Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, August 3, 2009

Profesor Datuk Dr. Mazlan Othman


Professor Datuk Dr. Mazlan Othman merupakan seorang pakar astrofizik wanita pertama di Malaysia. Beliau telah dilahirkan pada 11 Disember 1951 di Seremban, Negeri Sembilan.

Beliau telah mendapat pendidikan di Kolej Tunku Kurshiah dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke University of Otago, New Zealand dalam bidang astrofizik. Kemudian beliau berkhidmat dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai tutor pada tahun 1975. Beliau kemudian dinaikkan pangkat sebagai pensyarah setelah menerima Ijazah Kedoktoran dalam bidang astrofizik daripada University of Otago pada tahun 1981.

Pada tahun 1990, Professor Datuk Dr. Mazlan Othman telah ditugaskan untuk mengetuai Bahagian Planetarium di Jabatan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (sekarang bergelar Tun). Apabila Planetarium Negara dibuka pada tahun 1993, Professor Datuk Dr. Mazlan Othman telah dilantik sebagai Ketua Pengarah di Bahagian Kajian Sains Angkasa, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar sehingga tahun 1999.

Beliau kemudian telah dilantik sebagai Pengarah Hal Ehwal Angkasa Lepas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Vienna, Austria oleh Kofi Annan, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1999. Professor Datuk Dr. Mazlan Othman merupakan wanita kedua di dunia yang pernah memegang jawatan tersebut.

Beliau kemudian kembali ke tanah air atas permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa) di mana agensi ini bertanggungjawab melahirkan angkasawan pertama Malaysia iaitu Sheikh Muszaphar Shukor.

Profesor Datuk Dr. Mazlan Othman kemudian dilantik kembali menjadi Pengarah Hal Ehwal Angkasa Lepas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu oleh Setausaha Agung PBB, Ban Ki-moon pada tahun 2007.

Sepanjang perkhidmatannya, Profesor Datuk Dr. Mazlan Othman telah dianugerahkan berbagai pingat antaranya Pingat Khidmat Cemerlang daripada Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1994, Anugerah Wanita Cemerlang Tan Sri Fatimah - Avon pada tahun 1996, Panglima Jasa Negara (PJN) dan Ijazah Kedoktoran Sains dari Universiti Otago pada tahun 1997, Anugerah Tokoh Emas daripada Persatuan Murid-murid Tua Maktab Perempuan Melayu Kolej Tunku Kurshiah pada tahun 1998 dan Tokoh Saintis Khas daripada Centre for Intellectual Promotion and Technological Advancement (CIPTA) pada tahun 2003.

Sumber: sejarahmalaysia.pnm.my, wikipedia

No comments: