Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, May 14, 2009

TV dan permainan video meningkatkan risiko kemurungan (depresi) remaja

Masa selama berjam-jam yang dihabiskan oleh golongan remaja untuk menonton TV dan bermain permainan video boleh membawa kepada masalah kemurungan. Ini berdasarkan satu kajian yang diterbitkan oleh sekumpulan penyelidik di Amerika dalam Archives of General Psychiatry Journal.

Para penyelidik mengkaji pendedahan media elektronik terhadap 4,142 remaja yang tidak mempunyai masalah kemurungan. Kajian tersebut dijalankan pada tahun 1995, sebelum DVD dan internet digunapakai secara meluas. Remaja-remaja tersebut diberikan pendedahan media sebanyak 5.68 jam sehari, termasuk 2.3 jam menonton TV, 2.34 jam mendengar radio, 0.62 menonton kaset video dan 0.41 jam bermain permainan video.

Tujuh tahun kemudian, apabila remaja-remaja tersebut menjangkau usia dalam lingkungan 21.8 tahun, 308 (7.4%) daripada mereka telah mengalami gejala-gejala berkaitan kemurungan. Menurut ketua penyelidik kajian tersebut, Brian Primack dari University of Pittsburgh School of Medicine, subjek-subjek mempunyai kebarangkalian yang lebih untuk mengalami kemurungan bagi setiap satu jam lebih masa menonton TV. Tambahan pula, mereka yang mempunyai jumlah pendedahan media yang tinggi lebih cenderung untuk mengalami kemurungan.

Berbanding dengan golongan wanita muda, golongan pemuda lelaki didapati lebih cenderung untuk mengalami gejala-gejala kemurungan apabila terdedah kepada jumlah media elektronik yang sama. Kajian itu turut menjelaskan bahawa kemurungan, penyebab utama kecacatan non-fatal di dunia, sering bermula pada zaman remaja.

Kajian turut membuktikan bahawa masa yang diluangkan untuk media elektronik telah menggantikan masa aktiviti sosial dan sukan yang boleh menjadi pelindung terhadap kemurungan. Pesanan yang disalurkan melalui media elektronik boleh menggalakkan keganasan, ketakutan ataupun kerisauan dan membantut pembangunan identiti individu. Tambahan pula, pendedahan media pada waktu malam juga akan menjejaskan masa tidur yang penting untuk perkembangan emosi dan kognitif.

Sebagai langkah pencegahan, kajian ini menyarankan pesakit untuk menyertai aktiviti yang menggalakkan hubungan sosial dan kemahiran sebagai faktor pelindung kemurungan.


Dicuplik dari Buletin Pengguna edisi Januari 2009

No comments: