Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, July 20, 2009

Bekas askar terkenang diarah pakai baju komunis - Koperal Dennis Ward peraga pakaian musuh kepada Putera Henry

KUALA LUMPUR: Dennis Ward, 70, pasti tidak dapat melupakan saat-saat apabila beliau hampir menitiskan air mata kegembiraan mendengar berita bahawa ‘Malaya’ akan mencapai kemerdekaan.

“Ia adalah berita paling menggembirakan sejak saya tiba di Malaya. Saya sedang bertugas di hutan dekat Slim River apabila mendapat maklumat berhubung kejayaan Malaya memperoleh kemerdekaan,” kata veteran perang British itu.

Ward yang ketika itu berumur 20 tahun berpangkat Koperal dalam Royal Green Jacket Rifle Unit, ditempatkan di kawasan hutan dekat Slim River dan Kajang sepanjang tempoh perkhidmatannya di Malaya dari 1956 hingga 1957.

“Kami bersorak dan menyambut berita itu dengan gembira. Ia amat bermakna kepada saya dan abang saya, sama seperti ribuan penduduk tempatan ketika itu,” katanya.

Ward turut mengimbas kembali bagaimana beliau diarah mengenakan pakaian seperti seorang komunis untuk dipertontonkan kepada Duke of Gloucester, Putera Henry ketika lawatan putera itu ke pangkalannya.

“Duke ingin melihat bagaimana rupa seorang komunis, jadi saya terpilih menjadi seorang ‘pelakon’ untuk dipertontonkan kepadanya. Pakaian seragam yang saya pakai ketika itu dimiliki oleh seorang anggota komunis yang ditangkap.

“Memang ada risikonya kerana orang ramai pada bila-bila masa saja boleh keliru dengan menyangka saya ialah komunis dan terus tembak saya,” katanya sambil menunjukkan sekeping gambar keratan akhbar yang memaparkan gambar beliau bersama Duke berkenaan suatu ketika dulu.

Beliau turut mengimbas kenangan melucukan apabila terpaksa meyakinkan pekerja sebuah ladang yang beliau bukan anggota komunis, ketika beliau lengkap berpakaian seragam komunis ketika itu.

Pada November 1957, beliau akhirnya kembali ke England dan menjadi jurujual sehingga bersara dan kembali melawat Malaysia bersama isterinya kira-kira 10 tahun lalu.

Beliau ditemui pada satu majlis khas anjuran Suruhanjaya Tingi British sempena lawatan Duke of York, Putera Andrew ke Malaysia di sini sempena sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara.

Kira-kira 200 veteran dari United Kingdom, Australia dan New Zealand yang berkhidmat di Malaya berada di sini untuk mengambil bahagian dalam sambutan itu dengan ada kalangan mereka yang mengambil bahagian dalam perbarisan, dan ada juga terus melanjutkan percutian di sini.

Seorang lagi veteran, Maurice G Kriss, 70, yang melawat kembali ke Malaysia buat pertama kali sejak hampir 50 tahun lalu, turut terpegun dengan kemajuan yang dicapai negara. – Bernama


Gambar dan artikel petikan Berita Harian 3 September 2007

No comments: