Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, April 30, 2014

Sains dan teknologi di dalam al-Quran


Firman Allah SWT di dalam surah ar-Rahman ayat 33 yang bermaksud:

"Wahai sekalian jin dan manusia! kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan."

Jika kita meneliti isi kandungan al-Quran, kita dapati bilangan ayat-ayat yang membicarakan perihal sains dan teknologi melebihi 750 ayat atau dikenali sebagai ayat-ayat Akliah dan selebihnya adalah perihal yang berkaitan dengan aqidah, syariat dan sejarah.

Ini menunjukkan betapa al-Quran suatu yang universal. Apatah lagi apabila banyak penemuan dan pembuktian serta fakta-fakta saintifik menepati isi kandungan al-Quran.

Bahkan al-Quran turut memperkatakan dalam banyak ayat berhubung perihal astronomi iaitu pengajian sains cakerawala seperti kaji bintang, planet, komet dan galaksi.

Firman Allah dalam surah al-An'am ayat 97 yang bermaksud:

"Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepada-Nya dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesunguhnya Kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui".

Sejarah telah membuktikan zaman kerajaan Umayyah, Abbasiah dan Andalus telah membuktikan tokoh-tokoh seperti al-Zarqali, al-Majriti, al-Manak, al-Biruni, al-Khawarizmi, al-Fazari, al-Farghani, Umar Khayyam dan lain-lainnya telah berjaya menjadi ilmuan yang unggul dan generasi hari ini sewajarnya meneruskan kesinambungan ini.

Hal ini sesuai dengan kata-kata pujangga Muslim:

"Kebijaksanaan (hikmah) itu, adalah barang kehilangan kaum Muslim. Justeru di mana sahaja kamu jumpa berushalah mengambilnya kembali."

Impian negara dan rakyat Malaysia untuk meneroka angkasa lepas telah menjadi realiti apabila pelancaran roket Soyuz TMA-11 yang membawa angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muzafar Syukur bin Dato' Sheikh Mustafa (gambar), selamat dilancarkan pada 10 Oktober 2007 ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dan kembali ke bumi pada 21 Oktober 2007.

Kejayaan program angkasawan negara yang pertama ini merupakan bukti bahawa negara kita mampu berdiri dan setanding dengan negara-negara maju.

Program menghantar angkasawan pertama negara ke ISS dapat membina keyakinan diri seluruh rakyat Malaysia bahawa kita boleh melakukannya.

Sebenarnya Islam merupakan satu-satunya agama yang menitik beratkan soal penerokaan dan mengkaji tentang alam semesta.

Allah SWT memerintahkan manusia untuk beriman kepada-Nya, Allah juga memerintahkan manusia untuk melihat, mengkaji dan memerhati ciptaan-Nya.

Allah SWT menyuruh kita supaya menggunakan akal fikiran, merenung dengan mendalam akan kekuasaan dan kebesaran-Nya.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabut ayat 20 yang bermaksud:

"Katakanlah : Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baru. Sesungguhnya Allah Maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu".

Dalam ayat tersebut, Allah SWT memerintahkan manusia mengembara dan melihat bagaimana Allah menciptakan makhluk-Nya yang ada dan ini merupakan perintah atau suruhan terhadap pengkajian asal-usul kejadian makhluk atau alam ini.

Firman Allah SWT lagi di dalam surah al-Ghasyiah ayat 17 - 20 yang bermaksud:

"(Tidakkah mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memerhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan?. Dan keadaan langit, bagaimana ia ditinggikan binaannya?. Dan keadaan gunung ganang bagaimana ia ditegakkan?. Dan keadaan bumi, bagaimana ia dihamparkan?."

Ayat ini menggambarkan perintah atau suruhan Allah SWT agar manusia memerhati dan mengkaji alam ini atau sebahagian daripada ciptaan-Nya dengan tujuan supaya mereka merasai keinsafan dengan apa yang mereka saksikan.

Ianya merupakan suatu ciptaan yang tidak dapat dicapai oleh akal manusia yang lemah dan bukti kebesaran serta kekuasaan Allah SWT, di mana akhirnya akan bertambah keyakinan dan nilai keimanan dalam diri manusia terhadap Allah SWT.

Walaupun al-Quran mengandungi lebih dari 750 ayat yang berkaitan dengan sains dan kurang daripada 150 ayat yang berkaitan dengan hukum-hakam, namun masyarakat Islam hampir tidak peka kepada kepentingan sains dalam kehidupan mereka sama ada dari aspek kepentingan dalam kepercayaan atau aqidah mereka mahupun kepekaan tentang kepentingan dalam kehidupan kebendaan mereka.

Malah ada sebahagian daripada umat Islam menganggap bahawa sains tiada kena mengena dengan Islam atau al-Quran, lebih malang lagi ada di kalangan umat Islam ini yang menganggap bahawa sains bercanggah dengan agama.

Umat Islam masih lagi memperkotakkan ilmu kepada ilmu-ilmu agama dan yang bukan agama seperti sains, geografi, matematik dan sebagainya sebagai ilmu sekular sedangkan pada hakikatnya semua ilmu itu datangnya daripada Allah SWT.

Oleh sebab itu, kita perlu menggalakkan diri kita sendiri atau anak-anak kita untuk meminati bidang sains, bukan sahaja kerana sains itu amat penting untuk kemajuan duniawi bahkan ia ada kaitan dengan aqidah kita.

Mereka yang terus menerus berada dalam disiplin ilmu agama semenjak dari kecil lagi hinggalah sampai ke peringkat universiti juga perlu mengetahui tentang ilmu sains untuk memperjelaskan lagi ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan sains.

Barangkali sekiranya kita dapat mengerah dan menggembleng tenaga ke arah itu, maka kita akan berjaya melahirkan masyarakat kita yang peka kepada sains dan akhirnya nanti umat Islam akan kembali mengungguli sains seperti yang pernah dilalui oleh umat Islam antara kurun ketujuh hingga kurun ke-15.

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: