Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, June 20, 2014

Siatika


Siatika ialah rasa sakit dari bahagian pinggang ke bawah iaitu dari bahagian punggung sehingga ke tumit.

Ia juga dikenali sebagai lumpuh sementara.

Biasanya disebabkan oleh himpitan tulang ke atas saraf siatik yang berpunca daripada gelinciran cakera.

Cakera atau tulang rawan akan kemik sebelum tergelincir.

Ketika tergelincir ia akan menghasilkan bunyi seperti letupan sekali gus mendatangkan rasa sakit yang mencucuk-cucuk.

Dalam keadaan serius, pesakit terpaksa merangkak untuk bergerak kerana tidak mampu menanggung kesakitan.

Dalam keadaan separa serius pula, pesakit akan mengalami rasa nyeri, kejang, kebas atau rasa terbakar dari bahagian pinggang ke bawah yang datang sekali-sekala terutamanya apabila mereka duduk, batuk, bersin atau ketawa.

Siatika yang teruk juga boleh menyebabkan pergerakan pesakit terbatas seolah-olah lumpuh kerana kesakitan yang amat sangat.

Kesakitan melampau menyebabkan anggota badan menjadi kebas dan pergerakan akan terbatas.

Dalam kes siatika yang serius, ada pesakit terpaksa mengambil ubat tidur setiap hari namun dapat melelapkan mata antara satu hingga dua jam sahaja.

Pesakit juga akan menjadikan pil penahan sakit sebagai teman akrab mereka.

Tidak hanya terbatas pada bahagian bawah tubuh, gejala ini juga boleh menyerang di bahagian atas di mana pesakit akan mengalami kebas dan sukar mengangkat tangan.

Siatika yang serius juga boleh menyebabkan pesakit berdepan dengan masalah membuang air kecil dan air besar.

Punca siatika adalah disebabkan gelinciran cakera tulang belakang atau slip disc.

Apabila cakera yang bertindak sebagai penyerap hentakan ini tergelincir daripada posisi asalnya, ia menyebabkan tulang menghimpit saraf tulang belakang yang juga dikenali sebagai saraf siatik.

Saraf siatik ialah saraf terbesar dan terpanjang dalam tubuh manusia yang menjalar dari bawah punggung sebelum melalui belakang tulang pinggul dan bercabang hingga ke dua belah paha seterusnya bersambung dengan betis, tumit dan telapak kaki.

Saraf ini berperanan mengirim isyarat dari otak ke otot dan menyampaikan maklumat dari kedua-dua kaki ke otak.

Apabila terjadinya radang akibat gelinciran, fungsi ini akan terganggu.

Akibatnya, tulang yang menekan saraf dan menghasilkan gejala radang, kebas atau kesakitan pada saraf akhirnya menjalar ke bahagian punggung, paha dan betis.

Gelinciran terjadi disebabkan pesakit terjatuh atau punggung terhentak dan adakalanya hanya dengan menggeliat sahaja sudah cukup untuk menyebabkan gelinciran cakera.

Mengangkat barang dengan postur tubuh yang tidak betul turut menyumbang kepada gelinciran cakera.

Siatika sering menyerang pesakit yang masih produktif bekerja dalam lingkungan umur 20 hingga 50 tahun.

Golongan obes, ibu mengandung di trimester terakhir dan individu yang banyak menghabiskan masa dengan duduk dan kurang aktif turut mudah diseraang siatika.

Ada beberapa kaedah rawatan yang boleh dijalankan antaranya fisioterapi, rawatan haba, urutan mahupun akupuntur.

Dengan senaman fisioterapi yang konsisten, sesetengah kes siatika dapat disembuhkan dalam masa hanya seminggu.

Sebagai pencegahan, pastikan anda menggunakan teknik mengangkat barang dengan betul iaitu tegakkan belakang anda dan bengkokkan lutut sahaja.

Tuam bahagian yang sakit dengan ais atau benda sejuk selama 15 minit. Jika kaedah ini tidak mendatangkan kesan, balut botol air panas dengan tuala dan tuamkan ke bahagian yang sakit.

Jangan gunakan haba pada hari pertama anda terseliuh atau tegang otot.

Pesakit juga boleh berehat di atas tilam yang diletak di atas lantai selama 24 jam.

Baring secara terlentang dengan meletakkan bantal di bawah pelipat kaki bagi meninggikan lutut.

Apabila sudah mula berasa sakit, jangan mengangkat barang yang berat dan elakkan daripada duduk, membongkok dan memandu terlalu lama.

Gunakan sokongan tulang belakang untuk menjaga postur tubuh pemakai dan dapatkan nasihat daripada mereka yang terlatih dalam bidang penjagaan belakang mengenai senaman yang sesuai untuk mengatasi masalah siatika.

sumber: Artikel Lumpuh sementara oleh Siti Nor Afzan Kasiman, Kosmo! 23 Disember 2012

No comments: