Bagi penulis yang pernah menyertai Pasukan Polis Khas atau lebih dikenali sebagai SC (Police Special Constable), peluang menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50 negara, mengundang nostalgia perit pada zaman itu.
Penulis menyertai SC pada 1 Ogos 1956 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di High Street Kuala Lumpur (kini Jalan Tun HS Lee) dan menjalani latihan dua bulan di Tanjung Keling, Melaka.
Bagi pelatih, terutama dari Selangor yang akan menamatkan latihan, mereka amat berharap agar tidak ditempatkan di Kuala Langat dan Hulu Selangor kerana kedua-duanya disifatkan kawasan hitam paling menakutkan.
Bagaimanapun, penulis sedia ditempatkan di mana saja kerana yakin ajal maut adalah ketentuan Allah. Selepas berakhirnya latihan, semua kadet yang tamat latihan diberitahu mengenai penempatan, termasuk penulis diarah ke Kuala Langat.
Patuh dengan arahan itu, penulis dan 11 lagi anggota lain tiba di perhentian kereta api Kuala Lumpur dari Tampin, kira-kira jam 1 tengah hari, pada akhir September 1956. Ketika itu, sebuah lori polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang sudah menunggu sebelum kami menaikinya dengan pakaian seragam hijau tanpa senjata.
Setiba di Balai Polis Klang, kami diarah menaiki sebuah lori polis lain ke IPD Kuala Langat. Kira-kira jam 3 petang, kami tiba di Balai Polis Kuala Langat di Telok Datok, Banting dan ditugaskan ke beberapa kawasan dan estet.
Penulis dan dua lagi anggota kemudian diarah menaiki sebuah kenderaan menuju ke Gadong Estet, satu kawasan di tepi pantai berhampiran Pantai Morib. Di situ, kami melaporkan diri kepada pasukan SC diketuai Koperal Hamid, dari Kedah, yang ditugaskan menjaga keselamatan estet dan pada masa sama menjadi pengawal peribadi kepada pengurus estet.
Penulis yang masih bujang ketika itu kurang bernasib baik kerana sering bertukar tempat bertugas. Selepas Gadong, penulis ditukarkan ke Permatang Estet, Kelanang Baru Estet, Jugra Estet dan terakhir di Brooklyn Estet.
Di situ, penulis ditempatkan dalam Unit Keselamatan Kawasan yang tugasnya keluar masuk hutan bagi menjalankan operasi melumpuhkan kegiatan komunis. Mengesan, mengendap dan memburu komunis sudah menjadi tugas pasukan SC sehingga terbabit dalam beberapa pertempuran mencemaskan.
Sepanjang berkhidmat, masih terngiang di telinga penulis bunyi ‘loceng gila’ kerana semua anggota SC tanpa alasan, perlu sedia dihantar bertugas ke tempat operasi setiap kali ia dibunyikan.
Segar dalam ingatan, penulis masih berada dalam tandas ketika ‘loceng gila’ dibunyikan menyebabkan penulis tergesa-gesa keluar untuk bersiap menuju destinasi tidak dimaklumkan. Ketika menaiki kenderaan, setiap anggota SC masing-masing berdoa agar dapat kembali ke berek dengan selamat.
Pada malam 31 Ogos 1957, penulis bersama unit operasi ditugaskan menjaga keselamatan di Padang Jugra, Telok Datok, tempat di mana bendera ‘Union Jack’ diturunkan bagi diganti bendera ‘Persekutuan Tanah Melayu’ (kini Jalur Gemilang).
Ribuan rakyat dari seluruh pelosok kampung berhimpun di Padang Jugra hingga larut malam. Mereka gembira menyaksikan bendera Persekutuan Tanah Melayu berkibar megah buat pertama kali dan pada masa sama, bendera Union Jack dilipat buat selamanya, tanda negara merdeka.
Beberapa bulan menjelang 1959 penulis ditukarkan ke IPK Selangor di Kuala Lumpur dan diberi tugas sama sebagai kerani sementara dan ditempatkan di berek polis Jalan Campbell (kini, Jalan Dang Wangi).
Setiap yang bermula pasti berakhir. Penulis menamatkan perkhidmatan sebagai SC pada 31 Julai, 1959. Penulis yang baru berusia 21 tahun pulang ke Kuala Lumpur untuk melanjutkan pelajaran dan selepas mengutip ilmu dan pengalaman, penulis akhirnya menjejakkan kaki ke Balai Berita, untuk menjawat jawatan sebagai wartawan Berita Harian mulai Mac, 1977 sebelum bersara pada 1993.
Oleh Saring Sirad
Berita Harian
4 September 2007
No comments:
Post a Comment