Sudah jelas bahawa perintah mengeluarkan sebahagian harta bagi tujuan berzakat ini dinyatakan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud:
"Ambillah sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah supaya dengannya engkau membersihkan mereka dan menyucikan mereka, dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadikan mereka tenteram. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".
(Al-Taubah - 9:103)
Panduan mengira zakat wang simpanan
Perkara yang perlu diperhatikan ialah:
- Wang itu dimiliki secara sempurna. Contoh: wang di tangan atau dalam akaun bank.
- Wang tersebut disimpan pada tempoh genap setahun.
- Wang atau harta itu melebihi nisab atau menyamai harga 85gm emas.
Sebagai contoh: Encik Ahmad menyimpan wang dalam dua akaun iaitu RM13,000 dalam Tabung Haji dan RM2,000 dalam bank lain. Ini bererti wang keseluruhan yang disimpannya berjumlah RM15,000. Jumlah ini melebihi nilai nisab iaitu RM9,307.14. Dengan ini Encik Ahmad wajib mengeluarkan zakat.
Berapakah jumlah zakat yang wajib dikeluarkannya?
Disebabkan Lembaga Tabung Haji telah mengeluarkan zakat bagi setiap penyimpan, maka wang berjumlah RM13,000 itu ditolak bagi mengelak berlaku dua kali zakat pada harta yang sama. Namun jumlah RM2,000 dalam akaun yang lain wajib dizakatkan kerana jumlah sebenar wang miliknya ialah RM15,000 apabila dicampurkan dengan simpanan di Tabung Haji.
Oleh itu, jumlah zakat yang wajib dibayar ialah RM50 (iaitu 2.5% atau 1/40 dari wang simpanan yang berjumlah RM2,000 tersebut).
Peringatan kepada orang yang enggan membayar zakat
Firman Allah SWT, maksudnya:
"Dan janganlah sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya menyangka bahawa perihal bakhil itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat".
(Ali Imran - 3:180)
Firman Allah SWT, maksudnya:
"Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah Dialah yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan menerima zakat dan bahawasanya Allah Maha Penerima Taubah lagi Maha Penyayang".
(Al-Taubah - 9:104)
Sabda Rasulullah SAW:
"Kekayaan tidak akan binasa, di darat mahupun di laut, kecuali bila zakatnya tidak dikeluarkan".
(Dipetik dari kitab Majmak Az-Zawaid Jilid III Halaman 93)
Hukuman kepada yang tidak membayar zakat
- Murtad (terkeluar dari Islam) - jika seseorang itu mengingkari tentang wajibnya hukum mengeluarkan zakat.
- Berdosa besar - jika enggan membayar zakat tetapi masih tetap beri'tikad bahawa hukum zakat itu adalah wajib.
Sekiranya mereka terdiri daripada satu kumpulan yang ramai bilangannya dan mempunyai kekuatan pertahanan, maka pemerintah Islam bertanggungjawab memerangi mereka sehingga mereka tunduk mennyerah dan membayar zakat.
Hal ini diterangkan oleh hadis riwayat Bukhari dan Muslim:
Rasulullah SAW bersabda:
"Saya diperintahkan untuk memerangi mereka, kecuali bila mereka sudah menngikrarkan syahadat bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasul-Nya, mendirikan sembahyang dan membayar zakat. Bila mereka sudah melaksanakan hal itu, maka darah mereka sudah memperoleh perlindungan dari saya, kecuali oleh kerana hak-hak Islam yang lain, yang dalam hal ini perhitungannya diserahkan kepada Allah".
Hukum zakat yang terhutang bertahun-tahun
Sesiapa yang telah menjalani masa bertahun-tahun sedangkan dia belum memenuhi kewajipan zakatnya, mestilah mengeluarkan keseluruhannya, baik orang itu mengetahui bahawa zakat itu wajib atau tidak, biar di negeri Islam mahupun di negeri perang.
Berkata Ibnu Muadzir:
"Seandainya suatu negeri dikuasai oleh orang-orang derhaka, hingga penduduk belum membayar zakat mereka, selama bertahun-tahun, kemudian negeri itu dapat direbut oleh Imam (Khalifah), maka menurut Imam Malik Syafie dan Abu Tsaur, hendaklah ia memungut dari mereka zakat masa yang lalu (zakat yang terhutang)".
Kaedah pembayaran zakat di Majlis Agama Islam Perak (MAIPk)
Pelbagai kaedah disediakan bagi memudahkan pembayar melaksanakan kewajipan berzakat. Di antaranya adalah:
- Pembayaran melalui 17 buah kaunter MAIPk (ibu pejabat dan daerah).
- Pembayaran melalui agen terlantik (bank dan Pos Malaysia).
- Pembayaran melalui 'amil bertauliah ('Amil Harta dan 'Amil Profesional).
- Pembayaran melalui pos (Kiriman Wang Pos, cek dan bank draf).
- Pembayaran melalui potongan gaji.
Artikel dicuplik dari akhbar Sinar Harian
No comments:
Post a Comment