Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, July 10, 2009

Terlalu banyak menonton TV membawa kepada risiko asma di kalangan kanak-kanak

Penyelidik di Britain telah membuat kajian ke atas kanak-kanak dan mendapati bahawa mereka yang menonton televisyen melebihi dua jam sehari berisiko dua kali ganda untuk menghidap penyakit asma. Lebih daripada 300 juta orang di seluruh dunia adalah penghidap penyakit asma dan ianya merupakan penyakit kronik yang paling biasa di kalangan kanak-kanak. Antara simptom penghidap asma adalah seperti sesak nafas, batuk dan sakit dada.

Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Thorax, penyakit asma boleh mengakibatkan 1 kematian bagi setiap 250 orang di seluruh dunia setiap tahun, akibat dari mereka yang mengalami obesiti dan kurang bersenam. Andrea Sherrif dan rakan penyelidiknya di University of Glasgow melaporkan bahawa 'terdapat teori terkini yang mengaitkan corak pernafasan dengan kekurangan senaman (sedentary) yang berkemungkinan boleh menyebabkan perubahan dalam paru-paru dan nafas berbunyi (wheezing) yang berlaku pada kanak-kanak'. Sherrif dan rakan-rakannya telah mengadakan ujian ke atas lebih 3,000 orang kanak-kanak, dari mereka lahir sehingga berusia 12 tahun.

Dalam penyelidikan tersebut, kajian soal selidik ke atas ibu bapa turut dilakukan bagi mengenalpasti corak pernafasan anak-anak mereka dan menyelidiki samada ibu bapa membawa anak-anak berjumpa doktor bagi mendiagnosis asma. Penyelidik juga menganalisa kekerapan kanak-kanak tersebut menonton TV. Mereka tidak memasukkan permainan video atau komputer peribadi, kerana ia tidak popular dan jarang terdapat pada zaman pertengahan tahun 1990-an semasa kanak-kanak tersebut membesar.

"Penemuan ini membuktikan maklumat yang mengaitkan senaman yang kurang dan berat badan yang berlebihan menunjukkan peningkatan risiko menghidap penyakit asma", kata Elaine Vickers dari Asthma UK.

Kajian ini juga merupakan kajian pertama yang menghubungkan secara langsung kekurangan senaman di kalangan kanak-kanak pada umur yang masih muda kepada risiko asma yang lebih tinggi.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di sesetengah negara, hampir 30% kanak-kanak menghidap penyakit kronik ini.

Sumber: Reuters news, 3 Mac 2009

Dipetik dari Buletin Pengguna Isu Mac 2009

No comments: