Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, July 2, 2014

Muhasabah diri


Sejarah

Detik waktu berjalan begitu pantas. Saat, minit, jam, hari, minggu, bulan dan tahun terus berlalu tanpa menunggu kita.

Sedarlah bahawa pergerakan masa ini bermakna ianya telah menambah lagi usia kita yang sememangnya kurniaan Allah SWT.

Bertambahnya usia, selayaknya membuat kita menjadi insan yang lebih bernilai di sisi Allah SWT.

Nikmat usia yang telah dipinjamkan oleh Allah yang bersifat sementara ini adalah satu anugerah yang sangat bernilai bagi seorang hamba yang mengerti erti hidup sebagai satu ibadah.

Firman Allah SWT di dalam surah ad-Dzariyaat ayat 50 yang bermaksud:

"(Katakanlah Wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), Sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata."

Justeru, pada setiap tahun baharu yang menjelma hendaklah dimulakan dengan lafaz kesyukuran kerana kita masih lagi diizinkan untuk meneruskan kehidupan di samping menjalankan tugasan harian sama ada sebagai anak, ibu, bapa, pendidik, pelajar, pekerja am dan sebagai individu Muslim khasnya.

Usahlah kita sesekali lupa pada sejarah kerana sejarah merupakan cerminan masa lalu untuk kita jadikan panduan di masa hadapan.

Ibarat memandu kenderaan, kita memerlukan cermin sebagai panduan.

Bolehkah kita memandu dengan selamat jika tidak adanya cermin?

Itulah pentingnya sejarah.

Negara kita, Malaysia baharu sahaja mengecap kemerdekaan selama 56 tahun.

Namun, kita telah dijajah hampir 446 tahun oleh Portugis, Belanda, British, Jepun dan pernah diancam oleh pengganas komunis.

Semuanya bermula setelah jatuhnya Empayar Kesultanan Melayu Melaka dan Khalifah Islam Uthmaniyyah di Turki.

Bayangkan betapa peritnya, deritanya, azab dan seksanya kehidupan bila berada di bawah cengkaman penjajah dan ditindas oleh musuh.

Mungkin sebahagian besar daripada kita hari ini tidak pernah mengalami pengalaman dan penderitaan berada di bawah cengkaman penjajah dan negara ditadbir oleh musuh.

Persoalannya, adakah kita mahu peristiwa yang sama berulang kembali?

Adakah kita mahu merasakan azab dan seksanya?

Adakah kita rela menerima penjajahan moden yang sudah pasti tidak akan ada jalan keluar untuk kita melepaskan diri?

Tepuklah dada dan tanyalah iman dan akal serta bermuhasabahlah tentang diri kita sendiri.


Muhasabah

Bermuhasabah atau menghitung diri adalah satu amalan para anbiya', mursalin dan mereka yang soleh.

Justeru, perkara penting yang harus dijadikan budaya dalam hidup semua manusia ialah menilai diri sendiri.

Persoalan besar timbul di sini, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan bermuhasabah?

Muhasabah adalah perilaku menghitung dan memperelokkan diri yang terbentuk dalam jiwa seseorang dengan jujur dan ikhlas.

Ia juga boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri agar sentiasa mencela segala kejahatan yang pernah dilakukan agar tidak menjadi penghalang untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

Mengikut Ibnu Qudamah:

"Pengertian muhasabah ialah melihat keadaan modal, keadaan keuntungan dan kerugian, agar dapat mengenalpasti sebarang penambahan dan pengurangan. Modalnya dalam konteks agama ialah perkara yang difardhukan, keuntungan ialah perkara sunat dan kerugiannya pula ialah maksiat."

Ibnu Qayyim pula berkata:

"Muhasabah ialah membezakan antara apa yang diperolehinya dan apa yang perlu ditanggungnya. Setelah mengetahui yang demikian, maka dia hendaklah membawa apa yang diperolehinya dan melunaskan apa yang ditanggungnya. Dia seolah-olah seorang musafir yang tidak akan kembali."

Rasulullah SAW sendiri pernah memuji sikap muhasabah di dalam hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Syadad bin Aus RA yang bermaksud:

"Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak)."

Sesiapa yang bermuhasabah tentang dirinya maka mereka tidak akan membiarkan ruang dan masa untuk melakukan perkara-perkara yang batil dan mungkar.

Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan.

Mereka akan mencela jiwanya di atas setiap kesalahan dan kekurangan yang dilakukannya terhadap Allah SWT kerana takutnya diri ini kepada kekuasaan-Nya.

Jika inilah keadaannya maka mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan.

Memetik kata-kata seorang ulama' iaitu as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie yang pernah menyatakan di dalam kitabnya Burhan al-Muayyad bahawa:

"Daripada takut akan timbulnya muhasabah. Daripada muhasabah timbulnya muraqabah. Daripada muraqabah hati akan sentiasa sibuk bersama Allah SWT."

Berkata Syeikh Ahmad Zarruq:

"Lalai dari bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang berbincang dengannya boleh membawa kepada sifat redha nafsu atau berpuas hati terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada diri dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkannya menjadi pahlawan. Oleh itu lazimlah diri dengan senantiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramallah dengan apa yang betul tanpa bertolak ansur terhadap perkara-perkara yang salah."


Menghisab diri

Marilah kita bersama-sama menghitung setiap tindakan kita selama ini, sejauh mana kita telah melaksanakan amanah sebagai hamba Allah SWT.

Apakah kita telah benar-benar melaksanakannya mengikut lunas dan akhlak Islam.

Sejauh manakah tugas kita sebagai manusia yang dilahirkan oleh Allah SWT untuk melaksanakan tugas benar-benar tercapai?

Ingatlah, pihak musuh tidak akan pernah leka mahupun berhenti daripada merencanakan misi mereka sehinggalah berjaya mencapai apa yang mereka kehendaki.

Mereka sentiasa menyerang dari luar mahupun dari dalam sama ada secara tersirat mahupun secara tersurat.

Lihatlah apa yang telah berlaku pada saat ini, pada tahun ini dan pada masa yang lepas, suasana luar negara mahupun di dalam negara.

Bukankah agama Islam sedang dicabar dan dipersendakan?

Bukankah bangsa kita sedang ditekan dan dihimpit dari pelbagai sudut?

Sejauh manakah telah kita perjuang dan pertahankan agama dan akidah kita?

Oleh itu, dalam suasana ini marilah kita mulai dengan menghisab diri sama ada tugas kita selama setahun sebelum ini atau tahun-tahun sebelumnya telah kita lakukan demi menjalankan amanah sebagai Khalifah Allah SWT dan sebagai hamba-Nya yang beriman atau kita masih berada di dalam lembah kemaksiatan dan noda semata-mata menurut hawa nafsu yang bersarang di jiwa.

Rebutlah peluang dan masa yang diberikan Allah SWT kepada kita agar dapat dimanfaatkan untuk perkara-perkara yang berfaedah serta amal soleh.

Bukankah Allah SWT telah mengingatkan kita tentang penjagaan masa seperti di dalam surah al-Asr ayat 1-3 iaitu:

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."

Tanamkan semangat menyampaikan sesuatu yang baik dengan penuh kebenaran.

Kebenaran yang hakiki itu kadangkala menuntut kita bersikap yakin dan berani dalam setiap hal.

Hayatilah ungkapan "Berkatalah benar sekalipun pahit" untuk menjadi satu semangat kepada kita bila mana berhadapan dalam setiap cabaran dan dugaan.

Namun, kata-kata benar yang hendak kita lafazkan haruslah berprinsip dan beretika.

Kita juga hendaklah saling ingat mengingati untuk diri dan orang lain juga atas prinsip kebenaran.

Maka jika timbal balik antara jiwa benar kita dituai maka harapan untuk mencapai hakikat kebenaran dalam masyarakat boleh tercapai.


Konklusi

Marilah kita sama-sama jana kembali semangat Islami dengan mata hati kita.

Pemahaman dan jiwa yang luhur terhadap tanggungjawab sebagai insan yang dijadikan oleh Allah harus kita martabatkan bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk orang lain.

Kita mulai semangat dengan jiwa tawaduk, berusaha mempertingkatkan kualiti diri untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

Inilah masanya kita mesti bangun dan sedar wahai umat Islam daripada terus bersengketa dan berbalah sesama sendiri.

Marilah kita menarik nafas kebijaksanaan, menghulurkan salam perpaduan dan bertanyalah pada akal kita!

Siapakah yang akan mengaut keuntungan jika umat Islam bercakaran dan bersengketa sesama sendiri?

Siapa lagi yang boleh membela agama Islam dan mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara jika masing-masing telah terbakar menjadi abu?

Adakah kepada musuh Islam kita mahu menyerahkan nasib agama dan bangsa kita?

Ingatlah, tidak ada jaminan masa depan buat diri, keluarga dan agama jika kita tidak bersatu dan saling menyokong antara satu sama lain bermula hari ini.

Bayangkanlah, masa depan yang gelap dan penuh kebimbangan pasti akan mendatangi umat Islam jika kita terus leka dan tidak dapat menghidu gerak geri musuh yang sedang rakus mahu menghancurkan kita.

Percayalah bahawa dengan bermuhasabah, seseorang itu dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan yang sama untuk kali kedua, kerana Muslim yang hebat adalah mereka yang dapat mempertingkatkan kualiti diri mereka dari semasa ke semasa.

Ingatlah pesan Saidina Umar al-Khattab:

"Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung, timbanglah amalanmu sendiri sebelum ia ditimbangkan untukmu, dan bersedialah untuk hari pembentangan amal yang besar, sesungguhnya hisab pada hari kiamat menjadi ringan bagi sesiapa yang melakukan muhasabah diri di dunia ini."

Marilah kita sama-sama merenung firman Allah SWT di dalam surah Ali-Imran ayat 110 yang bermaksud:

"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: