayu pendek dan melambungnya ke udara kemudian memukulnya dengan kayu panjang. Dia diberi peluang sebanyak tiga kali jika pukulan pertama atau keduanya tidak kuat. Sekali bagi pemain lawan cuba menyambut. Jika tidak berjaya, pemain tadi boleh mendapat mata, dengan kiraan yang sama. Mata yang diperoleh dicampur dengan mata daripada langkah pertama tadi.
Seterusnya, pemain beralih kepada langkah ketiga yang dipanggil patuk ular. Pemain menyandarkan kayu pendek di tepi lubang kemudian mengetuk hujung kayu pendek itu dengan kayu panjang. Jika pukulan baik, kayu pendek akan melentik ke udara. Pemain itu hendaklah bersedia memukul kayu pendek itu sebelum jatuh ke tanah. Tempat kayu pendek itu jatuh dikira mata, iaitu mengiranya dengan menggunakan kayu panjang. Kiraan mata tetap sama seperti sebelumnya.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment