Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, July 20, 2009

Sarawak atasi komunis, konfrontasi

Kejayaan merdeka bersama Semenanjung hasil usaha pejuang tempatan, polis

JIKA rakyat Tanah Melayu berjuang menentang British untuk mencapai kemerdekaan pada 1957, Sarawak pula tidak kurang dengan cabaran tersendiri apabila hasrat sebahagian besar rakyatnya untuk menyertai Tanah Melayu, yang akhirnya terbentuk nama Malaysia, mendapat tentangan bukan saja dari dalam, malah luar negeri itu.

Keadaan bertambah buruk apabila Sarawak menyertai Tanah Melayu, Sabah dan Singapura bagi membentuk Malaysia pada 16 September 1963, berikutan ancaman dari Indonesia semakin bertambah menerusi gerakan konfrontasi ‘Ganyang Malaysia’.

Ketika itu, Presiden Sukarno melancarkan konfrontasi dengan menghantar tentera sehingga berlaku ketegangan yang mengorbankan nyawa, kerana menolak pembentukan Malaysia dan berhasrat mewujudkan Indonesia Raya yang meliputi Semenanjung Tanah Melayu, Kepulauan Borneo, Sumatera, Jawa dan pulau lain di sekitarnya yang tidak kesampaian.

Di dalam negeri, ancaman komunis begitu hebat sekali, sama juga keadaannya di Tanah Melayu Semenanjung ketika itu.

Antara orang yang terbabit secara langsung menjaga keselamatan ketika Sarawak hendak merdeka menerusi Malaysia ketika itu ialah Datuk Aba Robiyel Huk, 70 tahun.

Ketika bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Serian dekat Kuching yang turut meliputi kawasan Tebedu iaitu penempatan berhampiran sempadan Kalimantan, Indonesia, Aba masih ingat peristiwa serangan oleh tentera Indonesia.

“Pada akhir 1962, serangan tentera Indonesia ke atas balai polis di Tebedu, kira-kira lima kilometer dari sempadan Sarawak – Kalimantan menyebabkan seorang anggota terkorban dan beberapa orang lagi cedera.

“Kawasan kampung di sempadan turut diserang tentera jiran itu. Sarawak ketika itu hanya mempunyai pasukan polis daripada kalangan penduduk tempatan, pasukan tentera belum ada dan terpaksa bergantung kepada tentera British yang mengawal sempadan,” katanya mengimbau kenangan lalu.

Beliau yang bersara pada 1992 selepas menyandang jawatan Ketua Polis Perak dengan pangkat Senior Asisten Komisioner 1, berkata selain ancaman dari luar itu, pihak polis juga bimbang dengan ancaman dalam negeri.

Katanya, keadaan semakin merunsingkan apabila Biro Ketiga Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) Komunis mula bergerak di kawasan tengah Sarawak, selain kegiatan penyeludupan musuh dan senjata dari Indonesia, masuk melalui laut ke situ.

“Ketika awal konfrontasi, ramai penduduk tempatan lari ke Indonesia untuk menerima latihan tentera dan mereka kembali selepas 1963 selepas pembentukan Malaysia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuching, baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, hasil penat lelah pejuang di Sarawak, termasuk bantuan polis untuk menjaga keselamatan, negeri itu akhirnya mencapai kemerdekaan menerusi Malaysia pada tanggal 16 September 1963.

Beliau berkata, suasana sambutan pembentukan Malaysia di Padang Sentral (kini Padang Merdeka) di Kuching, cukup meriah, walaupun wujud tunjuk perasaan di kalangan sebilangan penduduk tempatan yang tidak berpuas hati, terutama di kalangan penduduk Cina.

Apabila Sarawak membentuk negeri Persekutuan, anak watan pertama, Abang Openg Shafie (kemudian Tun) dilantik menjadi Gabenor pertama, manakala Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri yang pertama.

Bagaimanapun, menurut Aba, Sarawak berdepan dengan masalah keselamatan yang cukup serius selepas merdeka.

“Selepas merdeka, keadaan bertambah panas, di kawasan sempadan dan di dalam negeri yang dilancarkan komunis daripada Biro Pertama Paraku.... polis kawal komunis dan tentera pula berkawal di kawasan sempadan.

“Dua musuh ini kita terpaksa dihadapi,” katanya yang pernah berkhidmat di Sarikei, sebagai pegawai polis bertanggungjawab bagi bahagian Rejang hilir, Bintangor, Sarikei dan Matu Daro, selepas Sarawak menyertai Malaysia.

Beliau berkata, ketika itu polis juga berjaya menangkap satu kumpulan komunis yang menyeludup senjata berat dan peluru dari Indonesia dengan menggunakan bot nelayan untuk diagihkan kepada kumpulan penentang di Sibu.

“Kejayaan itu menjadi titik tolak kemenangan kita menentang komunis. Andainya senjata berat berkenaan jatuh ke tangan golongan berkenaan, kerajaan berhadapan dengan kesukaran untuk mengekalkan keamanan seperti yang dinikmati sekarang,” katanya bersyukur.

Namun, sebelum Sarawak merdeka menerusi Malaysia, Aba ketika tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957, mengikuti latihan di Pusat Latihan Polis Jalan Gurney, Kuala Lumpur.

Katanya, ketika itu semangat kemerdekaan cukup terasa di kalangan pelatih polis di pusat berkenaan.

“Walaupun kami dari Sarawak belum dapat merdeka ketika itu, namun rakan dari Malaya (Persekutuan Tanah Melayu) cukup bersemangat untuk pertama kali menjadi warga tanah air merdeka.

“Malah, Cikgu Wahab atau kami panggil Sarjan 4354 sering memberi perangsang supaya bersedia bagi menyambut ketibaan kemerdekaan Malaya dengan penuh tanggungjawab untuk mengisi kemerdekaan,” katanya.

Aba yang juga bekas Ketua Polis Pulau Pinang bersama empat pelatih polis dari Sarawak dihantar pihak koloni British ke Pulapol Jalan Gurney pada Mac 1957 bersama 26 pelatih dari Semenanjung bagi latihan untuk menjadi Inspektor.

Aba berkata, kesedaran terhadap kemerdekaan cukup mendalam di kalangan pelatih inspektor polis dari Malaya, walaupun usia masih muda.

“Kami empat orang dari Sarawak hanya berpendapat mungkin satu hari nanti negeri kami akan merdeka, sama seperti Malaya,” katanya yang tidak terfikir akan bersama membentuk Malaysia pada 1963.

Beliau berkata, antara pelatih polis yang bersamanya di Jalan Gurney ketika itu ialah bekas Ketua Polis Sarawak, Datuk Mohamad Yassin Jaafar dari Kelantan.

“Hanya selepas tamat berkursus dan balik ke Sarawak, barulah pegawai British memaklumkan bahawa Sarawak akan turut merdeka dan rakyat tempatan akan diberi peluang untuk memerintah,” katanya.

Beliau berkata, cadangan British untuk memberi kemerdekaan Sarawak, Sabah, Singapura bersama Semenanjung membentuk Malaysia menimbulkan masalah kepada kedua-dua negeri di Borneo itu.

“Gagasan Malaysia menimbulkan tentangan daripada pihak Indonesia sehingga menyebabkan berlaku konfrontasi bermula pada 1962, selepas Suruhanjaya Cobbold mengadakan pungutan suara penduduk di kedua-dua negeri yang bersetuju untuk menyertai Semenanjung membentuk Malaysia,” katanya.

Oleh Muhd Yusuf Abu Bakar

Berita Harian
6 September 2007

No comments: