Ramadan telah tiba.
Bulan yang mulia ini merupakan peluang bagi kita untuk menambah amalan sama ada ianya dalam tuntutan wajib ataupun sunat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Rasulullah SAW telah mengajar umatnya untuk menantikan kehadiran bulan Ramadan dan mengharapkan ketibaannya dengan penuh kegembiraan.
Di samping itu Baginda berdoa seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, apabila tiba bulan Rejab Rasulullah SAW berdoa:
"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan." - Hadis Riwayat Ahmad dan Tabrani.
Rasulullah SAW pernah berpidato di tengah-tengah para sahabat di akhir bulan Syaaban, di antara isi pidatonya:
"Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan di datangi dengan satu bulan yang agung dan penuh berkat. Di bulan itu terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Di bulan itu juga Allah menjadikan puasa sebagai kewajipan dan solat malam sebagai bentuk ibadah. Sesiapa berusaha mendekat diri kepada-Nya dengan satu bentuk ibadah sunat, maka pahalanya seperti melakukan ibadat fardu di luar bulan ini dan sesiapa melakukan ibadat fardu dalam bulan ini, maka pahalanya digandakan 70 kali. Ia adalah bulan kesabaran dan pahala sabar adalah syurga, Ia adalah bulan kebersamaan, bulan di mana rezeki orang-orang yang beriman akan ditambah. Sesiapa yang memberi makan untuk berbuka kepada orang lain, maka dosa-dosanya akan diampuni dan dibebaskan dari api neraka."
Dan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Setiap amalan anak-anak Adam itu dilipat-gandakan, satu kebajikan dilipatgandakan dengan 10 sehingga 700 kali ganda. Allah berfirman: Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk-Ku .Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika ia menjumpai tuhannya. Dan bau mulut orang yang berpuasa di hadapan Allah lebih harum dari wangian kasturi." - Hadis Riwayat al-Bukhari
Puasa
Pada bulan Ramadan umat Islam diwajibkan berpuasa kerana dengan puasalah nafsu akan terdidik dan jiwa akan terpelihara.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."
Secara ringkasnya, perkataan puasa bererti menahan diri daripada segala yang dilarang-Nya serta mengikuti apa yang diperintahkan-Nya.
Hal ini dapat diwujudkan dengan adanya perasaan taqwa kepada Allah SWT.
Maka dalam situasi ini kita hendaklah mengambil peluang untuk menguatkan jiwa dan rohani dengan melaksanakan ibadah puasa dan mengerjakan amal ibadah yang lain seperti sembahyang tarawih dan membaca al-Quran sesuai dengan kemuliaan dan kebesaran bulan ini.
Persoalan besar timbul di sini bagaimanakah caranya untuk kita menyambut kedatangan bulan yang mulia ini dan melakukan ibadah puasa?
Antaranya ialah:
- Memantapkan ilmu agama. Oleh itu, sebaiknya sebelum menjelang Ramadan kita mengulangkaji ilmu-ilmu tentang ibadah puasa berdasarkan sumber-sumber yang benar dan sahih yang merangkumi rukun-rukun, sunat-sunatnya, perkara-perkara yang membatalkan puasa, perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa dan segala yang berkaitan dengan ibadah puasa.
- Berjihad melawan nafsu, iaitu dengan membina keazaman yang tinggi untuk melaksanakan segala amalan di bulan Ramadan ini dan mengejar segala kebaikan dan kelebihannya. Imam al-Ghazali pernah berpesan bahawa nafsu tidak dapat dikalahkan melainkan ianya dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan istiqamah.
- Menjaga dan memelihara kesihatan antaranya dengan mengambil makanan yang berkualiti dan selamat. Menurut Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, apa yang dimaksudkan dengan makanan sihat ialah makanan yang bersih daripada kuman berbahaya, racun, kekotoran dan juga bersih daripada najis serta bahan-bahan bahaya yang lain. Bagi melaksanakan perkara ini, kita hendaklah mengamalkan tips Perhati dan Pilih sebelum membeli makanan, manakala Lihat, Hidu dan Rasa sebelum makan. Kesihatan tubuh badan yang sempurna menjamin kesempurnaan ibadah puasa. Kecerdasan seluruh anggota badan diperlukan kerana pada bulan Ramadanlah tubuh badan memerlukan tenaga bagi melaksanakan segala amalan seperti solat sunat tarawih, qiamullail, membaca al-Quran, iktikaf dan sebagainya.
- Sentiasa berdoa. Para Salafus Soleh berdoa selama enam bulan sebelum ketibaan bulan Ramadan. Mereka berdoa untuk menyatakan kerinduan mereka terhadap Ramadan. Antara doa mereka adalah: "Ya Allah, benarkanlah aku sampai ke bulan Ramadan, dan benarkanlah kepadaku Ramadan, dan benarkanlah ia bertemu denganku."
- Memperbanyak menyebut hal berkaitan kelebihan dan kemuliaan Ramadan. Kita juga dituntut memperbanyakkan bercerita tentang kemuliaan bulan Ramadan. Perkara ini bertujuan memberi rangsangan dan semangat kepada kita bagi membuat persediaan bertemu Ramadan. Bukankah sesuatu perkara itu akan menjadi lebih meriah dan suasananya dapat dirasai jika sentiasa diwar-warkan. Apatah lagi bulan yang begitu mulia ini sepatutnya lebih layak disebut-sebut kemuliaan dan ganjarannya oleh media massa, media elektronik dan seluruh umat Islam. Kita juga dituntut menjauhi perbuatan mengumpat, fitnah, bergosip dan menyebarkan keaiban seseorang sama ada melalui lisan mahupun alam maya. Usahlah kita terpengaruh dengan musuh-musuh Islam yang sengaja memanipulasi alam maya bagi membawa kehancuran dan melemahkan umat Islam.
Taqwa
Kita adalah makhluk ciptaan Allah yang tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan sama ada dosa besar atau kecil.
Sebagai makhluk ciptaan-Nya, maka Allah SWT Maha Mengetahui cara dan kaedah yang sesuai untuk membaiki, membaik pulih dan mempertingkatkan iman dan akhlak manusia.
Selari dengan kelemahan makhluk-Nya itu, maka Allah SWT menawarkan kepada umat Islam bulan Ramadan dengan keampunan dan pahala yang berganda serta mengembalikan fitrah akhlak manusia.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu." - Hadis Riwayat Bukhari
Ramadan merupakan masa untuk kita memberi tumpuan kepada tawaran ibadah yang amat teristimewa daripada Allah SWT.
Ibadah puasa yang dilakukan dengan sempurna pasti mampu mengawal segala kemaksiatan dunia dan dapat mendidik jiwa kita menjadi lebih tenang dan membentuk diri menjadi seorang hamba yang bertaqwa kepada Allah SWT.
Godaan
Seiringan dengan kehadiran bulan Ramadan al-Mubarak, sesungguhnya bapa atau suami merupakan tonggak utama yang berfikiran terkehadapan dalam kehidupan sebuah keluarga.
Lantaran itu, bapa atau suamilah yang berkewajipan memberi nafkah dan pakaian terhadap isteri dan anak-anaknya.
Justeru, perbelanjaan berhemah perlu dititikberatkan oleh bapa atau suami demi menyusun ekonomi rumahtangga dan menjamin keharmonian hidup berkeluarga, lebih-lebih lagi kesabaran mengawal emosi dan godaan nafsu ketika berhadapan dengan suasana di bulan Ramadan.
Di bulan ini pelbagai juadah, kuih-muih yang membuka selera dijual di gerai dan pasar Ramadan.
Selain itu, di pasaraya-pasaraya pula belum pun masuk bulan Ramadan, mereka telah bersaing hebat menawarkan jualan-jualan harga patut dan harga murah untuk menarik minat dan perhatian para pelanggan.
Beginilah suasana dan keadaan yang berlaku setiap kali menjelangnya ketibaan bulan ramadan dan selepasnya.
Semoga iman kita terutama yang bergelar bapa atau suami tetap kukuh dan tidak terpengaruh dengan sebarang godaan hawa nafsu yang melalaikan.
Di samping itu, bapa atau suami juga diharapkan dapat membimbing keluarga masing-masing untuk melaksanakan sebarang ibadah dengan betul dan sempurna.
Tariklah nafas keimanan dan jadilah contoh yang terbaik buat isteri dan anak-anak kita.
Elakkanlah mereka daripada melakukan maksiat terutamanya yang melibatkan pandangan dan penglihatan mereka.
Ingatlah bahawa aksi ghairah yang dilihat melalui televisyen dan alam maya pasti akan mempengaruhi psikologi dan tindakan mereka.
Setahun sekali
Ramadan, bulan barakah ini merupakan anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya yang hanya datang setahun sekali.
Penuhilah ruang dan masa dengan melakukan perkara-perkara kebaikan kerana mungkin pada tahun yang mendatang kita tidak menemuinya lagi.
Renungilah firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 97 yang bermaksud:
"Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberi pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment