Apabila berada di fasa ketiga Ramadan iaitu 10 hari terakhir Ramadan, iman dan jati diri perlu ditingkatkan dengan melaksanakan segala amalan-amalan sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.
Sesungguhnya Baginda SAW apabila berada pada 10 malam yang terakhir beliau menghidupkan malam-malam tersebut dengan melakukan ibadah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA katanya:
"Sesungguhnya Nabi SAW. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah."
Dalam fasa yang ketiga ini juga kita dituntut mempertingkatkan amal-amal soleh dan kebajikan seperti beriktikaf di masjid-masjid, bertadarus al-Quran, memperbanyakkan zikir-zikir, memperbanyakkan solat-solat sunat, menghadiri kuliah ataupun tazkirah Ramadan, melakukan sedekah sama ada kepada fakir miskin, anak yatim dan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.
Sebagaimana yang diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW di sepanjang bulan yang mulia ini tangannya sentiasa terbuka untuk memberikan bantuan kepada orang-orang yang memerlukan.
Di fasa 10 terakhir Ramadan ini terdapat satu malam yang ganjaran pahala amalan bagi seseorang pada malam tersebut adalah lebih baik daripada 83 tahun 4 bulan atau lebih baik daripada 1000 bulan.
Malam tersebut dikenali dengan nama Lailatul Qadar.
Kita juga dituntut memperbanyakkan berdoa terutama doa khusus untuk malam Lailatul Qadar.
Sepertimana yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA:
"Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW seandainya saya mengetahui malam Lailatul Qadar dengan tepat. Apa yang patut saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa berikut: "Ya Allah Ya Tuhanku sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan sentiasa memberi keampunan di atas kesalahan hamba-Mu oleh itu maafkanlah segala kesalahanku." - Hadis Riwayat Abu Daud.
Rebutlah peluang keemasan yang diberi oleh Allah SWT pada fasa yang terakhir ini.
Janji Allah dan Rasul-Nya pastinya benar, tidak ada yang palsu dan sia-sia melainkan semuanya benar belaka.
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment