Islam menggalakkan umatnya sentiasa mewujudkan perpaduan dalam masyarakat dan negara.
Ia merupakan satu nilai dalaman yang penting untuk menghadapi rintangan serta pelbagai cabaran dari luar kerana perpaduan mampu menjadi benteng pertahanan kukuh.
Kehancuran boleh berlaku jika benteng menjadi longgar, begitu juga rakyat dan negara bakal berhadapan dengan kehancuran jika semangat bersatu padu sudah hilang terutama di kalangan masyarakat pelbagai bangsa.
Di Malaysia, Perjanjian Kontrak Sosial di kalangan masyarakat telah dipersetujui sejak tahun 1948 lagi dan ianya telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan hingga ke hari ini.
Memahami Perlembagaan dan Kontrak Sosial ini akan menggambarkan seseorang itu mempunyai kekuatan diri untuk menjadi warganegara yang setia, bangsa yang mahu bersama dalam membina persefahaman antara satu sama lain.
Persefahaman hanya boleh dicapai seandainya seluruh rakyat memahami kontrak sosial yang menjadi teras kepada kehidupan bermasyarakat yang berbilang kaum.
Prinsip keadilan sosial yang menjadi salah satu teras persefahaman adalah amat bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Maa'idah ayat 8 yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan janganlah kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan!"
Nabi Muhammad SAW telah membawa pendekatan yang lebih baik dalam mewujudkan persefahaman antara masyarakat.
Budaya yang dahulunya berteraskan ketaksuban kepada kabilah yang diwarisi dari nenek moyang bertukar menjadi lebih Islamik dan mempunyai ciri-ciri nilai sejagat.
Dalam Piagam Madinah, Rasulullah SAW telah menetapkan kepada semua penduduk Madinah agar menyayangi dan menghormati bumi Madinah.
Antara yang termaktub dalam Piagam tersebut ialah:
Sesiapa yang cenderung atau melakukan perkara-perkara yang menjejaskan perpaduan di kalangan warga Madinah, maka orang itu dikira sebagai mencabul kesejahteraan Madinah.
Sejarah juga memaparkan ketika zaman Khalifah Umar al-Khattab RA, kerajaan Islam amat kuat dan ajarannya berkembang dengan begitu pesat sehingga menaungi dua pertiga dunia.
Kejayaan pemerintahan mereka diasaskan kepada kemampuan mereka menghayati prinsip pengendalian negara berpandukan al-Quran, iaitu prinsip al-adl wal-ihsan iaitu memupuk keadilan dan kasih sayang di kalangan umat manusia sebagaimana yang dinukilkan di dalam surah an-Nahl ayat 90 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kerabat, dan Dia melarang (melakukan) perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran."
Bagaimanakah hendak merealisasikan persefahaman seluruh rakyat Malaysia agar semua dapat menerimanya?
Antaranya ialah mengamalkan sikap toleransi antara masyarakat dengan saling menerima antara satu sama lain. Sentiasa sedar dan tahu tanggungjawab sebagai anak bangsa serta bekerjasama ke arah mewujudkan persefahaman.
Berdasarkan kepada perkara ini maka sikap emosional yang keterlaluan, fanatisme dan terlalu mementingkan diri perlu dibatasi dengan kewarasan dan rasionalisme yang bertunjangkan keadilan untuk semua.
Sekiranya menghadapi masalah, semua pihak harus memilih perundingan dalam menyelesaikannya bukannya memilih jalan konfrontasi dan bertindak di luar batas kemanusiaan seperti melakukan keganasan dan rusuhan.
Bayangkanlah perbuatan seperti ini jika diteruskan pasti menyebabkan negara menjadi kucar-kacir, terjejasnya ekonomi, bertambahnya jenayah seterusnya mewujudkan masyarakat yang saling bermusuhan.
Sesungguhnya perkara seperti ini harus dielakkan bagi menjamin keutuhan dan kemakmuran sebuah masyarakat dan negara.
Perbezaan agama, bangsa dan budaya bukanlah penghalang terjalinnya kerukunan dan kedamaian di antara sesama manusia.
Meskipun kita bergaul dengan orang yang berbeza iktikad keyakinan, tetapi kedamaian hidup tetap menjadi keutamaan.
Ternyata bahawa Allah SWT mengizinkan umat-Nya untuk menjalin kerjasama dan berbuat baik kepada orang yang berbeza akidah sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan maksudnya:
"Barangsiapa menyakiti orang bukan Islam (Ahli Zimmah) yang berada di bawah perlindungan Islam, makasesungguhnya ia telah menyakiti aku, dan barangsiapa yang menyakiti aku, maka sesungguhnya ia telah menyakiti Allah." - Riwayat at-Tabrani
Allah SWT berfirman dalam surah al-An'am ayat 108 yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu caci benda yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan."
Sikap melampau akan menjadi pemangkin terhadap ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik negara.
Persefahaman boleh wujud melalui:
- Memupuk kasih sayang antara anggota masyarakat.
- Mengamalkan sikap tolong menolong dan bekerjasama.
- Memelihara hak orang lain dan menghormati maruah dan budaya mereka.
- Saling ziarah menziarahi di antara satu sama lain.
Janganlah kerana kepentingan diri yang sempit, kita sanggup meruntuh tembok perpaduan yang telah lama terbina dan menggadai kuasa dan maruah yang ada.
Umat Islam yang menjiwai makna persefahaman adalah mereka yang sentiasa bersikap terbuka, berbaik sangka dan saling hormat menghormati antara satu sama lain atas dasar ukhwah Islamiah tanpa mengira sebarang fahaman kelompok tertentu.
Sesungguhnya kesucian agama dan maruah umat Islam pasti tidak akan dihina mahupun diperlekehkan jika semua umat Islam terus mengukuhkan perpaduan dan sentiasa bersatu dalam menangani sebarang ancaman terhadap agama dan ummah.
Kita tidak mempunyai tempat lain selain tanah air dan tanah tumpah darah kita yang menjadi tempat tinggal, punca rezeki dan nadi kehidupan kita.
Janganlah ada di kalangan rakyat bersikap mementingkan diri sendiri sehingga keharmonian negara terancam, retak dan hancur.
Persefahaman merupakan sebahagian daripada tuntutan Islam. Pendekatan ini wajar diteruskan kerana kita meyakini gesaan Allah SWT yang meletakkan persoalan iman sebagai syarat utama kejayaan umat Islam di dunia ini dan di akhirat kelak.
Sentiasalah berfikir dengan mendalam sebelum melakukan sesuatu tindakan dan bertindaklah dengan harti yang ikhlas, fikiran yang waras supaya setiap tindakan kita mendatangkan kebaikan pada agama Islam, bangsa dan negara.
Kalimah Allah hendaklah dipelihara sebagai hak eksklusif umat Islam dan mempertahankan kemuliaannya daripada disalahgunakan oleh pihak yang tidak berkelayakan.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Ikhlas ayat 1 - 4 yang bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya."
Maksud ayat 1 cukup jelas bahawa Allah SWT adalah Yang Maha Esa yakni tiada sekutu bagi-Nya, ditambah pula ayat 4 dengan terang menyatakan bahawa tiada sesiapapun yang setara dengan-Nya.
Dalam ayat 3 pula mengukuhkan lagi penolakan kepelbagaian tuhan seperti wujudnya konsep triniti dalam agama Kristian adalah jelas bercanggah dengan sifat keEsaan Allah SWT.
Jelas kalimah Allah adalah untuk umat Islam sahaja. Umat Islam mesti bersatu dalam soal akidah kerana kita semuanya bertuhankan Allah Yang Maha Esa dan berkiblatkan arah yang sama.
Hindarkanlah segala perselisihan faham demi agama Islam yang tercinta.
Renungilah firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 96 yang bermaksud:
"Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment