Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, May 8, 2014

Tuntutan hidup bersederhana


Empat peringkat keperluan

Islam menganjurkan agar setiap umatnya mengamalkan sikap bersederhana di dalam setiap tindakan iaitu tidak berlebihan dan tidak pula melampau terutama di dalam berbelanja.

Dalam hal ini agama Islam telah menetapkan beberapa peringkat keperluan bagi umatnya:
  1. al-Dharuriat iaitu keperluan yang mendesak
  2. al-Hajiaat iaitu keperluan yang dihajati
  3. al-Thasiniat iaitu keperluan yang lebih baik
  4. al-Kamaliat iaitu keperluan yang lebih lengkap

Namun begitu, dalam mengurus kehidupan kita, Islam mewajibkan kita mengatur perbelanjaan kepada perkara-perkara asas dan keperluan yang benar-benar mendesak iaitu al-Dharuriat.

Menurut Imam as-Syatibi bahawa:

"al-Dharuriat adalah sesuatu yang harus dilakukan agar mendapat kemaslahatan di dunia dan akhirat, jika al-Dharuriat ini tidak dilaksanakan maka kemaslahatan itupun tidak akan ada tetapi yang akan timbul adalah kerosakan, kesengsaraan dan kerugian yang besar."

Dalam hal ini Prof. Dr. Yusuf Qardhawi ada mengatakan bahawa:

"Sebahagian umat Islam kini kerap mendahulukan perkara yang kurang penting berbanding perkara yang penting. Perkara penting adalah urusan-urusan wajib yang termaktub dalam syariat Islam. Antara perkara tersebut ada yang besar, penting dan utama dan ada pula yang kecil, ringan, kurang penting dan kurang utama iaitu asasi, cabang (furu’), dan rukun."


Nikmat dan ujian

Sebagai seorang Islam tentunya kita menyedari bahawa dalam menjalani kehidupan ini Allah SWT telah mengurniakan berbagai-bagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya sama ada dalam bentuk keamanan, kesejahteraan, kesihatan, kebahagiaan, kekayaan, umur yang panjang dan sebagainya.

Firman Allah SWT di dalam surah an-Nahl ayat 18 yang bermaksud:

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tiadalah kamu dapat menghitungnya; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Namun begitu, kadang kala dengan nikmat yang melimpah ini menyebabkan seseorang itu lupa dan lalai bahawa sebahagian itu adalah ujian dari Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya.

Sebagai umat Islam kita dituntut mensyukuri segala pemberian dari Allah SWT. Kita hendaklah mengurus segala perbelanjaan untuk keperluan hidup dengan sebaik-baiknya setiap masa sama ada di waktu senang, lebih-lebih lagi di waktu susah.

Sekiranya kita mengabaikan perkara tersebut dikhuatiri kesan daripada kelalaian kita menguruskan perbelanjaan hidup boleh menyebabkan kita meninggalkan generasi yang mundur di kemudian hari serta menyebabkan negara kita berada dalam mundur dan terkebelakang.

Bayangkanlah, jika fenomena ini berterusan ia pasti mendatangkan beban kewangan kepada diri dan keluarga dan seterusnya akan melahirkan sejumlah besar penghutang-penghutang di kalangan umat Islam.

Akhirnya, kadar kemiskinan makin bertambah dan ini membuka ruang kepada mereka yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan seterusnya menindas umat Islam.

Justeru, tidak mustahil boleh tergadainya agama, bangsa dan tanahair tercinta jika umat Islam terus dibelenggu oleh hutang.

Agama Islam tidak melarang umatnya daripada berbelanja, tetapi hendaklah secara berhemah iaitu dengan memberi keutamaan dan mendahului kepada perkara-perkara yang penting sahaja.

Perlu difahami gaya hidup berhemah berkait rapat dengan sifat berjimat cermat dan tidak membazir.

Islam melarang dan menegah umatnya daripada membazir kerana ianya perbuatan keji.

Islam menyifatkan perbelanjaan boros dan pembaziran adalah perbuatan keji kerana ia tidak memberi faedah kepada masyarakat dan menjauhkan lagi jurang golongan kaya dan miskin.

Jika dasar berhemah ini diambil kira, maka hak-hak serta kebajikan fakir dan miskin dapat ditunaikan sepanjang masa.

Sesungguhnya orang yang membazir adalah saudara syaitan dan syaitan amat suka kepada orang yang boros dan berbelanja mengikut kehendak nafsu.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Isra' ayat 27 yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."

Ibn Mas'ud dan Ibn Abbas RA mentafsirkan ayat ini bahawa pembaziran itu bermaksud perbelanjaan atau menggunakan harta benda bukan pada tempatnya yang sebenar.

Begitu juga dengan pandangan Imam Syafie bahawa pembaziran itu ialah membelanjakan harta benda bukan pada jalannya.

Renungilah kisah hidup Rasulullah SAW yang amat bersederhana dalam semua keadaan, walaupun bukit dan gunung-ganang yang ada di sekitarnya pernah ditawarkan agar ia dijadikan emas dan perak, akan tetapi Rasulullah SAW menolaknya.

Diriwayatkan juga bahawa dapur Rasulullah SAW hampir enam puluh hari tidak berasap, Baginda dan isteri-isteri hanya menjamah buah tamar dan air. Bukan kerana tidak mampu akan tetapi Rasulullah SAW suka untuk hidup dalam keadaan sederhana dan tidak melakukan pembaziran serta berbelanja mengikut hawa nafsu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Dari Abdullah katanya: Rasulullah SAW tidur di atas tikar dan bangun selepas itu dalam keadaan badannya berbekas, maka kami katakan kepadanya, Ya Rasulullah, sekiranya kami bawakan kepada kamu hamparan yang lembut, Rasulullah menjawab: Apakah kedudukan aku dan dunia ini, Tidakkah aku di dunia ini melainkan seumpama pengembara yang berteduh di bawah pokok kemudian berlalu meninggalkannya." - Hadis Riwayat at-Tirmizi


Panduan berbelanja

Berdasarkan kepada kajian oleh Bank Negara Malaysia mendapati peratusan rakyat negara ini yang terlibat dengan masalah kewangan semakin meningkat.

Kebanyakan masalah yang dihadapi ini berpunca daripada kegagalan membuat perancangan yang bijak di samping kurangnya pengetahuan berhubung teknik pengurusan berhemah serta kurang peka kepada akibat yang bakal ditanggung apabila seseorang itu gagal menguruskan kewangan dengan baik.

Ia sering berlaku apabila individu itu mengambil pinjaman yang berlipat kali ganda dari jumlah pendapatan dan gagal membuat bayaran balik pinjaman yang akhirnya boleh membawa kepada muflis.

Sehubungan dengan itu, beberapa saranan telah dinyatakan oleh Bank Negara antaranya ialah:
  1. Berbelanjalah mengikut kemampuan
  2. Berurusan dengan institusi yang sah seperti bank, koperasi dan juga pemberi pinjaman yang berlesen dan disahkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.  Umat Islam juga dinasihatkan agar berhati-hati di dalam membuat pelaburan dengan menyemak dahulu dengan pihak berwajib bagi memastikan skim pelaburan yang dipilih itu adalah sah dan selamat.
  3. Minta nasihat dan khidmat jika mengalami masalah kewangan antaranya melalui BNMLINK, unit aduan di setiap agensi kewangan, Biro Pengantaraan Kewangan dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit.


Tuntutan hidup bersederhana

Sebagai manusia yang beriman dan berintegriti, jauhi sifat membazir agar mendapat keberkatan hidup dari Allah SWT.

Dengan mengamalkan sikap berjimat cermat ia akan mendatangkan banyak faedah kepada diri kita dalam banyak perkara di antaranya:
  • Kita akan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT
  • Terselamat dari muflis akibat hutang dan berbelanja berlebihan menurut hawa nafsu
  • Mempunyai simpanan yang dapat menjamin hidup kita di saat menghadapi kesusahan.

Sikap berjimat cermat ini bukan sahaja dapat memberi kebaikan kepada diri, keluarga dan masyarakat bahkan kita akan mendapat ganjaran pahala serta keberkatan dari Allah SWT kerana sikap sebegini pasti menjadi contoh dan ikutan terbaik buat anak-anak dan generasi muda.

Janganlah menunggu hanya apabila dilanda kesusahan dan kegawatan baru hendak memulakan hidup bersederhana dan berjimat cermat.

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah Luqman ayat 20 yang bermaksud:

"Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-Nya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak sebarang pengetahuan atau petunjuk; dan tidak berdasarkan Kitab Allah yang menerangi kebenaran."

Pautan:

BNMLINK

Biro Pengantaraan Kewangan

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: