Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, August 3, 2009

Siapa aku???

Aku bersama penyair, penulis, pelukis dan aktivis Rahmat Haron. Aku teringin nak buat rambut macam dia tapi kalau aku buat alamat aku kena tidur luar sampai aku potong rambut.

"Ko ni sapa yer? Dulu sekolah SMGR ker? Tak pernah nampak pun", itu adalah komen yang baru aku terima daripada En. Anonymous. Ironiknya, dia sendiri tidak memperkenalkan dirinya kemudian bertanya pula siapa aku. Minta maaf, En. Anonymous, komen anda tidak dapat disiarkan kerana tidak memperkenalkan diri.

Bagaimanapun aku tidak menyalahkan dirinya seratus peratus kerana ada rasionalnya juga soalannya itu. Ramai yang tidak mengenali aku atau mengingati siapa aku, seolah-olah aku ini Invisible Man sewaktu di sekolah dulu. Malahan ada juga guru-guru yang tak dapat mengecam aku, aku maafkan, mungkin faktor usia agaknya.

Yelah, siapalah aku ini dulu. Bukan handsome pun. Badan kurus melengkung, rambut kerinting, suka buat hal sendiri. Sekarang ini ada perubahan ke? Boleh dikatakan aku sendiri suka melihat diri aku sekarang daripada melihat diriku dahulu. Atas faktor itu maka dahulu aku sering mengelakkan diri daripada bergambar.

Sewaktu sekolah dan ketika remaja aku akui aku agak kurang menjaga ketrampilan diri. Gayaku memang selamba habis, bukan kategori rugged tetapi kategori slackers, dengan rambut tak bersikat, jambang tak bercukur, memakai jeans lusuh dan t-shirt dengan gambar ntah apa-apa, menyebabkan aku agak sukar untuk didekati. Tambahan pula aku mandi hanya sehari sekali, kadang-kadang tak mandi lansung.

Cuma apabila aku telah mendapat pekerjaan tetap barulah aku mengubah gaya penampilan aku. Rambut disikat rapi, berpakaian kemas itupun pada waktu kerja sahaja. Lepas kerja aku menjadi diriku semula.

Gayaku berubah habis apabila aku menjadi suami. Orang rumahku seolah-olah fashion consultant menentukan apa yang patut aku pakai, apa yang tak patut. Habis koleksi t-shirt rock aku disuruhnya jual atau dibakar sahaja (bagaimanapun ada juga beberapa t-shirt yang sempat aku selamatkan seperti t-shirt Butterfingers dan Metallica yang memang aku sayang). Begitu juga dengan koleksi zine underground dan koleksi CD, habis semuanya dijual. Namun, dari sudut positifnya budget kami bertambah sikit waktu itu atas hasil jualan barang-barang tersebut.

Sebenarnya aku rindukan zaman slackers aku, aku rindukan t-shirt aku, aku rindukan muzik bising aku, aku rindukan bau busuk aku, namun aku sedari semua itu sudah berlalu dan aku harus mengikuti perkembangan masa yang akan terus mendatang dan aku tidak mampu untuk mengulangi semula semalam yang sudah pun berlalu.

No comments: