Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, July 24, 2014

Ramadan didik rohani

Tujuan akhir amalan Ramadan

Sesungguhnya amalan berpuasa pada bulan Ramadan adalah suatu program persekolahan spiritual yang cukup istimewa yang disediakan untuk membangunkan jati diri insan.

Kehebatan jati diri seorang insan itu bergantung kepada spiritualnya. Jika kuat spiritualnya, maka kuatlah jati dirinya.

Jika lemah spiritualnya, maka lemahlah jati dirinya.

Ini dapat difahami berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

"Sesungguhnya dalam jasad anak Adam itu ada seketul daging. Jika baik daging itu, maka baiklah dirinya. Jika buruk daging itu, maka buruklah dirinya keseluruhannya. Ketahuilah kamu, bahawa ia adalah kalbu."

Tujuan akhir amalan berpuasa adalah untuk membentuk kalbu kita menjadi insan yang bertakwa.


Siapakah orang yang bertakwa?

Siapakah pula orang-orang yang bertakwa itu?

Merujuk kepada ayat-ayat berikut, pasti dapat membantu kita memahaminya dengan lebih jelas.

"(Iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik sewaktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka mengetahui." - al-Quran surah Ali-Imran ayat 134 - 135.

Berdasarkan firman Allah yang tersebut di atas, juga mengaitkan dengan amalan berpuasa yang sedang kita lakukan sekarang, maka dapat difahamkan bahawa antara ciri-ciri orang yang bertakwa ialah mereka yang memiliki sifat-sifat berikut:
  • Ikhlas hatinya kepada Allah
  • Menunaikan zakat
  • Suka bersedekah
  • Sedia berkorban harta untuk kebajikan
  • Suka membuat kebajikan
  • Mudah menolong orang lain
  • Berbudi bahasa
  • Berdisiplin
  • Penyabar
  • Jujur dan amanah
  • Tekun dan gigih
  • Mudah memaafkan kesalahan orang lain
  • Tidak suka membuang masa
  • Orang yang berani
  • Menepati waktu 
  • Sentiasa muhasabah diri
  • Cepat sedar diri daripada kesilapan
  • Sentiasa bertaubat dan memohon ampun kepada Allah


Ramadan memudahkan kita mencapainya

Jika anda mengatakan bahawa sukar untuk memiliki ciri-ciri orang bertakwa seperti di atas, anda memang benar.

Namun begitu, ada perbezaannya pada bulan Ramadan ini.

Allah memberi peluang kepada kita untuk memiliki sifat orang hebat seperti di atas dengan mudah sahaja.

Cubalah anda fikirkan kembali bagaimana amalan hidup kita sebelum tiba Ramadan.

Biasanya kita sukar bangun awal, apatah lagi bersahur.

Kita juga sering mengabaikan solat.

Berpuasa sunat apatah lagi.

Kita juga mudah mengikut hawa nafsu - merokok, bercakap sesuatu yang buruk, mengumpat, makan berlebihan dan sebagainya lagi.

Nah, sekarang pada bulan Ramadan ini, kita dengan mudah sahaja berpuasa menahan lapar dan dahaga.

Masjid dan surau hari ini dipenuhi ramai orang untuk solat fardu dan tarawih.

Ini suatu perkembangan yang baik.

Mereka yang merokok pun dengan mudah mengetepikan rokok pada siang hari.

Memang sukar untuk menjadi insan yang hebat.

Namun begitu, dengan mematuhi prosedur dan panduan amalan yang ditentukan khas untuk bulan Ramadan ini, sudah pasti anda dengan mudah dapat mencapainya, insya Allah.

Sehubungan dengan itu, cubalah amalkan dengan sebaik-baiknya.

Amalan berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga malah menjaga sebaik mungkin segala anggota tubuh kita - mata, lidah dan hati.

Ibadah puasa bukan hanya ibadah jasmani semata-mata, tetapi juga menjadi ibadah rohaniah.


Anda boleh menjadi insan spiritual hebat

Suatu perkara yang wajib kita sedari ialah betapa dengan mudah kita dapat melakukan amalan yang baik sepanjang bulan mulia ini.

Ini termasuklah amalan berpuasa, menahan diri dan nafsu, mendirikan solat, bertarawih, bersedekah, menolong guru dan rakan di sekolah dan sebagainya, sedangkan selama ini lazimnya kita sukar melakukannya.

Ini membuktikan bahawa anda memang boleh mencapai darjat dan kejayaan mengikut kemahuan anda.

Keinsafan penting sebagai seorang remaja pada bulan Ramadan ini, adalah bahawa anda boleh melakukan dan mencapai apa yang dicitakan dalam hidup ini, jika anda mahu bersusah payah berusaha mendapatkannya.

Tiada jalan pintas dan percuma. Yang pasti setiap kepayahan itu akan diiringi kesenangan.

Sesungguhnya, akhiran itu lebih utama daripada awalannya. Tentu kita masih ingat pelbagai peribahasa Melayu lama:


Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. 
Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
Di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan.
Patah sayap bertongkat paruh, namun aku tetap terbang jua.

Demikianlah keistimewaan bulan Ramadan ini. Ambillah kesempatan dan peluang yang cukup berharga ini.

Jangan sia-siakan masa sepanjang bulan yang mulia ini.

Rebutlah dan manfaatkan setiap detik dan ketika.

Memang untuk mencapai kecemerlangan, tidaklah semudah yang dijangka.

Amalkan apa juga kebajikan yang mampu dilakukan.

Sesungguhnya, apa juga yang baik dilakukan, ganjaran pahalanya sungguh berlipat kali ganda.

Yakin dan percayalah dengan janji-janji Tuhan ini.

Yakin dan percaya ini yang dinamakan keimanan.

Jadikanlah Ramadan ini sebagai modal terbaik untuk diri anda mencaai kejayaan hidup dalam apa juga bidang yang anda ceburi.

- BH

No comments: