Untung
Terdapat pepatah Arab yang berbunyi:
"Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam."
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik dari semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam, manakala orang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam." - Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Untuk menjadi orang yang beruntung, kita mestilah sentiasa menjadi yang terbaik walau apapun dugaan dan cabaran yang mendatang.
Tafsiran terbaik boleh diukur sendiri dengan menilai setiap apa yang dilakukan. Bertambahkah amal atau semakin berkurang.
Jika ini berlaku, maka kita dapat menilai sendiri tahap iman yang dimiliki sama ada menaik, menurun atau mendatar.
Namun untuk berubah ke arah yag lebih baik dan terbaik bukan hanya dengan angan-angan semata-mata, tanpa disusuli dengan tekad dan keazaman yang jitu serta usaha dan semangat yang waja.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud:
"Dan orang yang berusaha berjuang kepada agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah adalah berserta orang yang berusaha membaiki amalannya."
Cemerlang
Penilaian 1 azam 1 tekad sebenarnya merupakan tonggak untuk meningkatkan usaha ke arah kecemerlangan hidup.
Umat Islam hendaklah cemerlang dalam semua aspek sama ada dari segi akidah, ibadah, akhlak dan kehidupan.
Malah apa yang lebih bermakna adalah kecemerlangan dalam konteks pelaksanaan kerja yang diamanahkan dan hasil (outcome) kerja yang dilakukan.
Sedarkah kita bahawa peranan umat Islam bukan hanya berfungsi dan berperanan setakat pada ibadah khusus semata-mata, malah lebih luas daripada itu ialah peranan kita sebagai Khalifah Allah SWT di muka bumi.
Bayangkan, bagaimana mungkin umat Islam mampu menjadi khalifah dan mentadbir sesebuah negara jika kita kurang cemerlang dan jauh ketinggalan berbanding dengan golongan yang lain?
Ini bermakna kedua-dua aspek dunawi dan ukhrawi perlulah dicemerlangkan bersama.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 200 - 202 yang bermaksud:
"Ada di antara manusia yang berdoa: Wahai Tuhan Kami! Berilah kami (kebaikan) di dunia. (Orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat). Dan di antara mereka pula ada yang berdoa: Wahai Tuhan kami; berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka. Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitungan-Nya."
Strategi
Kebijaksanaan melakukan perubahan dapat membantu setiap Muslim dan umat Islam dalam merancang masa depan bagi menyusun strategi baru yang bersesuaian dengan perubahan masa dan mampu mengurangkan kegagalan.
Perubahan dalam kehidupan mestilah membebaskan umat Islam dari belenggu kebekuan yang bercanggah dengan syariat dan bukannya perubahan yang hanya berdasarkan emosi semata-mata yang boleh membawa kemusnahan kepada ummah.
Allah SWT tidak akan merubah sesuatu kaum selagi kaum tersebut tidak melakukan perubahan pada diri mereka sendiri.
Ini adalah sunnah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah ar-Ra'd ayat 11 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya."
Cekal
Manusia yang cemerlang sebenarnya berjiwa besar lagi kental. Mereka ini dapat dilihat melalui beberapa aspek antaranya:
- Kemahuan yang tinggi yang tidak mampu digugat oleh sebarang kelemahan. Dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Wahai manusia, lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah SWT tidak jemu sehingga kamu jemu, amalan paling Allah suka ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit." - Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim. - Pengorbanan yang agung yang tidak mengenal erti tamak haloba dan kedekut.
- Memahami prinsip, meyakininya, menghormati, tidak melakukan kesilapan, tidak terseleweng, tidak berkrompomi dan tidak terpengaruh dengan prinsip yang lain.
Kecemerlangan prestasi jika dihalakan kepada kebaikan pasti membawa banyak keuntungan.
Namun, jika dihalakan kepada kejahatan, maka integriti dan akauntabiliti kita pasti tercalar.
Ingat pesan Rasulullah SAW daripada Jabir RA tentang kesungguhan Iblis yang sentiasa berprestasi cemerlang untuk menyesatkan manusia dalam sabdanya yang bermaksud:
"Singgahsana iblis berada di lautan. Dari sana dia mengirim pasukannya untuk membuat fitnah (mengacau atau membawa bencana untuk) umat manusia. Maka siapa yang lebih besar membuat bencana, dialah yang lebih besar jasanya (terhormat) di kalangan mereka." - Hadis Riwayat Muslim.
Lantaran itu, setiap kita yang memegang tanggungjawab sebagai umat Islam perlulah meletakkan tanda aras prestasi cemerlang dengan adanya 1 azam dan 1 tekad di dalam diri.
Ingatlah kekuatan umat Islam bukannya berdasarkan kepada bilangannya, akan tetapi kekuatan yang sebenar berlandaskan kepada semangat dan keazaman yang jitu.
Apalah gunanya jumlah yang ramai, jika mempunyai minda yang lemah, kurang jati diri dan mudah pula dipengaruhi serta dimanipulasi oleh pihak musuh.
Lihatlah pada sirah Rasulullah SAW semasa Perang Mu'tah untuk menentang bala tentera Rom yang berjumlah kira-kira 200 ribu orang, namun atas semangat dan jihad bagi mempertahankan agama, perjuangan diteruskan tanpa merasa takut dan gerun kerana kita sebagai umat Islam sentiasa yakin bahawa pertolongan Allah SWT akan bersama dengan umat-Nya.
Sebagai individu Muslim kita perlu meletakkan indeks peningkatan jati diri Muslim yang berkualiti, berpotensi besar, profesional, berdaya tahan dan sentiasa menuju ke arah kemajuan agama dan ummah.
Inilah masanya, kita mesti bersedia dan mengukuhkan kekuatan kerana masa depan pasti penuh dengan cabaran dan dugaan, kerana selagi bumi ini masih berputar, selagi kita masih bernyawa, cabaran dan dugaan pasti akan datang untuk menguji kita.
Kejayaan yang kita kecapi hari ini belum tentu dapat menjamin kebahagiaan dan kemenangan untuk hari esok jika kita lalai, lemah dan gagal mempertahankannya.
Hanya yang cekal, tabah dan mempunyai semangat juang yang tinggi yang pasti akan berjaya.
Berazamlah untuk merancang ekonomi keluarga dengan baik, melalui kehidupan yang sederhana, sebagaimana dituntut dalam ajaran Islam.
Bersyukurlah di atas segala nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita.
Mudah-mudahan dengan kesyukuran itu, Allah SWT akan menambah lagi nikmat dan rezeki di masa akan datang.
Amalkan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW bagi memudahkan jiwa dan fizikal kita dalam melaksanakan ibadah seperti yang diriwayatkan oleh an-Nasai' bin Ahmad iaitu:
"Ya, Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu serta dapat beribadah dengan baik kepada-Mu."
Renungilah firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 111 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang yang beriman akan jiwa dan harta benda mereka dengan (balasan), bahawa mereka akan beroleh syurga."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment